Wednesday, March 21, 2012

Kemurahan Rasulullah S.A.W


Sahabat Bilal r.a mengumandangkan azan dengan merdu sekali dan para sahabat lain yang sibuk dengan aktiviti harian terus berhenti dan cepat-cepat mengambil wudhu kemudian bergegas ke Masjid Nabawi. Mereka masuk ke masjid dan terus mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid. Usai mengerjakan solat sunat, mereka duduk dengan elok sehingga tiada satu pun ruang kosong.

Sementara menunggu Rasulullah saw datang mengimami solat fardu, para sahabat berzikir, ada pula yang membaca Al Quran yang mereka hafal. Intinya, mereka sudah siap zahir dan batin untuk menghadap Allah SWT. Begitulah tertibnya para sahabat mematuhi perintah RasulNya sehingga keadaan di Masjid Nabawi ketika itu begitu tenteram dan menyenangkan.

Bilal beberapa kali menjenguk ke jendela dan pintu rumah Rasulullah yang bersebelahan dengan masjid. Ini kerana untuk memastikan bahawa baginda memang akan ke masjid. Tapi kena lambat? Mereka tetap bersangka baik bahawa Rasulullah tetap akan ke masjid dan mungkin baginda sedang melakukan sesuatu sehingga kedatangannya tidak seperti biasa.

Namun, setelah lama menunggu Rasullah tetap juga tidak muncul. Biasanya bila mendengar azan Bilal, baginda akan segera hadir ke masjid. Kali ini, para sahabat terasa lama menunggu Rasullah datang.

Rupa-rupanya, sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Jabir r.a, Rasulullah saw tidak segera ke masjid kerana baginda tidak memiliki gamis untuk solat.

Dalam hadith itu disebutkan, ketika Rasulullah sedang duduk, datanglah seorang anak kecil dan berkata kepadanya, “Ibuku memohon kepada tuan agar dia diberi gamis”. Baginda menjawab, : Tunggu sehingga barang itu ada dan kamu boleh datang kembali”. Anak kecil tersebut terus pulang ke rumahnya dan menceritakan perkataan Rasulullah saw kepada ibunya.

Ibunya berkata, “Kembalilah kamu kepada Rasulullah saw, khabarkan kepada baginda bahawa ibu meminta gamis yang dipakainya”. Maka anak datang lagi menghadap Rasulullah dan menceritakan permohonan ibunya.

Mendengar hal itu, Rasulullah saw masuk ke dalam kamarnya, menanggalkan gamis yang dikenakannya dan memberikannya kepada anak kecil itu, lalu baginda duduk tanpa baju. Pada waktu itulah Bilal mengumandangkan azan dan kemudian bersama para sahabat menanti kedatangan Nabi saw.

Setelah kejadian itu diketahui oleh para sahabat, barulah salah seorang di antara mereka memberikan baju kepada Rasulullah saw. Begitulah sifat pemurah Rasulullah saw yang seharusnya kita teladani. Jika tidak mampu buat semua, jangan tinggalkan semua. Wallahualam

0 comments:

Post a Comment