Tuesday, September 28, 2010

Bacalah.. Dengan Nama Tuhanmu...!


Hazrat Aishah r.anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, " Seseorang yang ahli dalam al-Quran akan bersama para malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah-payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran. " (hadith riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi & Ibnu Majah)

Ada seorang Atuk tua tinggal bersama cucu lelakinya di sebuah bukit di pendalaman. Setiap pagi Atuk bangun awal pagi duduk di meja makan dan membaca Al-Quran. Cucunya ingin menjadi seperti Atuk dan meniru seberapa boleh akan bacaan yang dibaca oleh Atuknya.

Pada suatu hari cucunya bertanya, ‘Atuk! saya cuba membaca Al-Quran macam Atuk baca tapi saya tak faham pun, dan jika saya faham sekali pun saya akan lupa sebaik sahaja saya menutupinya. Apa bagusnya bila kita membaca Al-Quran?’ Sedang orang tua itu meletakkan arang batu ke dalam dapur pemanas badan, dengan perlahan dia menoleh kepada cucunya sambil berkata, ‘ Bawa guni arang batu ini ke sungai dan bawakan saya seguni air.’

Budak lelaki itu buat seperti apa yang disuruh, tetapi semua air itu membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Orang tua itu ketawa dan berkata. ‘ Awak hendaklah berjalan lebih cepat untuk yang akan datang,’ dan meminta cucunya ke sungai bersama dengan guni arang batu untuk cuba sekali lagi. Kali ini budak lelaki itu berjalan lebih laju, sekali lagi guni itu kosong sebelum dia tiba ke rumah. Terlalu letih, dia memberitahu Atuknya bahawa mana mungkin untuk membawa air di dalam guni, dan dia pergi untuk mengambil baldi. Orang tua itu berkata, ‘ saya tidak mahu sebaldi air, saya mahu seguni air. Anda tidak cukup kuat mencubanya.’ dan dia menuju ke pintu melihat cucunya mencuba lagi.

Pada ketika itu, budak lelaki itu sudah tahu bahawa tidak mungkin dapat membawa air di dalam guni hingga ke rumah, tetapi untuk tidak menunjukkan apa-apa reaksi kepada Atuknya dia berlari seberapa laju yang dia boleh, semua air yang di bawa masih membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Budak lelaki itu sekali lagi pergi ke sungai dan berlari secepat mungkin dengan seguni air, tetapi apabila sampai kepada Atuknya, guni tersebut sekali lagi kosong. Meletihkan, katanya,’ tengok Atuk, tak guna!’ ‘ Jadi anda fikir ianya tidak berguna?’ Orang tua itu berkata,’ tengok guni itu.’

Budak lelaki itu melihat akan guni tersebut dan buat kali pertamanya dia sedar bahawa guni tersebut sudah berubah. Ia telah bertukar daripada guni lama yang kotor bekas arang batu menjadi begitu bersih, luar dan dalam.

‘Cucuku, itulah yang akan berlaku jika anda membaca Al-Quran. Anda mungkin tidak faham ataupun ingat kesemuanya, tetapi apabila anda membacanya, anda akan berubah dengan sedirinya, dalaman dan luaran. Itulah kurniaan Allah s.w.t. dalam kehidupan kita.’

Oleh itu, marilah kita sama-sama cuba sedaya upaya memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Jika perlu untuk belajar, marilah kita Belajar Tajwid Al-Quran untuk menyempurnakan lagi bacaan kita dan baca la juga tafsir/terjemahan Al-Quran agar kita faham apa yang kita baca.

Monday, September 27, 2010

Keberkatan guru

Kelas Darjah Enam Makrifah sunyi sepi dari suara pelajar di dalamnya. Sekarang hanya kedengaran bunyi marker menyentuh papan putih, digerak-gerakkan oleh Cikgu Azmen yang sedang menulis nota-nota untuk mata pelajaran Sains.

Selesai menulis, Cikgu Azmen meletakkan marker di atas meja. Dia memandang semua anak muridnya. Semua sedang tekun menyalin semula nota di papan putih. Kecuali…

“Erham, kenapa kamu tak salin?” Cikgu Azmen memandang Erham sedang meletakkan kepalanya di atas kedua belah tangannya. Gaya orang tidur dalam kelas.

Erham mengangkat kepala. Mukanya berkerut.

“Cikgu nak suruh saya salin semua ni?” Tangannya menunjuk ke arah papan putih.

“Ya, kamu kena salin, dan hafal nota-nota yang cikgu tuliskan ni”

“Masalahnya cikgu, saya dah tahu dan hafal semua ni” Erham menghela nafas. Malas.

Semua pelajar memandang Erham. Erham memang terkenal dengan kepandaiannya dan kecerdasan akalnya. Setiap kali ada peperiksaan, markah Erham sentiasa sekitar 95%-100%. Namun, kepandaian Erham tidak disertai dengan adab dan kerendahan diri. Erham sering berbangga-bangga, bongkak, malah tidak menghormati guru dan kawan-kawannya.

“Yang cikgu ajar ni semua benda mudah je” Berlagak, itulah gaya Erham.

Cikgu Azmen menghela nafas. “Ya la, kalau kamu dah tahu pun, apa salahnya kamu salin? Yang cikgu tulis ni, cikgu dah mudahkan dari apa yang ada dalam buku teks. Kamu tak perlu lagi rujuk buku teks. Mana tahu nanti apa yang kamu hafal tu hilang, kamu boileh rujuk nota ni”

Erham ketawa. “Apa yang saya hafal hilang? Cikgu jangan la buat lawak. Saya ni lebih pandai dari cikgu la”

“Erham, hormat la sikit cikgu tu. Kenapa la dengan kau ni” Sakeena bersuara. Mungkin tidak tahan dengan sikap Erham. Beberapa orang pelajar perempuan lain mengiyakan kata-kata Sakeena.

“Kau diam. Kau belajar rajin-rajin pun belum tentu markah sama tinggi dengan aku.” Menghina, itu satu lagi tabiat Erham.

“Ini melampau la sampai nak kutuk orang” Sakeena marah. Cikgu Azmen segera meredakan keadaan.

“Sudah, sudah. Erham, kalau kamu tak mahu, tidak mengapa la. Sakeena, teruskan kerja kamu”

Syaiful menggeleng kepala. “Ish Erham ni. Naik meluat aku dengan dia. Dah la baru masuk sekolah ni tahun lepas. Tahu la mak ayah professor. Kau bagus Haq, pandai pun pandai, tapi hormat guru dengan kawan-kawan”

Abdul Haq diam sahaja. Dia tidak berminat memberikan apa-apa komen. Dia terus menyalin nota yang diberikan oleh Cikgu Azmen. Sebaik sahaja siap menyalin, dia memandang ke belakang.

Erham yang kembali meletakkan kepala di atas kedua belah tangannya itu, dipandang.

Tiba-tiba pandangannya terhalang dengan telapak tangan seseorang.

“Weh, hari ini kau bawa bekal apa?” Shah.

Abdul Haq memandang sahabatnya itu. “Nasi goreng kosong”

Bibir Shah menggores senyuman.


****


“Kau dah dapat duit belanja pun, masih makan dengan aku lagi?” Abdul Haq bertanya, sebaik sahaja nasi goreng selesai dijamah.

“Kau tak ada duit. Biarlah aku teman kau. Duit belanja yang ayah aku beri pada aku, boleh aku simpan. Nanti bila dah banyak, aku belanja la kau makan besar sikit” Shah membasuh tangan dengan air mineral.

“Kau ni pelik la. Anak orang kaya, tapi selamba je gayanya duduk dengan aku, makan bekal dengan aku”

“Ha, aku anak orang kaya luar biasa”

Abdul Haq tersenyum. “Yang taat pada Allah, itulah yang luar biasa” Abdul Haq bangun.

“Nak pergi Solat Dhuha ke?” Shah bertanya.

Abdul Haq menggeleng. “Hari ini aku tak Solat Dhuha. Aku nak jumpa seseorang”

“Siapa?”

“Erham”

“Oh, kenapa? Kau nak buat apa dengan dia? Nak marah dia sebab dia kurang ajar dengan cikgu ke?” Shah mengeluarkan sebatang rokok, kemudian menyalakannya dengan lighter dan menghisapnya. Asap putih berkepul-kepul ditiup ke udara. Tabiat yang masih belum boleh ditinggalkan.

“Kau hisap rokok pun aku tak marah. Takkan aku nak marah Erham” Abdul Haq mengukir senyum. Dia terus berjalan meninggalkan tempat rehatnya.

“Aku nak tegur Erham je. Bukan nak marah dia” Abdul Haq terus bergerak, meninggalkan Shah.

“Buatlah apa yang patut Haq.” Shah memandang pandang, melepaskan kepulan asap dari mulut, bercakap seorang diri dengan suara yang perlahan.

Padanya, Abdul Haq amat baik hati.

Shah memandang batang rokok pada tangannya.

“Bila aku boleh berhenti merokok?”


****


Hari ini hujung minggu. Pelajar-pelajar Darjah Enam Makrifah menjalankan lawatan ke Museum Sentosa. Di museum ini, terdapat pelbagai barang-barang antik dan moden, serta terdapat banyak manuskrip sejarah bangsa. Cikgu Rosiah sengaja membawa pelajar-pelajar ke mari untuk menambah pengalaman.

“Murid-murid, seseorang yang tidak mengetahui sejarah, maka dia hanya akan mengulangi kesilapan orang terdahulu”

Semua ahli kelas Darjah Enam Makrifah mengangguk.

“Sebab tu lah Allah ceritakan kisah-kisah bangsa terdahulu di dala Al-Quran cikgu. Agar kita tidak mengikuti jejak mereka dalam mengingkari Allah” Abdul Haq memberikan pandangan.

“Bagus Abdul Haq. Benar itu”

“Poyo, blah la” Suara Toriq kedengaran. Namun tidak dilayan oleh sesiapa. Semua orang sudah lali dengan kutukan-kutukan tiga sekawan terhadap Abdul Haq.

Erham mendengus. “Eleh, macam la aku tak tahu” Walaupun dia sebenarnya memang tak tahu. Dia pandai dalam pelajaran, tetapi baca Al-Quran merangkak-rangkak.

Abdul Haq dididik oleh ayahnya, kemudian kini dia mempelajari Al-Quran dengan Haji Makruf. Bukan sekadar belajar membaca dan tajwid, dia juga diajar tafsir Al-Quran sedikit demi sedikit.

“Em, maafkan saya cikgu” Satu suara menegur dari belakang Cikgu Rosiah. Cikgu Rosiah menoleh. Semua ahli kelas darjah Enam Makrifah sedikit terkejut melihat seorang orang putih, tinggi, berbadan besar, berdiri di belakang Cikgu Rosiah.

“Ya, apa saya boleh bantu?” Cikgu Rosiah beradab.

“Kamu semua melayu? Orang Islam?” Orang putih itu bertanya, sedikit pelat.

“Ya, kami semua orang melayu Islam”

“Boleh kah cikgu berikan sedikit masa untuk saya bermesra dengan pelajar-pelajar ini? Saya pelancong dari Eropah”

Cikgu Rosiah tersenyum. Dalam fikirannya, ini adalah peluang untuk menambah pengalaman pelajar-pelajar. Maka dia membenarkan. Robert, itulah nama pelancong itu. Dia sudah sebulan berada di Malaysia. Sebab itulah dia pandai berbahasa melayu walaupun agak pelat. Katanya, dia hendak menjelajah seluruh Malaysia dalam masa tiga bulan.

“Saya tertarik dengan Islam di sini, kefahamannya dan pegangannya. Maka, bolehkah saya bertanya satu perkara kepada kamu semua?” Robert memandang pelajar-pelajar Enam Makrifah.

“Boleh. Uncle boleh tanya apa sahaja pada saya. Saya lebih pandai dari cikgu saya” Erham segera bangun, menawarkan dirinya dalam keadaan penuh bongkak.

Shah geram. “Aku rasa macam nak…. Ish, geram la dengan Erham ni”

Abdul Haq tersenyum. “Biarlah”

Ketika Abdul Haq pergi menegur Erham tempoh hari, Erham memarahinya. Menuduh yang Abdul Haq cemburu kepadanya. Erham tidak mendengar nasihat. Memilih untuk terus berlagak dan bongkak.

Robert pun bertanya:

“Baiklah, adakah kamu tahu berapa banyak berhala yang ada di Makkah, pada zaman Rasulullah SAW?”

Erham terdiam. Dia tidak berapa tahu sangat berkenaan Sirah Nabi. Hal ini kerana, Sirah Nabi tidak diajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Sentosa. Sirah Nabi hanya diajar di Sekolah Agama yang tidak wajib, dan Erham tidak mengikuti Sekolah Agama.

“360” Abdul Haq menjawab. Robert tersenyum. “Bagus, betul tu”

Erham bengang. Dia kelihatan macam orang bodoh.

“Apa yang jadi pada berhala tu, apabila Nabi Muhammad membuka kota Makkah?”

“Dihancurkan semuanya la” Erham meneka. Dia tak tahu pun sebenarnya.

“Betul. Bijak sungguh kamu ni.”

“Jadi, itu ke soalannya?”

Robert menggeleng. “Ini baru soalan saya yang sebenar. Nabi Muhammad hancurkan semua berhala tu kerana berhala-berhala itu dipercayai dijadikan manusia sebagai sekutu kepada Allah. Di dalam Islam, menyekutukan Allah adalah perbuatan syirik. Yang saya musykil, Nabi Muhammad tidak menghancurkan semua berhala. Dia meninggalkan satu berhala pada Kaabah”

Seluruh ahli kelas Darjah Enam Makrifah terkejut. Nabi Muhammad tinggalkan berhala? Betul ke?

Cikgu Rosiah mula rasa tidak sedap hati. Soalan ini macam hendak…

“Betul ke uncle? Mustahil lah” Sakeena bertanya.

“Betul, berhala terakhir itu adalah Hajarul Aswad”

Seluruh ahli kelas senyap. Terdiam. Terbayang pada kepala mereka, hajarul aswad yang manusia berebut untuk menciumnya. Bagi yang mak ayah sudah pergi haji, mereka teringat betapa mak ayah mereka menceritakan kelegaan dapat mencium Hajarul Aswad.

“Betul jugak ya” Erham pun seakan percaya. Pertanyaan Robert itu sebenarnya menggugat Akidah.

Cikgu Rosiah mula sedar yang Robert ini sebenarnya bukan hendak bermesra. Dia sebenarnya memang hendak merosakkan pemikiran anak-anak orang Islam.

“Kalau tak percaya, kamu boleh tanya cikgu kamu ni. Cikgu kamu pun tak boleh nafikan yang Hajarul Aswad tu berhala.” Robert memandang Cikgu Rosiah sambil tersengih.

Cikgu Rosiah terdiam. Dia tahu yang Hajarul Aswad bukan berhala, tapi dia tak tahu nak jelaskan macam mana. Macam mana ni?

“Uncle Robert” Abdul Haq bangun. Robert melihat Abdul Haq. Semua orang melihat Abdul Haq.

“Hajarul Aswad bukan berhala.”

“Apa bukti kamu? Uncle tengok dalam televisyen, orang Islam berebut untuk mencium hajarul aswad ni”

“Saya ada baca Sirah Khalifah Ar-Rasyidin, kisah Saidina Umar. Dia pernah sekali, sebelum mencium Hajarul Aswad, dia berkata: Wahai Hajarul Aswad, aku tahu kau ini hanya batu, tidak memudaratkan dan tidak memberi manfaat. Andai aku tidak melihat Rasulullah mencium kau, maka aku tidak akan mencium kau”

Cikgu Rosiah rasa lega. Semua pelajar Darjah Enam Makrifah pun seakan tersedar. Robert senyap.

“Saidina Umar adalah seorang dari sepuluh orang sahabat Rasulullah SAW yang diberitakan masuk syurga. Rasulullah pernah bersaba: Kalau ada Nabi selepas aku, maka dia adalah Umar. Ini menunjukkan Saidina Umar amat tinggi martabatnya. Sahabat nabi ini tidak menganggap Hajarul Aswad mampu memberikannya apa-apa. Maka jelaslah bahawa, Hajarul Aswad bukannya berhala. Cuma ia adalah Sunnah Rasulullah. Malah ayah saya kata, tiada hadith sohih yang menyatakan Hajarul Aswad itu memadam dosa manusia. Allah jugalah Tuhan, dan Yang Mengampunkan Dosa” Abdul Haq memandang seluruh ahli kelasnya.

Robert diam. Tidak sangka bahawa ada pelajar darjah enam mampu merungkai masalah ini. Tidak lama kemudian, Robert mengukir senyuman. Dia menepuk tangan.

“Bagus, bagus. Kamu memang pandai.” Robert mendekati Abdul Haq dan menepuk pula belakang tubuh Abdul Haq. Seluruh ahli kelas bertepuk tangan, meraikan kebijakan Abdul Haq.

Erham mendengus. Cemburu.

Robert pun meminta izin untuk beredar. Usahanya untuk menganggu pemikiran anak-anak orang Islam tidak berjaya.

Cikgu Rosiah memuji-muji Abdul Haq.

“Eh, macam mana kau boleh ingat semua benda tu ya? Aku nak ingat mata pelajaran Sains pun susah. Kau dah la pandai, tahu pula benda-benda agama ni. Dah la di sekolah tak ada pelajaran tu” Shah bertanya. Kawan-kawan lain pun berminat hendak tahu.

Abdul Haq memandang Erham yang sedang melihatnya dengan wajah benci.

“Nak serap ilmu, kuncinya mudah. Hormatilah guru. InsyaAllah, banyak mana pun ilmu datang, kita akan boleh ingat, dan amalkan. Bukan sekadar pandai atas kertas periksa sahaja”

Erham rasa terpukul, walaupun dia tahu yang Abdul Haq bercakap secara umum.

Besarnya hormat pada guru.

Golongan yang masuk syurga tanpa hisab

Terdapat 70,000 umat Muhammad s.a.w yang dapat masuk syurga tanpa hisab dan tiada azab. Ini bersumberkan hadis yang diriwayat Bukhari dan Muslim bersumber daripada Ibnu Abbas r.a. Muka mereka bercahaya seperti bulan purnama. Mereka adalah:

1. Ahl al-fadl (ahli kemuliaan)- orang yang menanggung kesakitan apabila diperbo-dohkan, bersabar apabila dizalimi dan memaafkan apabila dilakukan kejahatan terhadap mereka.

2. Ahli as sabr (ahli kesabaran)- bersabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah dan menghindarkan maksiat terhadap-Nya.

3. Jiran-jiran Allah- saling berziarah dalam berkasih-sayang kerana Allah, duduk dan bangun bersama-sama saudara mereka kerana Allah.

(hadis riwayat Abu Nu'aim daripada Ali bin Husain)

4. Orang yang mati dalam perjalanan ke Mekah samada pergi atau balik

(hadis riwayat Jabir)

5. penuntut ilmu, perempuan yang taat kepada suami dan anak yang berbakti kepada ibu bapa

(hadis marfu' sumber Abu Ayyaub al-ansari)

6. Sesiapa yang berjalan kerana hendak menunaikan hajat saudaranya yang muslim sehingga tertunai hajat itu dan meniggal dalam masa tersebut.

(hadis marfu' sumber daripada Anas)

7. Sesiapa yang mengasuh kanak-kanak sehingga berupaya mengucapkan 'lailahaillallah"

(hadis sumber daripada A'isyah r.a)

8. Orang islam lelaki dan perempuan yang mati pada malam dan siang hari Jumaat

(hadis marfu' sumber daripada 'Ata')

9. Hamba yang bersabar apabila diuji dengan bala bencana pada tubuhnya dan anaknya

(hadis marfu' riwayat Hakim at-Tirmidzi)

10. Orang yang menggali perigi di tengah padang dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran Allah

(Ibn Mas'ud)

Al-Hakim dan al-Baihaqi mengeluarkan hadis yang bersumber daripada Jabir secara marfu': "Barangsiapa yang lebih kebajikannya atas kejahatannya, maka mereka itulah yang masuk ke syurga tanpa hisab, dan barang siapa yang sama kebajikannya dan kejahatannya maka mereka itulah yang dihisabkan dengan hisab yang sedikit, dan barang siapa yang kejahatannya lebih banyak, maka dialah yang diberikan syafaat setelah menerima siksaannya."

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang dapat masuk syurga tanpa hisab dan dibentangkan suratan amal. Tajdidkan niat. Ikhlaskan diri. Biar tidak dipuji manusia. Pentingnya adalah nilaian pandangan Allah taala.

###sumber daripada buku Misteri di sebalik tiupan sangkakala saringan daripada kitab At-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah oleh Imam al-Qurtubi dan Kasyful Ghummah pada menyatakan orang mati & hal hari kiamat oleh Syeikh Daud al-Fatani yang disusun oleh Muhammad Ramzi Omar.

Thursday, September 23, 2010

Orang Yang Pertama

1. Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS

2. Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS

3. Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim AS

4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS

5.. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat : Nabi Adam AS

6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah : Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS)

7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat : Nabi Muhammad SAW

8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam : Abu Bakar AsSiddiq RA

9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah: Umar bin Al-Khattab RA

10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam: Al-Hasan bin Ali RA

11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW: Thuwaibah RA

12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah RA

13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita: Sumayyah binti Khabbat RA

14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA

15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas RA

16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan azan: Bilal bin Rabah RA

17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib RA

18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW: Tamim Ad-dary RA

19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam RA

20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW: Ibban bin Othman bin Affan RA

21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah binti Khuwailid RA

22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH

23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam: Ali bin Abi Tholib RA

24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam : Muawayah bin Abi Sufyan RA

25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam : H arun Ar-Rasyid RH

26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal : Umar Al-Khattab RA

27. Orang yang pertama menghafal Al-Quran selepas Rasulullah SAW: Ali bn Abi Tholib RA

28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah : Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur RH

29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair RA

30. Orang yang pertama masuk Syurga : Nabi Muhammad SAW

Wednesday, May 26, 2010

Mata siapa yang tidak pernah menangis

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang

Thursday, May 13, 2010

Gambar sekitar Kota Madinah & Kota Mekah

Maaf kerana lama tidak menulis dalam blog ini. InsyaAllah saya akan menulis semula pada minggu hadapan



Perjalanan dari Madinah ke Mekah



Masjid Nabawi
ketika transit di Bahrain
selepas bertahlul

Bukit Rahmah - tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa. Tempat turunnya wahyu terakhir.
Bukit Rahmah
di bawah bukit Rahmah
iktikaf di perkarangan masjidil haram
Bersa'ie

Thursday, April 1, 2010

malam bulan dipagar bintang

Hari ini saya kena migrain yang kuat sehingga tak mampu menanggung sakitnya. Semasa saya mendirikan solat isya' pun terasa peluh sejuk mengalir. Lepas isya saya terus bergegas balik ke rumah kerana hampir termuntah bilamana bisa migrain ini makin mencengkam.

Janji saya dengan salah seorang ahli radio amatur terpaksa dibatalkan pada malam ini, dan terpaksa digantikan pertemuan itu pada mingga hadapan. Selepas mengatur semula temujanji, saya terus baring dan tidur.

Jam 11 lebih malam, saya bangkit semula sementelah beberapa jam disulam mimpi. Mimpi yang indah, mimpi saya tinggal di Madinah. Mana mungin saya mengatakan ini mimpi biasa, kerana sentiasa menjadi impian ingin selalu dekat dengan tokoh paling hebat dalam sejarah manusia.

Selepas saya bangkit, seperti biasa saya akan ke dapur dan duduk di dapur sambil minum teh. Saat itulah saya terfikir sejenak. Adakah mimpi tadi ada kaitan dengan apa yang bermain dalam kepala pada akhir-akhir ini? Ceritanya begini, rumah saya dengan surau dekat saja. Kalau jalan kaki, masa hanya sempat dicuri lebih kurang 3 minit cuma. Jemaah-jemaahnya pula, ada yang baru mengenali saya (tiada terkira dengan jari dah berapa tahun tidak singgah solat di sana), dan ada yang memang sedia kenal dengan saya lantaran rumah mereka hanya beberapa kerat badan jauhnya.

Saya baru saja menjejak kaki ke sana untuk beberapa bulan ini, tapi sudah terasa mujahadahnya. Ia perang antara kewajipan menentang rasa kecil hati, malu, gusar dan rasa buruk sangka saya. Ramai yang sedia maklum tentang sejarah hitam saya, sejarah yang pernah menjadi topik hangat satu kampung. Adakah saya bersalah untuk melindungi nyawa saya, sehingga setiap kali saya bersalaman sambil senyum dibalas dengan muka yang sarat dengan kebencian.

Saya selalu terfikir, manusia selalu menghakimi keadaan tanpa belajar memikir bagaimana rasanya memakai kasut individu yang dihakimi. Harap-harap pembaca faham maksud metafor yang ingin saya sampaikan. Atas sebab ini, saya sering ingin pergi jauh dari tempat orang yang mengenali saya. Ini bait-bait puisi yang pernah saya karang

'timbullah angan-angan
jikaku bersayap
langit malamku jelajahi'

Apabila saya cernakan balik semua, saya beristighfar. Kenapa saya terlalu pentingkan diri? Sehingga sanggup meninggalkan sahabat-sahabat saya yang masih tergapai-gapai. Banyak perkara yang mengagumkan hati saya tentang kebesaran Allah baru-baru ini, tapi saya terlepas pandang untuk seketika kerana hati terlalu gusar.

Sebagai contoh, sahabat sama sekolah yang selalu gelakkan saya di dalam kelas kerana saya sering menjadi perhatian Ustaz untuk menjadi wakil sekolah dalam kuiz agama & tahfiz peringkat sekolah telahpun solat berjemaah 5 waktu di surau itu. Contoh kedua, seorang tokoh muzik underground (band skinhead) di Malaysia kerana band mereka antara pelopor muzik PunkRock pada awal 90-an, pun mula berjemaah di surau tersebut. Dulu kami berjumpa di gig-gig tempatan kerana selalu berkongsi pentas, kini kami berkongsi surau, subhanallah. Contoh ketiga, seorang sahabat yang langsung tidak pernah solat, berpuasa pada bulan ramadhan dan selalu mengejek bila saya mengikut adab nabi,sekarang saya dapat melihat ada kesan hitam di dahi dan dia duduk makan ikut cara nabi walaupun kawan disebelah dia sempat mengejek cara dia duduk.

Rasa syukur mula meniti sukma ini, bila Allah tunjuk bahawa saya tidak keseorangan dalam gelanggang masyarakat. Lebih-lebih lagi, salah seorang dari mereka pergi ke rumah untuk mengajak saya turut serta dalam usrah yang selalu dia sertai. Allah Maha Mengetahui segala niat hambanya. Walaupun nabi tidak menggalakkan kita untuk ketawa dan bergurau, saya tidak dapat untuk mengubah tabiat saya ini secara mengejut. Sebab saya masih sayangkan kawan-kawan saya. Mereka senang dengan cara saya itu dari dulu-dulu lagi. Kadang-kadang saya masih duduk dengan mereka walaupun sedang mereka menikmati air kencing anak Azazil.

Cuma saya mengharapkan doa dari teman-teman, sahabat-sahabat dan pembaca-pembaca samaada yang kenal atau tidak supaya saya sentiasa tabah dengan ujian baik sekecil riak tasik atau sebesar ombak di lautan...