Monday, April 9, 2012

Bahagianya Bertudung Labuh



Kisah ini ditulis oleh seorang pelajar universiti tempatan mengenai pengalamannya mengenakan tudung labuh sebagai pakaian harian. Semoga para muslimat beroleh manfaat daripada kisah beliau.


Saya tak tahu macam mana nak mulakan kisah saya, tetapi saya cuba untuk berkongsi pengalaman saya. Dulu, saya seorang yang suka sangat berfesyen dan mekap. Semua pakaian-pakaian saya mengikut fesyen-fesyen terkini dan suka membazir duit dengan membeli pakaian-pakaian ini. Saya suka sangat untuk berhias dan kelihatan cantik supaya dapat menarik perhatian. Saya sedar perbuatan saya salah, malah sahabat-sahabat saya selalu menasihati saya supaya tidak berlebihan dan tidak memakai pakaian yang ketat-ketat dan cuba menutup aurat. Saya tidak memarahi mereka malah saya tersenyum kerana saya tahu salah saya. Saya faham dengan hukum agama tetapi saya enggan mengikutinya.

Satu hari, (masa itu dalam cuti semester) saya tiba-tiba berasa lemah-lemah badan, tiada selera makan, tidak boleh tidur. Sebulan saya sakit begini. Saya tidak bagitahu keluarga saya tentang keadaan saya. Dalam fikiran saya, saya fikir yang saya akan mati. Saya menjadi lemah semangat dan sangat takut. Saya takut dengan kematian, takut dengan azab seksaan kubur dan takut dengan azab neraka. Saya mula suka termenung. Dalam fikiran saya, saya fikir nanti bila saya dah mati mesti banyak aib saya yang orang boleh nampak. Saya tak nak mati dalam keadaan suul khatimah. Saya tak nak. Dalam masa itu, saya banyak berbuat solat taubat, membaca Al-quran dan membaca buku agama. Andai kata jika masa itu, saya dijemput ALLAH biarlah dalam keadaan yang baik.

Family dapat merasa perubahan diri saya yang selalu termenung, selalu tidur lewat dan kurang selera makan. Saya ingat pada masa itu, mak bertanya kenapa sejak akhir-akhir ini saya berkelakuan pelik. Tanpa saya sedari, saya menangis dan meminta ampun pada emak supaya maafkan segala kesilapan saya. Saya dapat rasakan yang saya akan mati dan saya merasa kesakitan yang tak pernah saya rasa. Saya berasa sangat sejuk ketika itu dan badan saya menggigil. Air mata tak henti-henti mengalir kerana menyesal dengan apa yang saya sudah buat dulu. Sungguh saya menyesal tidak mendengar nasihat kawan-kawan saya, tidak menurut perintah ALLAH dengan menutup aurat dengan sempurna. Emak dan adik-beradik saya risau melihat keadaan saya ketika itu. Emak menangis kerana mungkin dalam fikiran dia, saya bakal dijemput Tuhan nanti. Kak long tenteramkan mak dan bawa saya ke pusat perubatan as-syifa di Bangi. Ustaz disana banyak tarbiahkan saya dan memberi air minuman yang sudah dibaca dengan ayat-ayat yang khusus supaya dapat memulihkan semangat saya.
Alhamdulillah, beberapa minggu kemudian saya pulih dan sejak dari itu saya berazam untuk berubah.

Pada awalnya, saya tidak tahu macam mana untuk berubah. Tetapi, sahabat-sahabat saya banyak membantu saya untuk berubah. Mereka mula mengajak saya mengikuti kelas-kelas agama dan banyak menasihati saya. Terus terang saya cakap, hari pertama saya menyarung tudung labuh, saya mempunyai rasa malu, ragu-ragu dan takut-takut. Apabila saya fikir semula sampai bila saya nak jadi macam dulu. Pakaian pakaian yang singkat, ketat, bertudung tapi tak mengikut syarak. Saya bertudung labuh kerana ALLAH, semoga ALLAH sentiasa melindungi saya. Selepas dari itu, saya mula merasa nikmat yang tidak dapat gambarkan. Kini, saya mula selesa bertudung labuh dan berpakaian labuh. Biarlah orang kata saya kuno, tidak cantik dan sebagainya asalkan hati saya tenang dan berasa selamat. Saya tidak sanggup lagi merasa kesakitan itu untuk kali kedua walaupun saya tahu mati itu terlalu sakit. Mungkin dengan kesakitan yang saya rasai dulu, adalah salah satu peringatan yang ALLAH bagi untuk sedarkan saya.

4 comments:

Siti Asiah said...

Alhamdulillah awak org terpilih ...cam kenal jer pic.tu xsilap sy itu semua student Darul Quran KKB...mang tenang n sejuk mata mandang tgok diaorng...semua pakai tdg labuh...moga suatu hr nnt ALLAH bka kan pintu hati sy utk pakai tdg labuh...:)

...antikapel... said...

rasanya ada kawan saya dalam gambar tu. betul la...dia studen darul quran KKB....

hidayah tak perlu ditunggu, tapi boleh diharap. yang penting perlu dicari...

Mat Ise said...

:)

Nuraini Ismail said...

alhamdulillah..^_^

Post a Comment