Thursday, April 1, 2010

malam bulan dipagar bintang

Hari ini saya kena migrain yang kuat sehingga tak mampu menanggung sakitnya. Semasa saya mendirikan solat isya' pun terasa peluh sejuk mengalir. Lepas isya saya terus bergegas balik ke rumah kerana hampir termuntah bilamana bisa migrain ini makin mencengkam.

Janji saya dengan salah seorang ahli radio amatur terpaksa dibatalkan pada malam ini, dan terpaksa digantikan pertemuan itu pada mingga hadapan. Selepas mengatur semula temujanji, saya terus baring dan tidur.

Jam 11 lebih malam, saya bangkit semula sementelah beberapa jam disulam mimpi. Mimpi yang indah, mimpi saya tinggal di Madinah. Mana mungin saya mengatakan ini mimpi biasa, kerana sentiasa menjadi impian ingin selalu dekat dengan tokoh paling hebat dalam sejarah manusia.

Selepas saya bangkit, seperti biasa saya akan ke dapur dan duduk di dapur sambil minum teh. Saat itulah saya terfikir sejenak. Adakah mimpi tadi ada kaitan dengan apa yang bermain dalam kepala pada akhir-akhir ini? Ceritanya begini, rumah saya dengan surau dekat saja. Kalau jalan kaki, masa hanya sempat dicuri lebih kurang 3 minit cuma. Jemaah-jemaahnya pula, ada yang baru mengenali saya (tiada terkira dengan jari dah berapa tahun tidak singgah solat di sana), dan ada yang memang sedia kenal dengan saya lantaran rumah mereka hanya beberapa kerat badan jauhnya.

Saya baru saja menjejak kaki ke sana untuk beberapa bulan ini, tapi sudah terasa mujahadahnya. Ia perang antara kewajipan menentang rasa kecil hati, malu, gusar dan rasa buruk sangka saya. Ramai yang sedia maklum tentang sejarah hitam saya, sejarah yang pernah menjadi topik hangat satu kampung. Adakah saya bersalah untuk melindungi nyawa saya, sehingga setiap kali saya bersalaman sambil senyum dibalas dengan muka yang sarat dengan kebencian.

Saya selalu terfikir, manusia selalu menghakimi keadaan tanpa belajar memikir bagaimana rasanya memakai kasut individu yang dihakimi. Harap-harap pembaca faham maksud metafor yang ingin saya sampaikan. Atas sebab ini, saya sering ingin pergi jauh dari tempat orang yang mengenali saya. Ini bait-bait puisi yang pernah saya karang

'timbullah angan-angan
jikaku bersayap
langit malamku jelajahi'

Apabila saya cernakan balik semua, saya beristighfar. Kenapa saya terlalu pentingkan diri? Sehingga sanggup meninggalkan sahabat-sahabat saya yang masih tergapai-gapai. Banyak perkara yang mengagumkan hati saya tentang kebesaran Allah baru-baru ini, tapi saya terlepas pandang untuk seketika kerana hati terlalu gusar.

Sebagai contoh, sahabat sama sekolah yang selalu gelakkan saya di dalam kelas kerana saya sering menjadi perhatian Ustaz untuk menjadi wakil sekolah dalam kuiz agama & tahfiz peringkat sekolah telahpun solat berjemaah 5 waktu di surau itu. Contoh kedua, seorang tokoh muzik underground (band skinhead) di Malaysia kerana band mereka antara pelopor muzik PunkRock pada awal 90-an, pun mula berjemaah di surau tersebut. Dulu kami berjumpa di gig-gig tempatan kerana selalu berkongsi pentas, kini kami berkongsi surau, subhanallah. Contoh ketiga, seorang sahabat yang langsung tidak pernah solat, berpuasa pada bulan ramadhan dan selalu mengejek bila saya mengikut adab nabi,sekarang saya dapat melihat ada kesan hitam di dahi dan dia duduk makan ikut cara nabi walaupun kawan disebelah dia sempat mengejek cara dia duduk.

Rasa syukur mula meniti sukma ini, bila Allah tunjuk bahawa saya tidak keseorangan dalam gelanggang masyarakat. Lebih-lebih lagi, salah seorang dari mereka pergi ke rumah untuk mengajak saya turut serta dalam usrah yang selalu dia sertai. Allah Maha Mengetahui segala niat hambanya. Walaupun nabi tidak menggalakkan kita untuk ketawa dan bergurau, saya tidak dapat untuk mengubah tabiat saya ini secara mengejut. Sebab saya masih sayangkan kawan-kawan saya. Mereka senang dengan cara saya itu dari dulu-dulu lagi. Kadang-kadang saya masih duduk dengan mereka walaupun sedang mereka menikmati air kencing anak Azazil.

Cuma saya mengharapkan doa dari teman-teman, sahabat-sahabat dan pembaca-pembaca samaada yang kenal atau tidak supaya saya sentiasa tabah dengan ujian baik sekecil riak tasik atau sebesar ombak di lautan...

4 comments:

lyla said...

alhamdulillah...semoga perjalanan mu ke jalan yang diredhai-Nya dilapangkan dan dipermudahkan hendaknya.

[hamba Allah yang masih mencari sinar]

SUHAIDA SUPALIO said...

Alhamdulillah..percaya lah Allah sentiasa menyayangi iman tau..

Teh O said...

Salam Iyla & Suhaida

Semoga Allah merahmati kita semua.. Aminn :)

jeansLusuh said...

Salam Sheikh, gue senantiasa mendoakan yang terbaik untuk teman teman gue ... semoga semua yang dilakukan dirahmati ALLAH SWT ..

Post a Comment