Sunday, March 20, 2011

Kelebihan bercelak


Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Muhammad bin Hamid al-Razi, daripada Abu Daud Al-Tiyalusi daripada Abbad bin Mansur daripada 'Ikrimah daripada Ibn Abbas, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Bercelaklah kamu dengan ithmid, (ianya akan) mencerahkan pandangan, dan melebatkan rambut.

Status hadith: Sohih

Penjelasan

1. Rasulullah amat menggalakkan umat Islam untuk memakai celak. Teori rawatan Islam mencadangkan yang pemakaian celak memang dapat membantu mencerahkan pandangan. Selain itu, ianya juga dapat menyejukkan mata.
2. Celak juga boleh melebatkan bulu mata. Rambut di dalam hadith di atas banyak ditafsirkan oleh ulamak sebagai bulu mata.
3. Ithmid ialah sejenis celak daripada bahan logam, seperti besi. Konsepnya hampir sama seperti celak masyarakat Melayu, iaitu ada bekas yang mengandungi serbuk atau minyak celak, dan ada batang besi untuk mencelup dan menyapu celak itu di mata. Ada ulamak yang menyatakan ianya merupakan celak daripada Isfahan.
4. Di dalam riwayat sohih yang lain, Rasulullah memakai celak 3 kali di mata kanan dan kiri sebelum tidur.

SUMBER DR ILUVISLAM.COM

Saturday, March 19, 2011

Ibubapa bukan liabiliti


Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah
kisahnya...
Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin
pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....
" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat
seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik
kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri
dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak
banyak meragam.


"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada
duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar
ditembak reaksinya.

" Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek.
"Takkan 5 ringgit?"

Emak mengganguk.
Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh
dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa
ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan
ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang
ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang
bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli hati
mengenangkannya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung,
saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan
selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk
diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya
yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan
kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum
apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba.
Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam
memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi
sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan
setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya
tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik
perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada',
tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau
disampaikannya.


Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan.
Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin
membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas
beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat
komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung.
Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada
sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

" Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi
keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun
perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya
ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin
saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap
diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh
saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya
berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek
anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya
sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!. Di
samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh
sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah
membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading.
Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun
saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada
anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya.
Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami,
tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama :

" Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam
kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka
bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu
sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul
siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

"memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun
itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan
pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa."


Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang
diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana
buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada?
Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi !

Tuesday, March 15, 2011

Kenangan Madrasah Darul Furqan


Sebelum ini saya pernah terfikir "kalaulah masih ada gambar ketika masih menuntut di Madrasah Tahfiz Darul Furqan dulu ya". Tanpa disangka-sangka, saya terjumpa kawan yang sama belajar di madrasah tersebut baru-baru ini. Bagai mengantuk disorongkan bantal bila mana dia menyatakan yang dia ada menyimpan gambar lama. Tapi sayangnya ketika itu saya tak berminat bergambar, jadi hanya ada sekeping gambar yang ada. Gambar ini diambil selepas ceramah Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus di Masjid Kampung Lintang Kuching. Saya masih berusia 14 tahun ketika itu. Sangat rindukan zaman tersebut

Thursday, March 10, 2011

Fadhilat Menghafaz Al Quran


Ganjaran di dunia

Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.

“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.

“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

Al-Quran menjanjikan kebaikan.

“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ganjaran di akhirat

Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.

Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)

Saturday, March 5, 2011

CIUM ANAK DAPAT PAHALA


Keistimewaan yang bakal diperoleh apabila anak-anak anda boleh digelar kanak-kanak atau kupu-kupu syurga. Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.

Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak. Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak. Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama.

Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; "Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium." Sabda Nabi SAW; "Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi."

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang lelaki bertanya; "Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti?"Jawab baginda; "Berbaktilah kepada ibu bapamu." Kata lelaki itu lagi; "Ibu bapaku sudah tiada lagi." Sabda Nabi SAW; "Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu."

Wallahualam

Wednesday, March 2, 2011

Beberapa kisah keramah mujahideen dalam Perang Gaza


Dari ceramah dalam program "Malam Selamatkan Palestin" di Masjid Sikamat, Seremban anjuran ISMA NS yang disampaikan oleh wakil Palestin, Naji As-Sarhiy dan badan-badan kebajikan yang pulang dari Gaza. Berikut adalah sebahagian kecil dari kisah-kisah Karamah tersebut yang sampai kepada yang hadir:

1. Mujahideen, walaupun tangkas di medan darat, namun terdedah kepada bahaya serangan dari udara yang dikuasai 100% oleh tentera Israel. Satu ketika datang sekumpulan burung berhampiran dengan mereka. Tiba-tiba burung-burung tersebut terbang secara mengejut seolah-olah ada sesuatu akan berlaku di situ. Melihat keputusan burung-burung tersebut, para Mujahideen juga segera meninggalkan tempat tersebut. Hanya beberapa ketika selepas itu tepat di tempat tersebut dibedil oleh tentera Yahudi.

2. Ketika para Mujahideen bertekad untuk menyerang kawasan tentera Israel, datang kabus meliputi kawasan tersebut, lalu mereka dapat mara sehingga ke tengah-tengah tentera Yahudi sedang musuh tidak dapat melihat mereka. Para mujahideen dapat menembak kesemua musuh dengan mudah.

3. Seorang doktor menceritakan ketika dia membedah seorang mujahid yang dibom oleh Yahudi hingga habis tubuh badannya dimasukki serpihan besi (sharpnel). Mujahid tersebut masih hidup kerana jantungnya tidak ditembusi serpihan besi tersebut kerana serpihan di bahagian dadanya melekat pada kitab Al-Quran yang beliau letakkan di dalam poket bajunya.

4. Enam roket dilancarkan dan berjaya membunuh musuh sedangkan ketua belum lagi mengeluarkan arahan agar roket dilancarkan. Apabila ditegur oleh ketua, para mujahideen menafikan mereka melancarkan apa-apa roket. Apabila diperiksa, memang keenam-enam roket tersebut masih ada di tempat pelancarnya.

5. Apabila seorang tentera Yahudi disoal oleh wartawan televisyen kenapa matanya menjadi buta. Dia menjawab datang seorang memakai pakaian putih dan melemparkan pasir ke matanya.

6. Beberapa orang tentera Yahudi mengatakan bahawa tentera HAMAS yang mereka lihat memakai pakaian putih, sedangkan para Mujahideen memakai pakaian ala tentera seperti biasa.

7. Seorang wanita mengandung disahkan doktor di setiap pemeriksaan bahawa kandungannya adalah bayi perempuan. Selepas suaminya syahid dalam Perang Gaza, pemeriksaan doktor mendapati kandungannya adalah seorang lelaki.

8. Dalam masa 22 hari peperangan, bayi-bayi lelaki yang dilahirkan lebih ramai dari kebiasaan iaitu lebih dari 3000 orang bayi lelaki. Bilangan yang terbunuh ialah seramai lebih 1300 orang (sahaja). Allah swt menggantikan dalam peperangan tersebut, mujahideen masa depan yang lebih ramai.

"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda keterangan Kami di ufuk dan dalam diri-diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa DIa adalah benar. Tidakkah cukup lagi bahawa Tuhanmu, sesungguhnya Dia menyaksi segala sesuatu." (Fussilat:52) .

Wasalam..

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden ISMA

Tuesday, March 1, 2011

4 isteri, jagalah yang pertama


Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? " Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.
Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering
mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!