Thursday, February 10, 2011

Siapa Bahlol?


Makam Bahlol Dana RA di Baghdad, Iraq

Bahlol ialah nama seorang ulama Islam yang terkenal yang hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rashid. Nama sebenar beliau ialah Bahlol bin Omar ataupun lebih dikenali sebagai BAHLOL DANA RA. Hebatnya Bahlol ini hinggakan Imam Abu Hanifah iaitu pengasas Mazhab Hanafi pun mengiktiraf beliau sebagai gurunya.

Ada pengkaji mengatakan Bahlol ini ialah saudara lelaki (tidak dapat dipastikan sama ada saudara tiri atau kandung) dan penasihat kepada Khalifah sendiri. Bahlol dikenali sebagai Madjzub iaitu golongan yang menyembunyikan kepintaran mereka dengan perbuatan-perbuatan yang tidak masuk akal. Hanya sesetengah orang sahaja yang mampu mengenali siapa madjzub ini. Berikut adalah kisah-kisah berkenaan BAHLOL yang boleh dijadikan pengajaran.

Kisah 1

Satu kisah yang menarik ialah, ketika Khalifah Harun Ar-Rashid sedang berjalan-jalan dengan permaisuri baginda iaitu Zubaidah, mereka ternampak Bahlol ini sedang membuat rumah daripada tanah liat. Zubaidah ini pun bertanya :

“Sedang buat apa itu Bahlol?”

“Buat rumah. Rumah ini untuk syurga punya”

“Nak beli boleh ? Harganya berapa dinar?”

“Harganya 10 dinar sahaja”.

Lalu Zubaidah pun mengeluarkan duit sebanyak 10 dinar, lalu menyerahkan kepada Bahlol. Sebaik sahaja menerima duit tersebut, Bahlol membuangnya dalam sungai.

“Haa.. balik lah, kamu sudah ada rumah di syurga wahai Zubaidah”.

Melihatkan hal itu, maka tergelaklah Harun Ar-Rasyid. ”Adinda sudah kena main dengan Bahlol tu”, katanya sambil tergelak.
Pada malam tersebut, Harun Ar Rashid bermimpi, baginda bermimpi masuk ke syurga. Di hadapannya pada masa itu ada sebuah istana, yang tertera nama isteri baginda, Zubaidah. Harun Ar-Rasyid pun cuba memasukinya, tetapi dihalang oleh malaikat. Lalu baginda pun bertanya kepada malaikat:

“Kenapa engkau menghalang ? Inikan rumah permaisuriku ?”

Lalu malaikat penjaga rumah tersebut pun menjawab:

“Rumah permaisurimu di dunia bolehlah engkau masuk. Di akhirat ini sendiri-sendiri”

Khalifah Harun Ar-Rashid lalu terjaga dari tidurnya, badannya berpeluh-peluh. Di kejutkan permaisuri baginda dan pada pagi itu juga, mereka berdua pergi mencari Bahlol. Akhirnya mereka berdua berjaya berjumpa dengan Bahlol di tepi sungai, sedang membuat rumah daripada tanah liat.

“Bahlol, aku datang hendak beli rumah ni”

Lalu Bahlol pun menjawabnya, “Boleh”.

“Berapa harga ?”, tanya Khalifah.

“Harganya cuma , 10 000 dinar”, jawab Bahlol.

“Gerangan apakah harganya naik sampai 10 000 dinar ?”, tanya Khalifah lagi.

“Haa.. sebabnya semalam permaisuri mu ‘membeli tanpa melihat’ “.

Jadi apakah maksud tersirat Bahlol bila beliau mengatakan Zubaidah “membeli tanpa melihat”, sehinggakan Zubaidah dapat harga runtuh?

Kisah 2

Tersebutlah kisah, pada masa Bahlol tersebut, berlaku satu kemarau yang sangat dahsyat. Habis segala ulama disuruh oleh Khalifah supaya melakukan solat minta hujan (Istisqa’). Maka turunlah segala ulama, solat hajat beramai-ramai, tetapi malangnya hujan tidak turun-turun juga. Khalifah pun berasa sungguh hairan. Lalu dipanggillah menteri-menteri baginda supaya masuk mengadap. Lalu Khalifah pun bertanya:

“Sudah habis semua ulama kita suruh solat hajat minta hujan. Tetapi tidak setitik pun hujan turun. Gerangan apakah yang perlu kita buat lagi, wahai memanda menteri ?”.

Lalu salah seorang menteri pun menjawab, “Tuanku, ada sorang lagi yang kita tidak panggil”

“Siapa ?”, tanya Khalifah.

“Bahlol”, jawab menteri tersebut.

“Bahlol pun Bahlollah, arah segera supaya dia membuat solat hajat meminta hujan”

Lalu dengan segera Bahlol dititahkan supaya melakukan solat hajat meminta hujan. Maka Bahlol pun segera pergi ke masjid. Pada masa itu orang-ramai sudah ramai yang berkumpul.

Tiba-tiba, Bahlol naik ke atas mimbar, lalu ditunjukkan jarinya ke langit seraya berdoa, ”Ya Allah, turunkanlah hujan”. Tidak ada solat apa pun.

Pada masa itu juga, hujan turun dengan lebat. Cepat sungguh Allah mengkabulkan permintaan wali-Nya.

Begitulah dua kisah tauladan untuk kita sama-sama renungkannya.

1 comments:

Latifah said...

Subhanallah...
Semuanya berlaku dengan izin Allah...
Tapi kan, macam mana pula boleh dikaitkan Bahlol = kurang pandai di zaman kita ni ek?

Post a Comment