Tuesday, October 12, 2010

Zakat Pada Zaman Umar Abd.Aziz r.a


Yahya Ibn Said rah meriwayatkan bahawa Umar Ibn Abd.Aziz r.a telah melantiknya memungut zakat di Afrika. Apabila zakat telah dipungut, beliau mencari asnaf (orang yang berhajat kepada zakat)tetapi beliau gagal menemui satu orang pun asnaf zakat.Beliau seterusnya berkata bahawa dasar-dasar iqtisad Umar Ibn Abd.Aziz r.a telah membuat semua orang cukup keperluannya, dan dengan itu beliau tidak ada pilihan kecuali membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakannya bagi pihak kaum muslimin amnya.

Seorang lagi daripada Quraisy meriwayatkan bahawa semasa pemerintahan Umar yang amat singkat, orang ramai biasa mengeluarkan jumlah zakat yang banyak kepada Bendahari Negara untuk diagihkan kepada fakir miskin, tetapi zakat tersebut terpaksa dipulangkan semula kepada mereka kerana tidak ada asnaf yang ditemui yang berhak menerima zakat tersebut. Beliau berkata bahawa setiap orang telah begitu makmur pada zaman Umar sehingga tidak ada orang yang berada di dalam kesusahan sehingga memerlukan kepada bantuan zakat.

Selain daripada kemakmuran rakyat (yang sebahagian maksud kepada Kerajaan Islam)perubahan yang lebih penting yang dicapai oleh Umar ialah perubahan di dalam kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Orang-orang sezamannya meriwayatkan bahawa apabila beberapa orang kawan bertemu pada zaman Khalifah Al-Walid, mereka akan berbicara mengenai bangunan dan seni bina, kerana itulah keasyikan Al-Walid. Khalifah Sulaiman pula berminat kepada perempuan cantik dan majlis makan yang besar-besaran, maka itulah yang menjadi keasyikan rakyat jelata pada zamannya.

Sebaliknya di dalam pemerintahan Khalifah Umar Ibn Abd.Aziz, perbualan rakyat jelata berkisar kepada soal solat, munajat, doa dan ibadat. Hasilnya setiap kali orang-orang berkumpul, mereka akan seringkali bertanyakan persoalan solat-solat sunat yang dikerjakan untuk menafaat rohaniah, juzuk-juzuk Al-Quran yang telah di baca atau yang telah di hafaz, puasa yang dikerjakan setiap bulan dan lain-lain amal taqwa.Ini dikeranakan Umar Ibn Abd.Aziz cenderung dan asyik kepada amalan taqwa.

(Petikan dari Dunia Islam Ramadhan 1416 Dengan Sedikit Olahan)

0 comments:

Post a Comment