Wednesday, March 21, 2012

Umar r.a membuat rondaan


Suatu hari Umar membuat rondaan biasanya ke Harrah bersama hambanya Aslam. Nun jauh di sana kelihatan suatu cahaya api. Beliau berkata:

“Mungkin di sana ada sebuah khemah. Mungkinkah suatu khalifah yang tidak dapat memasuki Bandar kerana waktu telah gelap. Marilah kita melihat hal mereka dan menguruskan keselamatan yang perlu untuk mereka”.

Apabila tiba di sana didapati seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak sedang menangis. Sebuah periuk berisi air sedang terjerang. Umar menyapanya dengan salam dan dengan keizinan daripada wanita itu beliau datang menghampirinya. Lalu Umar bertanya:

“Mengapa kanak-kanak itu menangis?”.

Wanita itu tidak mengenali Umar dan dia menjawab pertanyaan Umar dengan sedih:

“Mereka lapar”.

“Apakah yang ada dalam periuk?”. Umar bertanya.

“Hanyalah air dijerang bagi mendiamkan kanak-kanak itu agar mereka pergi tidur dengan harapan makanan sedang disiapkan untuk mereka apabila meraka bangun nanti. Ah! Allah akan mengadili Umar pada hari kiamat kelak kerana membiarkan aku dalam kesusahan.” kata wanita itu.

Umar menangis apabila mendengar kata-kata wanita itu.

“Semoga Allah merahmatimu. Bagaimanakah Umar dapat mengetahui kesusahanmu ini?’.

Wanita itu menjawab:

“Apabila dia menjadi amir kami, dia perlulah tahu mengenai kami”.

Umar pun kembali ke Bandar dan terus ke Baitul Mal. Beliau mengisi tepung, kurma, lemak dan pakaian serta wang dinar ke dalam karung. Apabila telah siap diisi beliau berkata kepada Aslam:

“Sekarang letakkanlah karung ini di belakangku wahai Aslam”.

Aslam enggan lalu menjawab:

“Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku sahaja yang memikulnya”.

Umar enggan mendengar kata-kata Aslam malah beliau mendesaknya agar membenarkannya memikul barang itu di atas pundaknya sambil berkata:

“Apa! Mahukah kamu memikul beban dosaku pada hari akhirat? Aku mesti membawa karung ini kerana aku akan disoal mengenai wanita ini pada hari akhirat kelak”.

Dengan perasaan yang berat Aslam meletakkan barang tersebut di atas belakang Umar lalu bergerak pantas ke khemah wanita tadi. Aslam mengikut beliau dari belakang. Beliau memasukkan sedikit tepung, kurma dan lemak ke dalam periuk dan mengacaunya. Beliau menghidupkan api untuk memasaknya.

Aslam berkata;

“Aku lihat asap melalui celah-celah janggut Umar yang tebal”.

Seketika kemudian masakan tersebut siap. Beliau sendiri yang melayani keluarga itu. Setelah kenyang beliau menyimpan bakinya untuk kegunaan mereka di kemudian hari. Kanak-kanak tersebut sangat gembira setelah memperolehi makanan dan mereka bermain dengan riangnya selepas itu. Wanita itu sangat gembira dan berkata:

“Semoga Allah memberi ganjaran kepadamu kerana kebaikanmu. Selayaknya kamulah yang mengambil tempat Umar sebagai khalifah”.

Beliau duduk seketika di suatu penjuru yang berdekatan sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut. Kemudian kembali ke Madinah. Dalam perjalanan pulang beliau berkata kepada Aslam:

Tahukah kamu Aslam, mengapa aku duduk di situ? Aku telah melihat kesusahan mereka, maka begitulah juga aku mahu melihat mereka riang dan ketawa untuk seketika”.

Kemurahan Rasulullah S.A.W


Sahabat Bilal r.a mengumandangkan azan dengan merdu sekali dan para sahabat lain yang sibuk dengan aktiviti harian terus berhenti dan cepat-cepat mengambil wudhu kemudian bergegas ke Masjid Nabawi. Mereka masuk ke masjid dan terus mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid. Usai mengerjakan solat sunat, mereka duduk dengan elok sehingga tiada satu pun ruang kosong.

Sementara menunggu Rasulullah saw datang mengimami solat fardu, para sahabat berzikir, ada pula yang membaca Al Quran yang mereka hafal. Intinya, mereka sudah siap zahir dan batin untuk menghadap Allah SWT. Begitulah tertibnya para sahabat mematuhi perintah RasulNya sehingga keadaan di Masjid Nabawi ketika itu begitu tenteram dan menyenangkan.

Bilal beberapa kali menjenguk ke jendela dan pintu rumah Rasulullah yang bersebelahan dengan masjid. Ini kerana untuk memastikan bahawa baginda memang akan ke masjid. Tapi kena lambat? Mereka tetap bersangka baik bahawa Rasulullah tetap akan ke masjid dan mungkin baginda sedang melakukan sesuatu sehingga kedatangannya tidak seperti biasa.

Namun, setelah lama menunggu Rasullah tetap juga tidak muncul. Biasanya bila mendengar azan Bilal, baginda akan segera hadir ke masjid. Kali ini, para sahabat terasa lama menunggu Rasullah datang.

Rupa-rupanya, sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Jabir r.a, Rasulullah saw tidak segera ke masjid kerana baginda tidak memiliki gamis untuk solat.

Dalam hadith itu disebutkan, ketika Rasulullah sedang duduk, datanglah seorang anak kecil dan berkata kepadanya, “Ibuku memohon kepada tuan agar dia diberi gamis”. Baginda menjawab, : Tunggu sehingga barang itu ada dan kamu boleh datang kembali”. Anak kecil tersebut terus pulang ke rumahnya dan menceritakan perkataan Rasulullah saw kepada ibunya.

Ibunya berkata, “Kembalilah kamu kepada Rasulullah saw, khabarkan kepada baginda bahawa ibu meminta gamis yang dipakainya”. Maka anak datang lagi menghadap Rasulullah dan menceritakan permohonan ibunya.

Mendengar hal itu, Rasulullah saw masuk ke dalam kamarnya, menanggalkan gamis yang dikenakannya dan memberikannya kepada anak kecil itu, lalu baginda duduk tanpa baju. Pada waktu itulah Bilal mengumandangkan azan dan kemudian bersama para sahabat menanti kedatangan Nabi saw.

Setelah kejadian itu diketahui oleh para sahabat, barulah salah seorang di antara mereka memberikan baju kepada Rasulullah saw. Begitulah sifat pemurah Rasulullah saw yang seharusnya kita teladani. Jika tidak mampu buat semua, jangan tinggalkan semua. Wallahualam

Monday, March 19, 2012

ERTI DOA SEORANG SAHABAT


Terdapat seorang pemuda bersama sahabatnya yang menaiki sebuah kapal yang sama… menuju ke suatu tempat. Dengan taqdir Allah, kapal yang dinaiki telah terbocor, lalu mula karam sedikit demi sedikit… Alhamdulillah, lalu kedua-dua mereka berenang dan terus berenang untuk menyelamatkan diri, hinggalah tiba di sebuah pulau yang sunyi lagi kosong…

Ternyata, pulau tersebut tiada berpenghuni, malah kering kontang tiada sebarang pohon dan wadi… Mereka terus saja bersama, berdoa dan berdoa kepada Allah mudah-mudahan diberi jalan keluar, atau paling tidak diberi makan dan minum untuk meneruskan hidup…Namun, setelah sekian lama, sepertinya doa mereka masih belum dimakbulkan Tuhan…

Sehinggalah suatu hari pemuda tersebut berasa hampir putus asa…Lalu mencadangkan kepada sahabatnya agar mereka memisahkan tanah pulau tersebut kepada dua daerah, dan mereka tinggal di daerah masing-masing… Pada fikirannya, mungkin salah seorang daripada mereka orang yang jauh dengan Tuhan, lalu kerana itulah doa mereka belum dimakbulkanNya…Sahabatnya hanya mengangguk bersetuju tanpa membantah… Bermulalah kehidupan mereka secara berasingan…Si pemuda mula berdoa kembali kepada Tuhan… memohon agar diberikan minuman kepadanya… Di taqdirkan Allah, kawasan tanahnya mula mengeluarkan beberapa pancutan air mata air dari tanah…

Alangkah gembiranya pemuda itu, lalu dia menjenguk ke daerah sahabatnya, dan dilihat tanah di situ masih kering kontang tanpa setitis airpun…. Pemuda itu terus lagi berdoa kepada Allah, kali ini dia memohon semoga Allah memberikannya makanan pula…Dengan izin Allah, beberapa pohon buah-buahan mula tumbuh dan hidup subur di tanah daerahnya… Sekali lagi dia menjeguk ke daerah sahabatnya, dan dilihatnya tiada sebatang pohon pun yang berdiri di situ..Masih sama kering kontang dan lapang seperti hari pertama mereka tiba di situ… Sekarang, dia mula yakin bahawa doa-doanya kini memang dimakbulkan Allah….dan sebaliknya doa-doa sahabatnya itulah yang tidak dimakbulkan Allah…Dan tahulah dia mengapa semasa mereka tinggal bersama, doa-doa mereka tidak dimakbulkan Allah…

“Pasti kerana dia itu seorang yang jauh dengan Tuhan…kerana itulah doanya tidak dimakbulkan…” Lalu, pemuda itu dengan keyakinan bahawa doanya sentiasa termakbul, terus berdoa meminta, meminta dan meminta pelbagai lagi…Hinggalah kemuncaknya, pemuda itu memohon kepada Allah agar dapat keluar dari pulau itu dan kembali ke perkampungannya… Dengan taqdir Allah, tiba-tiba dilihatnya ada sebuah perahu hanyut tanpa tuan menghampiri pulau tersebut…Dengan perasaan gembira yang amat sangat, dia pun menaiki perahu tersebut lalu meninggalkan pulau itu…

Setibanya di kampung halaman, dia bertembung dengan seorang tua yang sangat terkenal alim dan warak di kampungnya itu…Orang tua itu memandangnya dengan penuh kehairanan… Lalu orang tua itu menegur, “Mana sahabatmu yang seorang lagi???” Pemuda itu jadi kaget, tapi berusaha untuk berlagak biasa, lalu bertanya kembali kepada orang tua itu… “Sahabat yang mana satu?” “Sahabatmu yang di pulau itu..”

Terkejutlah pemuda itu pabila mendengarkan jawapan orang tua tersebut….Lalu pemuda itu menceritakan kepada orang tua itu kisah dari mula dia sampai hinggalah hari dia mendapatkan perahu yang membawanya pulang ke kampung…. “Lalu, apakah saya harus menolong membawa pulang sahabat saya itu, sedangkan Allah sendiri tidak memakbulkan doanya?!” kata pemuda itu lagi. Lantas orang tua tersebut pun menjawab… “Tahukah engkau, sesungguhnya sahabatmu itu hanya ada satu doa sepanjang dia di pulau itu, dan satu-satunya doa beliau telah pun di makbulkan kesemuanya oleh Allah…” “Apa doanya?” pemuda bertanya sedikit teruja..

“Sesungguhnya, sepanjang waktu, dia hanya meminta agar Allah memakbulkan semua doa-doamu yang sedang di dalam kesusahan dan kegelisahan…Dan sesungguhnya satu-satunya doa beliau itu telahpun diperkenankan oleh Allah…” Maka terduduklah pemuda itu, merasa terharu dan keinsafan…. Subhanallah… masyaAllah… Allahu Akbar…. Bertuahnya pemuda itu mempunyai seorang sahabat yang semulia itu…alangkah bertuahnya … alangkah bertuahnya.. alangkah bertuahnya dia… Maka, Saya akhiri kisah hidup pemuda itu dengan satu pertanyaan…. “Apakah tuan yang mulia sudi menjadi sahabat saya…dan sudi memberikan saya peluang menumpang barakah tuan…?”

Monday, March 12, 2012

Tuntutlah Ilmu Dengan Bersungguh-sungguh Sementara Para Ulama Masih Hidup.


Daripada Abdullah Bin 'Amar Bin 'Ash r.a berkata; Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka dari kalangan golongan jahil, lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah, maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.

(H.R Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)



Keterangan :



Kini kita merasakan bahawa bumi ini semakin tandus dari para ulama akhirat yang merupakan pewaris para anbiya. Ramai daripada mereka telah meninggalkan kita.. Tahun demi tahun kita melihat para ulama dipanggil ke hadrat Allah taala dan sedikit sekali yang dapat menggantikan mereka. Kalau ada yang menggantikan pun maka kualitinya jauh lebih rendah dari mereka yang dahulu.



Dan yang lebih menyedihkan kita apabila pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama yang dulunya sangat subur melahirkan ulama, kini sudah tidak begitu subur lagi. Pendekatan atau kaedah (metode) pelajarannya banyak yang telah dimodenkan, akhirnya ia kehilangan ciri-ciri keberkatan dan sopan santun penuntut. Dan ada pula pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama yang tetap dengan cara tradisinya yang lama, yang tidak mahu menerima sedikitpun dari sistem moden yang telah terbukti ada juga kebaikannya, akhirnya lahirlah penuntut-penuntut yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang serba canggih yang ada di sekelilingnya.



Dari sudut lain pula, ramai penuntut yang datang ke pondok bukan dengan kemahuannya sendiri, tetapi atas paksaan dari orang tuanya. Dan ada pula yang datang belajar ke pondok sebagai pelarian dari keadaan yang sudah tidap dikawal di kampung halaman. Ketika ibubapa sudah habis akal untuk membimbing anak mereka, maka ketika itulah anak mereka diserahkan ke pondok untuk diperbaiki. Jadi, pondok-pondok tidak ubah seperti bengkel untuk anak-anak yang sudah rosak. Untunglah kalau anak yang seperti ini dapat berubah. Kalau tidak, maka akan berkumpul di pondok-pondok anak-anak yang sudah tidak dapat diurus lagi. Maka dengan itu, mereka akan membentuk satu fenomena baru dalam kawasan sekolah



Jarang sekali kita mendapati seorang waris yang memasukkan anaknya yang paling pandai dan yang paling baik ke pondok. Justeru anak yang pandai itulah yang banyak dihantar belajar di sekolah-sekolah umum. Jika begitu, bagaimana nasib umat ini pada masa yang akan datang apabila tidak ada satu kesungguhan dalam usaha melahirkan ulama.



Oleh itu, mari kita bersama mengembalikan martabat institusi pengajian pondok dan sekolah agama. Mari kita tambahkan kualiti penuntut, guru-guru, tempat belajar yang memadai dan sistem pelajaran yang mengumpulkan antara cara tradisional yang penuh berkat dan sopan santun, dengan cara moden yang dapat diambil manfaatnya, supaya lahir satu generasi yang seimbang dan mantap, yang mempunyai kekuatan rohaniah dan fizikal yang sihat sehingga mereka dapat berhadapan dengan cabaran zaman sangat menggelisahkan kita ini.

Jadikan Dirimu Penyebab Hidayah Bagi Manusia.


Daripada Sahal Bin Saad r.a berkata; Rasulullah saw bersabda: “Demi Allah, bahawa memberi petunjuk oleh Allah akan seseorang dengan sebab engkau, maka itu terlebih baik daripada unta merah”. (H.R Abu Daud)



Keterangan :



Memberi hidayah bagi seseorang adalah mutlak menjadi milik Allah Taala. Apa yang dapat dilaksanakan oleh para ulama, pendakwah, ibubapa, pendidik ialah mengusahakan sebab-sebab lahiriah untuk seseorang mendapat hidayah. Mungkin hidayah didapat oleh seseorang setelah ia membaca buku yang kita tulis, atau setelah mendengar ceramah yang kita sampaikan, atau dari akhlak baik yang ada pada kita, atau setelah mendengar nasihat yang tulus ikhlas yang kita berikan, atau setelah dia melihat beberapa karamah dan keistimewaan yang diberi oleh Allah Taala kepada seorang ulama, dan begitulah seterusnya. Maka hendaklah kita sentiasa berusaha mengundang sebab-sebab hidayah Allah sentiasa turun ke muka bumi ini. Dengan demikian maka usaha kita itu sangat berharga di sisi Allah, lebih berharga dari seekor unta yang berwarna merah, yang merupakan sejenis kenderaan yang paling mahal pada zaman dahulu.

Sunday, September 18, 2011

SELAMAT HARI RAYA AYAH


"Diminta nama-nama tersebut untuk keluar sebentar. Abu Sufian, Abdul Hadi, Azhar dan Fatimah!".
Ketukan pintu kelas Tahun 3 Dahlia itu disusuli dengan pengumuman dari ketua pengawas di luar kelas.

Seperti tahun-tahun yang lain, anak-anak yatim akan dijemput oleh badan-badan bukan kerajaan, swasta serta kerajaan untuk menghadiri majlis berbuka puasa pada bulan Ramadhan.

Acap kali jua Azman sering membayangkan bagaimana perasaan rakan sekelasnya yang kehilangan orang tua mereka.
"Kali ini dijemput ke mana pula?" tanya Azman. "Hotel Hilton" jawab Abu ringkas sambil tersengih-tersengih.

Mereka berdua agak akrab semenjak Abu dipindahkan untuk duduk di sebelah Azman. Selepas beberapa jam, loceng dibunyikan tanda tamatnya sesi persekolahan pada hari itu. Kebiasaannya murid-murid akan berlari selepas kelas. Mungkin kerana ramai yang berpuasa, mereka hanya berjalan pada kali ini.

Selepas sebulan berpuasa, syawal pula menjelma. Azman rasa sangat bahagia dapat beraya di samping keluarga. Semua adik-beradik berkumpul untuk memohon keampunan sambil mencium tangan ibu bapa mereka . Beberapa bulan selepas Syawal berlalu.

"Alif, ba, ta,..." Sudah sekian lama ayah Azman mengajar Azman membaca Muqaddam, tapi Azman masih lagi belum berjaya menghafal huruf-huruf. "Lepas ni ayah dah tak boleh mengajar kamu mengaji ya man" kata ayah Azman sambil menutup Muqaddam milik Azman. "kenapa yah?"soal Azman "Ayah ditugaskan untuk membuka jalan baru di satu tempat luar bandar, Jadi, ayah terpaksa duduk di sana sepanjang minggu. InsyaAllah, ayah akan balik jenguk kamu adik-beradik setiap hujung minggu." Azman hanya mengangguk lemah kerana dia anak bongsu dan semestinya sangat manja dengan ayahnya.

Ayah Azman menghantar Azman mengaji Al Quran kepada sorang guru Al Quran yang tinggal di satu kampung. Azman sangat suka bacaan al Quran yang dibaca oleh ayahnynya usai solat subuh, sebelum cahaya menali sutera. Nilai air mata Azman jadi murah setiap kali mendengarnya. Merdu, sayu, tenang - Ramuan yang berlainan menjadi satu resepi. Resepi yang mampu menenggelamkan nafsu tidur Azman. Walaupun ayah Azman sibuk dengan tugasnya, tetapi sentiasa mengikuti perkembangan bacaan al Quran Azman pada setiap hujung minggu.

"Ayah, Azman sudah pindah ke kitab Al Quran" ujar Azman dalam nada yang penuh girang. Ayahnya sambut kata-kata itu dengan senyuman yang sangat bahagia. Tanpa disedari, hanya tinggal kurang dari sebulan sahaja lagi untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Ada juga yang sudah mula sibuk untuk menyambut kedatangan bulan yang penuh berkat ini. Surau dan masjid pun sudah sibuk berceramah tentang fadhilat-fadhilat bulan ramadhan serta orang yang berpuasa.

Suatu malam, ayah Azman mengajak Azman untuk keluar bersiar-siar dengan menunggang motosikal yang satu-satunya kenderaan yang ada di rumah Azman. Besar sungguh jasa motosikal itu kepada mereka sekeluarga. "Nak pergi ke mana ni ayah?" tanya Azman. "keluar jalan-jalan" jawab ayahnya. Jarang sekali Azman dapat keluar bersiar-bersiar dengan ayahnya apatah lagi jika hari sudah malam. Banyak tempat yang Azman dan ayahnya pergi pada malam itu. Dan yang paling Azman suka, ayahnya menghadiahkan coklat Cadburry yang besar kepadanya.

"Dah besar nanti, Azman masuk ke sekolah vokasional ya." kata ayah Azman sambil menunggang motosikal, Azman hanya mengangguk. Badan Azman yang kecil memudahkan untuk dia duduk di depan ayahnya dan kaki diletakkan di dalam bakul motosikal.

Dua hari sebelum Ramdhan Azman berdiri di atas bangku kayu di luar rumahnya sambil membuat andaian yang bersifat keanak-anakan sesuai dengan usianya "Mesti esok puasa ni, nampak macam cerah je" Dari jauh lagi Azman perasan kedatangan trak pekerja yang selalu dinaiki oleh ayahnya dulu.

"Yeay, yeay.. Ayah datang, ayah datang" Azman bersorak gembira. Trak itu berhenti betul-betul di hadapan rumahnya. Ayahnya hanya senyum sambil membuka pintu trak.

"Kenapa ayah tak nik motosikal?" getus hati Azman. Tak lama kemudian, Udin iaitu rakan sekerja ayah datang menunggang motosikal ayah. Emak menjenguk keluar rumah dengan wajah kehairanan.

"Kenapa ni?" tanya emak sambil memapah ayah masuk ke dalam rumah setelah melihat rakan ayah yang lain membantu ayah keluar dari rumah. Ayah jalan terhoyong-hayang tetapi tidak menghalau senyuman lari dari bibirnya.

"Entahlah kak. Kami tengok abang menunggang motosikal tu huyung-hayang. Jadi, kami suruh dia naik trak ni dan minta si Udin yang menumpang kami tadi bawa motosikal tu sampai ke sini" Jawab rakan ayah. "Ooo.. Macam tu. Tak nak masuk dulu ke? pelawa emak.

"Takpe la kak. Hari dah lewat ni. Kami balik dulu ya" jawab rakan ayah menolak pelawaan emak. Trak terus bergerak dan semakin hilang dari pandangan emak. Emak terus memapah ayah masuk. Abang dan kakak Azman hanya mampu memerhati.

"Sakit kepala ke?" tanya emak "Mungkin darah naik" jawab ayah ringkas. "Nak pergi hospital?" tanya emak lagi "Tak payah, sikit je ni" seperti jangkaan emak, ayah akan beri jawapan itu kerana ayah memang tidak suka ke hospital dari dulu lagi. "Kalau macam tu, saya tolong urutkan kepala awak" ujar emak sambil mengambil minyak urut. Terus emak mengurut kepala ayah yang sudah baring semenjak dari tadi.

Beberapa jam kemudian "Ali, ayah kau dah tak boleh bercakap ni!" emak sudah mula risau dan terus maklumkan kepada menantunya. Azman yang masih tidak mengerti apa-apa hanya berdiri melihat keadaan ayahnya. Semua adik beradik sudah berkumpul. Kerisauan mula terukir di garis wajah mereka. "Baik kita jemput doktor yang tinggal tak jauh dari sini" cadang Sulaiman, menantu ayah. "Baik kita jemput sekarang" jelas nada kerisauan dalam arahan emak itu.

Sebaik doktor sampai, dia terus memeriksa keadaan ayah. Segala peralatan dikeluarkannya. "Tak boleh dibiarkan, mesti panggil ambulans sekarang" tegas doktor sambil mendail nombor ambulans. "Kenapa ayah mak?" Azman mula takut melihat keadaan itu. Emak tak mampu untuk menjawab. Hanya dalam masa beberapa minit, ambulans datang terus membawa ayah ke dalam ambulans menggunakan troli.

Ayah dibawa ambulans pergi dan jiran-jiran mula berkumpul di rumah sementelah mendengar bunyi siren ambulans. Keesokan pagi, Azman bersama emaknya pergi menziarahi ayah yang masih belum sedarkan diri di hospital. Sampai di hospital, Azman hanya duduk di sebelah ayahnya yang terlantar di katil tanpa memperdulikan perbualan emak dan doktor.

"Ya Allah, jangan Engkau jadikan aku senasib dengan Abu." doa Azman dalam hati. Azman sangat risau jika kehilangan ayah seperti mana yang belaku kepada rakan sekelasnya, Abu Sufian. Keesokan harinya, Azman tidak dibenarkan untuk ikut emaknya menziahari ayah kerana masih bawah umur 12 tahun. Pihak hospital memang tidak menggalakkan kanak-kanak datang ke sana dengan sebab-sebab yang tertentu.

Kali ini, kakak Azman lah yang menemani emaknya. Pagi itu, Azman hanya baring di kerusi sambil menonton rancangan kartun kegemarannya. Dia berpuasa pada hari itu kerana sudah pun masuk bulan ramadhan hari kedua. Azman sudah dilatih ayahnya berpuasa semenjak usia 7 tahun agar ibadah puasa itu menjadi kebiasaannya. Kedengaran bunyi kereta memasuki halaman rumah mereka. Azman kenal bunyi enjin kereta itu, niat untuk menjenguk dibatalkan kerana yang datang itu kakak dan emaknya.

Kakaknya tiba-tiba berdiri di hadapan Azman dengan mata yang berkaca. Azman terus bangkit dari baringannya. Dia mencari emaknya, ternyata emaknya pun menangis. Azman seperti sudah menjangka sesuatu. "Ayah dah pergi" kata kakak dalam sedu tangis. Kakak terus memeluk Azman yang masih terpinga-pinga. Emak menoleh ke tempat lain kerana tidak sanggup melihat situasi anak-anaknya yang baru saja mendapat gelaran yatim. Azman terus menangis meraung sambil memanggil-manggil ayahnya.

"Ayahhhhhh.... Ayahhhhhhh!"

Azman terus memanggil ayahnya tanpa mempeduli jiran-jiran yang yang mula datang menjenguk setelah mendengar berita pemergian ayah mereka.

Jiran-jiran sangat simpati dan juga sebak melihat dua adik-beradik ini berpelukan meratap pemergian ayah mereka. Pada pagi raya Suram. Satu perkataan yang mewakili perasaan dan suasana keluarga Azman. Aidilfitri kali ini sangat sepi tanpa kehadiran orang yang mereka cintai. Apatah lagi bila mendengar takbir raya dari surau terdekat, menambahkan lagi rasa sedih yang sudah bertapak di sanubari mereka semenjak pemergian ayah mereka. Azman rasa seperti tidak percaya. Aidilfitri ini dia pun dijemput dalam majlis ramah tamah Aidilfitri bersama Abu Sufian dan rakan sekelasnya yang bergelar 'anak yatim'. Dalam diam, Azman membeli kad raya dan dia menulis di dalamnya

"SELAMAT HARI RAYA AYAH"

Tanda-Tanda Mati Hati


Menurut kata seorang tokoh sufi terkenal, Ibrahim Adham menyatakan bahawa tanda-tanda hati mati itu:

1. Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hakNya
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberianNya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara seIslam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.