Thursday, April 1, 2010

malam bulan dipagar bintang

Hari ini saya kena migrain yang kuat sehingga tak mampu menanggung sakitnya. Semasa saya mendirikan solat isya' pun terasa peluh sejuk mengalir. Lepas isya saya terus bergegas balik ke rumah kerana hampir termuntah bilamana bisa migrain ini makin mencengkam.

Janji saya dengan salah seorang ahli radio amatur terpaksa dibatalkan pada malam ini, dan terpaksa digantikan pertemuan itu pada mingga hadapan. Selepas mengatur semula temujanji, saya terus baring dan tidur.

Jam 11 lebih malam, saya bangkit semula sementelah beberapa jam disulam mimpi. Mimpi yang indah, mimpi saya tinggal di Madinah. Mana mungin saya mengatakan ini mimpi biasa, kerana sentiasa menjadi impian ingin selalu dekat dengan tokoh paling hebat dalam sejarah manusia.

Selepas saya bangkit, seperti biasa saya akan ke dapur dan duduk di dapur sambil minum teh. Saat itulah saya terfikir sejenak. Adakah mimpi tadi ada kaitan dengan apa yang bermain dalam kepala pada akhir-akhir ini? Ceritanya begini, rumah saya dengan surau dekat saja. Kalau jalan kaki, masa hanya sempat dicuri lebih kurang 3 minit cuma. Jemaah-jemaahnya pula, ada yang baru mengenali saya (tiada terkira dengan jari dah berapa tahun tidak singgah solat di sana), dan ada yang memang sedia kenal dengan saya lantaran rumah mereka hanya beberapa kerat badan jauhnya.

Saya baru saja menjejak kaki ke sana untuk beberapa bulan ini, tapi sudah terasa mujahadahnya. Ia perang antara kewajipan menentang rasa kecil hati, malu, gusar dan rasa buruk sangka saya. Ramai yang sedia maklum tentang sejarah hitam saya, sejarah yang pernah menjadi topik hangat satu kampung. Adakah saya bersalah untuk melindungi nyawa saya, sehingga setiap kali saya bersalaman sambil senyum dibalas dengan muka yang sarat dengan kebencian.

Saya selalu terfikir, manusia selalu menghakimi keadaan tanpa belajar memikir bagaimana rasanya memakai kasut individu yang dihakimi. Harap-harap pembaca faham maksud metafor yang ingin saya sampaikan. Atas sebab ini, saya sering ingin pergi jauh dari tempat orang yang mengenali saya. Ini bait-bait puisi yang pernah saya karang

'timbullah angan-angan
jikaku bersayap
langit malamku jelajahi'

Apabila saya cernakan balik semua, saya beristighfar. Kenapa saya terlalu pentingkan diri? Sehingga sanggup meninggalkan sahabat-sahabat saya yang masih tergapai-gapai. Banyak perkara yang mengagumkan hati saya tentang kebesaran Allah baru-baru ini, tapi saya terlepas pandang untuk seketika kerana hati terlalu gusar.

Sebagai contoh, sahabat sama sekolah yang selalu gelakkan saya di dalam kelas kerana saya sering menjadi perhatian Ustaz untuk menjadi wakil sekolah dalam kuiz agama & tahfiz peringkat sekolah telahpun solat berjemaah 5 waktu di surau itu. Contoh kedua, seorang tokoh muzik underground (band skinhead) di Malaysia kerana band mereka antara pelopor muzik PunkRock pada awal 90-an, pun mula berjemaah di surau tersebut. Dulu kami berjumpa di gig-gig tempatan kerana selalu berkongsi pentas, kini kami berkongsi surau, subhanallah. Contoh ketiga, seorang sahabat yang langsung tidak pernah solat, berpuasa pada bulan ramadhan dan selalu mengejek bila saya mengikut adab nabi,sekarang saya dapat melihat ada kesan hitam di dahi dan dia duduk makan ikut cara nabi walaupun kawan disebelah dia sempat mengejek cara dia duduk.

Rasa syukur mula meniti sukma ini, bila Allah tunjuk bahawa saya tidak keseorangan dalam gelanggang masyarakat. Lebih-lebih lagi, salah seorang dari mereka pergi ke rumah untuk mengajak saya turut serta dalam usrah yang selalu dia sertai. Allah Maha Mengetahui segala niat hambanya. Walaupun nabi tidak menggalakkan kita untuk ketawa dan bergurau, saya tidak dapat untuk mengubah tabiat saya ini secara mengejut. Sebab saya masih sayangkan kawan-kawan saya. Mereka senang dengan cara saya itu dari dulu-dulu lagi. Kadang-kadang saya masih duduk dengan mereka walaupun sedang mereka menikmati air kencing anak Azazil.

Cuma saya mengharapkan doa dari teman-teman, sahabat-sahabat dan pembaca-pembaca samaada yang kenal atau tidak supaya saya sentiasa tabah dengan ujian baik sekecil riak tasik atau sebesar ombak di lautan...

Monday, March 29, 2010

Salam Ziarah ke rumah En. Ali

Saya dan beberapa kawan sukarelawan Salam Kuching & Pelajar Unimas pergi melawat rumah En. Ali dan sekeluarga di Kampun Pelaie, Samarahan dengan maksud untuk ziarah & melihat sendiri keadaan mereka setelah mendapat berita tentang kedhaifan yang melanda hidup mereka.

Kami difahamkan mereka sekeluarga bukan orang tempatan, tapi telah berhijrah setelah membeli tanah yang luasnya hanya sekangkang kera. Ketika kita tiba di rumah En Ali, anak-anaknya tiada di rumah kerana menghadiri kelas agama. En Ali sendiri pula merupakan mualaf berbangsa iban. Kerja mereka suami isteri untuk menampung nafkah hidup ialah mencari besi buruk kerana En Ali pernah kemalangan yang menyebabkan pergerakan kakinya agak terbatas. Atas alasan tersebut, dia diberhentikan kerja oleh majikannya.

Sepanjang kami berada di sana, isterinya lebih banyak berbicara berbanding En. Ali sendiri (pendiam tapi murah dengan senyuman). Saya tidak dapat berada lama dalam rumah tersebut, sebab memberi peluang kepada rakan sukarelawan yang lain duduk mendengar kisah hidup mereka sekeluarga (agak bahaya untuk naik ramai-ramai ke rumah mereka atas sebab keselamatan).

Sekiranya, ada sesiapa yang untuk menderma makanan kering seperti beras, garam, gula dan sebagainya, boleh menghubungi Hamzah Saufi di talian - 0138202198


Jalan masuk ke Kampung Pelaie


inilah parit tempat mereka sekeluarga mandi





anak kucing kesayangan mereka

Ya Allah, lindungilah kami sekeluarga. Aminnn
Sukarelawan-sukarelawan bergambar dengan keluarga En Ali

Sunday, March 28, 2010

Perkongsian

Sekadar berkongsi pengalaman lampau yang meninggalkan kesan yang besar dalam hidup saya. Di sini saya memdedahkan betapa bahayanya menjatuhkan hukum sesat kepada saudara muslim yang kita ketahui masih betul tauhid, syariaat, aqidahnya.

Kejadian 15 tahun yang lalu benar-benar membuat saya berkecil hati & bertekad menjauhkan diri dari agama. Nyata iman saya tak sekuat sahabat-sahabat nabi yang mana mereka diseksa di tengah-tengah gurun sehingga ada yang mati syahid. Mereka tetap dengan keteguhan hati menyebut 'ahad, ahad, ahad'..

Ceritanya begini, dulunya saya belajar di ma'had tahfiz (tak perlu saya menyatakan nama ma'had tersebut). Suasana pembelajaran agak menyeronokkan dan saya amat bercita-cita menjadi seorang Al-Hafiz dan menyebarkan ilmu kepada orang awam sekiranya boleh sampai ke tahap untuk mengajar. Walaupun guru kami tegas, tapi kami langsung tidak membenci malah sangat menghormati beliau. Selepas subuh, sesi menghafal al-Quran sehingga jam 7 pagi. 8 - 11 pagi, pengajian hadith & akademik sekular. Selepas zohor, sesi menghafal Al-Quran. Selepas asar, mendengar Ta'lim dan riadah. Selepas maghrib, membaca hasil hafalan kepada guru. Lepas isya, tidur.

Saya agak senang dengan suasana tersebut. Tapi malangnya, keluarga menentang kehendak cita-cita saya itu. Kebetulan ada sebuah pertubuhan yang berteraskan islam difatwakan menyeleweng dan berita ini menggemparkan negara ketika itu. Tidak dinafikan, saya suka dengan cara ahli pertubuhan tersebut kerana amalan sunnah mereka baik dari segi berpakaian, cara hidup harian dan sebagainya. Cuma aqidah gurunya tidak menepati lunas-lunas islam, wallahualam.

Persamaan kami dengan pertubuhan itu pulak adalah dari segi pakaian & adab harian kerana kami disarankan oleh guru kami untuk belajar hidup cara sunnah. Secara automatik, kami disamakan dengan pertubuhan itu oleh masyarakat secara umum dan keluarga saya khasnya. Berkali-kali keluarga saya mendesak agar saya berhenti tetapi saya masih berkeras untuk menjadi tahfiz.

Sehingga satu malam selepas saya beriktikaf di sebuah masjid selama sehari semalam, abang saya hilang sabar. Dia membelasah saya atas alasan saya terlalu degil. Sejak malam itu, saya berjanji untuk mengubah cara hidup saya. Untuk pertama kalinya, saya keluar tanpa mengenakan kopiah, serban & jubah yang menjadi pakaian semenjak menjadi tahfiz. Saya mula bergaul dengan kaki tembok. Sejak itu juga saya mula belajar tentang pelbagai perkara yang sebelum ini sangat jauh dari hidup saya, dan ia terus mengganti gaya hidup saya ketika bergelar pelajar tahfiz.

Pesan saya kepada sahabat-sahabat. Jangan terlalu cepat mengadili sesuatu. Jika kita lihat dia melakukan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah, galakkan. Jika kita belajar Al-Quran, IMAN disebut di dalamnya sehingga 840 kali. 80% menyentuh perkara iman dan 20% tentang hukum hakam.. Kenapa? kerana amal & ilmu akan datang dalam individu tersebut sekiranya IMAN mula kukuh dalam jiwa mereka. Walaupun saya mula belajar semula hadith & feqah mula dari tahun 2004, tapi semuanya kosong kerana Allah belum lontarkan hidayah dalam hati ini sehingga terasa IMAN saya terlalu lemah. Saya tidak mengatakan IMAN saya kuat sekarang, tapi saya tahu ia mula hadir dalam sukma ini.

Ketika Imam Syafie didatangi oleh Fityan & Qois (Fityan sangat memusuhi Imam Syafie kerana fatwa beliau), mereka meminta pandangan Imam Syafie tentang Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusof, Imam Muhammad al-Hassan, Iman Zufar.. Imam Syafie menjawab memuji serta menceritakan kehebatan mereka berdasarkan bidang yang mereka kuasai. Qois bertanya lagi untuk kali terakhir

"Bagaimana pula dengan Jundul?'

Imam Syafie tidak menjawab walau ditanya sehingga tiga kali. Lantas anak murid beliau (al-Rabi) menjawab

"Dia seorang pendusta"

Imam Syafie pun berkata " Peliharalah lisanmu wahai al-Rabi'. Jangan katakan dia seorang pendusta yang besar. Katakan yang pendapatnya tidak dapat diterima." Qois amat berpuas hati dengan jawapan Imam Syafie dan percaya yang kata-kata Fityan tentang beliau sebelum ini hanya fitnah.


Ada sebuah kisah lagi. Ketika Imam Suyuti ditanya oleh seseorang (yang mengatakan ahli sufi sesat) tentang Ibn Arabi, beliau menjawab

"Engkau tahan diri dahulu tentang ini, (kerana) sesiapa yang merasa lapar kaum sufi itu, dan berjaga malam seperti mereka berjaga malam, ia akan melihat apa yang mereka (ahli sufi) lihat"

Mudah-mudahan post ini jadi azimat untuk saya kemudian hari dan pengajaran kepada sahabat-sahabat saya. InsyaAllah

Saturday, March 27, 2010

Gaza oh Gaza!!

Artikel dari akhbar Berita Harian pada 27 Mac 2010.

Kereta kebal Israel masuk Gaza, rakyat Palestin terbunuh

BANDARAYA GAZA: Beberapa kereta kebal Israel memasuki Semenanjung Gaza selepas dua askar rejim Yahudi itu terbunuh dalam pertempuran dengan pejuang Palestin sebelum itu.

Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin tercedera dalam pertempuran yang menyusul selepas keganasan terburuk di wilayah yang dikepung itu sejak 14 bulan lalu.

Pegawai perubatan Palestin berkata, kematian dan kecederaan di kalangan penduduk Gaza itu disebabkan tembakan peluru kereta kebal tetapi tidak memberi butiran lanjut. Saksi berkata, kereta kebal itu yang diiring beberapa helikopter tempur mara seketika ke bahagian Khan Yunis di selatan Gaza sebelum berundur ke wilayah Israel.

Pencerobohan kereta kebal itu berikutan pertempuran hebat semalam yang menyebabkan dua askar Israel terbunuh manakala empat pejuang Palestin terkorban. - AFP

*Tunaikan hak kita sebagai muslim. Doakan keselamatan saudara kita setiap masa, paling kurang pun selepas kita solat. Mudah-mudahan kemenangan berpihak kepada mereka. Ameen.

Monday, March 22, 2010

Lautan mana tak bergelora?

Salam sahabat-sahabat semua

Subuh ni saya rasa dalam kondisi mengantuk yang agak parah. Sebelum bilal iqamah, entah berapa kali saya tertidur. Nasib baik dalam keadaan duduk, maka wudhu pun masih sah lagi.

Malam semalam saya pergi ke airport untuk jemput kawan berasal dari Selangor yang datang ke Kuching atas urusan kerja. Sempat lagi singgah makan Mi Kolok Pak Lah di Kampung Boyan. Balik ke rumah jam 11 malam selepas hantar dia ke hotel. Baru online sekejap, tiba-tiba phone saya berbunyi. Agak terkejut bila sahabat lama call sebab dia dah lama duduk & kerja di Kuala Lumpur. Rupanya dia tengah bercuti & akan berada di Kuching selama seminggu.

Walaupun mengantuk & penat, saya bersetuju untuk keluar minum teh dengan sabahat saya itu di Waterfront. Banyak cerita yang kami kongsi kerana sudah lama tak berbual seperti ini untuk beberapa bulan. Dulunya, sahabat saya inilah yang selalu lepak di rumah saya pada lewat malam kerana dia dulu bekerja sebagai tukang masak di sebuah gerai makan.

Seronok bercerita, tiba dia bertanya

"_______ dah bertunang ke?"

secara jujur, saya tersentak kerana tak menyangka dia masih lagi tanya pasal individu yang pernah bertandang dalam hati saya satu ketika dulu.. Soalan tu pulak satu kejutan bagi saya.

"entahla, mungkin gak" jawab saya ringkas

"Aku tengok gambar dia bertunang dari FB" saya senyum mendengar penjelasan dia

Kami cuba mengubah topik perbualan. Pun begitu, masih lagi cerita ___ tadi mengusik-ngusik hati saya.

Lautan mana tak bergelora? tapi saya pujuk hati aku sendiri, Allah tahu yang mana terbaik untuk saya, dan terbaik untuk si dia. Saya masih ingat lagi pesan Seorang Tok Guru

"Allah sengaja turunkan hujan ketika hari masih panas terik, kerana Dia nak bagi kita pelangi kemudiannya"

Selalu kita dengar dari kawan-kawan kita yang mengeluh (kadang-kadang ia terbit dari hati kita). Sebagai contoh 'hidup aku sial', 'kenapa hidup aku selalu dirundung masalah', i'm rather to die now', dan bermacam-macam lagi hanya kerana kecewa dalam cinta. Saya pun sedia maklum bagaimana peritnya kecewa dalam bercinta kerana saya sendiri pernah melaluinya. Tapi saya dapat terima semuanya selepas mengakui perkara keenam dalam rukun iman iaitu -PERCAYA KEPADA QADA' & QADAR.

Bila memikirkan betapa indah susunan dan aturan hidup yang ditentu olehNya, hati kembali tenang. Allah Maha Adil & Mahu Tahu perkara di kemudian hari. Semoga si dia bahagia dengan jodohnya, dan saya sentiasa bahagia dengan kehidupan sekarang.


*Saya mendengar lagu ini berulang kali dalam kereta pada pagi ini. Indah & tenang :)

Sunday, March 21, 2010

Zikir Pagi

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ampunan dan keselamatan pada agamaku, duniaku, keluargaku, dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri dan dari arah atasku. Aku berlindung dengan keagungan-Mu bila aku disambar dari arah bawahku

Thursday, March 18, 2010

Mendung Menali Disember




terbujur kaku perahu
kerna surutnya pantai
pada musim hujan
tersusun bawah hukum resminya

maka tercipta puisi tipikal
tentang desiran ombak
hamparan langit tanpa bintang
mendung menali disember

hanyut dalam ketiadaan
tepis rasa takut
gelap merakyat alam
tanpa nyanyian senandung neon

sunyi bukan sendirian
hanya raja kepada malam
hibur kepada pasir
permainan kepada batu