Thursday, April 7, 2011

Mutiara kata dari Syeikh Mahmud Majzub al-Kedahi


Dipetik dari kata-kata Syeikh Mahmud al-Majzub al-Kedahi didalam kitab Ruhul zikri :-

1- Perkara kerohanian tidak boleh difaham dengan aqal, nafsu dan ilmu. Jika boleh dengan ilmu, sudah tentulah Imam Ghazali tidak mengaji dengan Yusuf Nasaji dan Sheikh Abdul Wahab Sya’rani tidak mengaji dengan Ali Khawas. Cukuplah mereka ini menjadi contoh.

2- Belajar kereta perlu ada guru, nak kenal Allah tak perlu guru. Ini awal-awal lagi syaitan tipu.

3- Duka dan suka di dalamnya makrifah lebih manis daripada madu, lebih putih daripada susu. Duka dan suka di dalamnya kekufuran dan kesyirikkan lebih pahit daripada hempedu dan lebih busuk daripada budu.

4- Kalau nak berjalan (di dalam perjalanan Ahlullah). Mengaku kita ni tak terpakai (tak berguna dan banyak dosa), lebih senang, mudah-mudahan Allah S.W.T. ampun dosa kita.

5- Orang yang diberi mudah (untuk menjalani jalan kesufian) apabila ada darah (keturunan) kesufian. Tiada dosa besar. Tiada amalan kejinnan (khadam). Banyakkan selawat, istighfar, zikir dan baik adab dengan Allah S.W.T., zuhud, tinggalkan makhluk, bersungguh-sungguh dengan Allah S.W.T., istiqomah, tegas, tiada tujuan dunia dan akhirat.

6- Kalau tak senang dengan sesuatu – DIAM!

7- Cakap salah tak cakap salah, cakaplah kerana Allah S.W.T. Semoga jadi hamba Allah S.W.T.

8- Kerja dunia boleh tangguh-tangguh, kerja akhirat tak boleh tangguh-tangguh.

9- Saya berdoa kepada Allah S.W.T. nak jadi hamba Allah S.W.T., bukan nak jadi wali.

10- Buat ibadat nak jadi wali – syirik!

11- Orang yang sebenar cinta Allah S.W.T. tidak takut menghadapi cabaran hidup dunia.

12- Saya tak ajar kamu melampau (berani dan semangat yang tak ketahuan). Saya tak ajar kamu menjadi pengecut. Saya ajar kamu jadi hamba Allah S.W.T. yang bertaqwa.

13- Saya hamba Allah S.W.T. macam kamu juga. Saya tidak tahu melainkan apa yang Allah S.W.T. bagi tahu. Kalau Dia tak bagi tahu, saya pun tak tahu.

14- Dia Tuhan! kita hamba. Jangan campur urusan Tuhan. Manusia jenis apa ini? Dia nak atur Tuhan. Dia suruh Tuhan ikut dia. Nauzubillah min zalik..

15- Hidup atas dunia tak mahu ikut nabi, aulia atau orang soleh. Bila mati nak duduk sekali dengan orang soleh, ini cerita kartun.

16- Waktu hidup ikut Firaun, Qarun dan Haman. Bila mati nak masuk Syurga, dengan nabi Musa a.s. dan Harun a.s. Logik tak? fikir-fikirlah..

17- Manusia, banyak tak dapat taufik hidayah sebab ikut nafsu amarah kemudian berdoa dengan Tuhan. Sepatutnya kena tinggalkan nafsu dulu. Allah S.W.T. jadikan nafsu Amarah supaya kita tinggalkan bukan untuk ikut.

18- Cara cuci hati. Banyakkan baca Al-Quran, ingat mati dan hadir majlis zikir. Bila hati suci, barulah ada tauhid.

19- Ilmu (kesufian) ini bukan boleh diwarisi. Kalau boleh tentulah saya bagi anak isteri saya dulu, tetapi ia adalah anugerah Tuhan.

20- Saya mengaji (ilmu perjalanan Ahlullah) dengan air mata (banyak menangis).

21- Penyatuan orang mukmin dengan air mata (menangis kerana mengenangkan keagungan Tuhan). Penyatuan orang yang tak mukmin dengan gelak ketawa. Macam kera maka jadilah kera.

22- Saya mengajar ilmu para wali bukannya tok sami!

23- Saya hanya boleh nasihat, saya tak boleh memberi manfaat dan mudharat. Buat ibadat nak fadhilat, nanti berkulat. Buat nak berkat nanti melekat.

24- Kesufian bukan boleh di dapati dengan seminar dan pena. Kesufian boleh di dapati dengan zuhud dan yakin.

25- Jangan buat ibadat pura-pura, nanti jadi kura-kura.

26- Nabi Yunus a.s., duduk dalam perut ikan tapi, tak jadi tahi, sebab baginda membaca “Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”. Oleh itu supaya kita, tidak menjadi tahi dunia, maka banyakkanlah membaca “Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”.

27- Perjalanan saya muafakat dengan perjalanan Maulana Ilyas r.a. (Pengasas Jemaah Tabligh, Ahli Zaman Abad 14 hijrah) dari segi menghancur hati kepada Allah S.W.T. cuma caranya berbeza tetapi matlamatnya sama. Seperti nelayan nak menjadi jutawan, tauke kilang nak jadi jutawan, peladang nak jadi jutawan. Walaupun caranya berbeza tetapi matlamat mereka sama, nak jadi jutawan!

28- Kamu boleh paksa anak kamu untuk dunia, tak cukup dengan sekolah pergi tusyen lagi. Tapi kenapa dengan halqah zikir kamu tak boleh buat?
Air mata takut Allah S.W.T. tak sama dengan air mata lembu. Macamana air mata lembu? Bila dia lapar dia menangis, bila dia sakit dia menangis, bila anak dia mati dia menangis. Macam itulah air mata orang tidak takut Allah S.W.T.

29- Menurut hadis, setitik air mata orang yang takut Allah S.W.T. boleh memadamkan api neraka. Apatah lagi api dunia dan bom atom, bom nuklear – kalau dibandingkan dengan api neraka! Sebab itulah Iblis dan konco-konconya mencari jalan untuk memupuskan jalan-jalan orang yang takut Allah.

30- Hari ini ramai orang membicarakan karomah para aulia, karomah Sultan ‘Aulia Sheikh Abdul Qadir Al Jilani tetapi kenapa tidak mengkaji cara-cara dan punca-punca hendak mendapat karomah.

31- Saya menceritakan perjalanan muqarrabin. Oleh itu janganlah kamu menghukum (membuat andaian) di atas pandangan orang-orang hasanah. Kerana kebaikkan orang-orang hasanah adalah kekejian bagi orang muqarrabin.

32- Kamu, kereta boleh beli tetapi jam loceng untuk mengejut waktu tahajud tak boleh beli.

33- Berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan Sunnah Rasullallah.

34- Orang kafir yang makan ular, bisa ular tidak menjejaskan mereka kerana dalam badan mereka ada sel-sel darah ular. Kita orang Islam tak makan ular, kemudian kita tak buat perkara yang lebih bisa dari bisa ular (zikir, istighfar dan selawat).

35- Bila (iman) kita lemah, maka orang-orang yang lebih lemah daripada kita akan mengambil kesempatan daripada kelemahan kita. Jalan penyelesaiannya, dengan kita memperbaikki diri kita.

36- Allah S.W.T. tak terima doa orang yang mengikut nafsu Ammarah.

37- Maafkan segala kesalahan orang-orang yang membuat kesalahan dengan kita walaupun mereka tidak memohon maaf.

38- Orang yang tak berani menghadapi ujian, itu orang bodoh. Kalau tak ada ombak yang besar macam mana orang yang main luncur ombak hendak rasa keseronokkan bermain ombak.

39- Kalaulah binatang buas boleh di latih sebagaimana harimau, gajah dan beruk sarkes dilatih untuk membuat pertunjukkan (boleh dijinakkan), apatah lagi manusia kerana Allah berfirman “Walhal mereka seindah-indah makhluk Allah”
(Surah Tin Ayat 4).

40- Jadilah hamba Allah, buatlah kerana Allah, MasyaAllah!

41- Jikalau kulit saya kamu salin ke tubuh kamu, darah saya kamu tukar ke dalam jasad kamu, daging dan tulang saya kamu pakai sekalipun! Kamu tak akan dapat sebagaimana saya dapat sekiranya kamu tak bersungguh – sebagaimana saya bersungguh-sungguh dengan Allah.

42- Bukan nak (zikir dengan suara) kuat, bukan perlahan. Matlamat kita hancur hati dengan Allah tetapi kebiasaanya nak hancurkan batu gunung untuk buat jalan kena gunakan bahan letupan. Kemudian batu tadi di masukkan di dalam masing penghancur, tentulah proses ini mengeluarkan bunyi yang kuat. Apatah hati manusia lebih keras dari batu.

43- Fahaman Wahabi ialah fahaman yang berpegang kuat dengan zhahir syariat. Mereka tidak terbuka rahsia syariat. Jika kita berpegang kuat denga syariat dan hakikat, mereka tak boleh makan kita.

44- Kalaulah anjing yang mengikut pemuda Ashabul Kahfi, Allah masukkan ke dalam syurga. Apatah manusia yang bersungguh-sungguh mengikuti perjalanan Ahlullah. Ada orang yang menulis nama-nama mereka (Ashabul Kahfi) untuk dibuat azimat sahaja. Ini saya tak setuju, sepatutnya kita kena ikut langkah mereka untuk menyelamatkan iman. Kita pun akan sama dapat kekuatan macam mana yang Allah anugerahkan kepada mereka.

45- Kamu tentang makan, kamu pandai. Untuk menyedapkan sesuatu makanan berbagai ramuan digunakan, tetapi kenapa untuk mendapat kemanisan di dalam ibadah – kamu tak pandai?

46- Duduklah tang manapun, di parit longkang, di dalam istana, di atas, di bawah, di tepi, di tengah, di laut atau di darat. Matlamat kita ialah kehambaan.

47- Pohonlah kepada Allah untuk berjumpa dengan guru yang boleh membimbing kamu ke jalan Allah.

48- Di dalam perjalanan Ahlullah, baka keturunan adalah salah satu perkara yang sangat penting. Sebab itulah Rasullullah S.A.W. suruh memilih perempuan yang beragama untuk dijadikan isteri.

49- Untuk menyucikan darah-darah keturunan yang tak terpakai, darah kejinnan, darah kekufuran dan kesyirikan. Hendaklah menghabiskan selawat sebanyak 5.6 juta.

50- Kalau kita tak larat nak berjalan, jadilah tangga untuk orang-orang yang nak berjalan.

51- Sesetengah orang seronok membaca dan mendengar keromah Syaikh Abdul Kadir Al Jilani. Nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jilani dia tak baca! Bacalah nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jilani, Fathul Ghaib dan Fathur Rabbani.

52- Allah S.W.T membimbing mereka melalui syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Pancaran nur kalimah ‘La ila haillallah’ yang di bawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sentiasa dikawal dan diperlihara oleh para aulia supaya memancar dan bersinar.

53- Bilal bin Rabbah r.a seorang hamba abdi. Orang yang dipandang hina oleh masyarakat tetapi berhubung dengan keimanan dan tauhid, dia seorang yang mulia dan cerdik. Beliau tidak tunduk kepada kekufuran dan kesyirikkan walaupun jasadnya disiksa. Di hari ini, kita ada ramai golongan cerdik pandai, ada pensyarah, ada jurutera, ada doktor, ada ulama; tetapi berhubung dengan keimanan dan tauhid, kita jauh ke belakang dan lebih bodoh daripada Bilal r.a..

54- Kalau kereta rosak ada tukang yang akan baikinya. Kalau orang rosak siapa yang nak baiki?

55- Jadilah hamba Allah sehamba-hambanya. Kalau orang bertanya siapa yang paling banyak dosa? Angkatlah tangan!

56- Perkara yang kita tak tahu tidak semestinya perkara tersebut tak betul.

57- Orang yang loyar buruk dengan ALLAH ialah orang yang loyar buruk dengan Aulia Allah.

58- Bala yang Allah kenakan kepada kita adalah setimpal dengan amal perbuatan kita.

59- Benda dan perkara yang dah berlaku, jangan kata “Silap!” Tuhan buat “Tak silap”. Yang silapnya pasal kita “Ikut hawa nafsu!”

60- Pakai baju, dulukan tangan kanan, buka baju dulukan tangan kiri. Pakai kain dulukan kaki kanan, tanggalkan kain, dulukan kaki kiri, pakai seluar duduk dulu dan mulakan dengan kaki kanan kemudian barulah berdiri, buka seluar dulukan kaki kiri. Nak pakai kasut/selipar dulukan kaki kanan nak buka, dulukan kaki kiri. Pakai kain tindihkan kanan di atas pihak kiri. Ni kamu tidak! pakai ikut “DAN!”. Tak ikut sunnah, ikut syaitan, tak ada zikrullah. Zikrullah tak masuk dalam badan lagi. Kamu ingat perkara ni kecik! Kalau perkara kecik tidak boleh nak jaga, macam mana nak jaga perkara yang lebih BESAR?...

3 comments:

sang hEArty indAh~ said...

Terima Kasih...sangat best! :)

mcddy said...

mohon share ye :)

AQEM said...

mohon share~

Post a Comment