Monday, December 13, 2010

Kisah si pemotong kayu


Al-kisahnya seorang jutawan telah menulis satu wasiat -barang siapa yang dapat menjaganya di dalam kubur setelah beliau mati nanti akan diwarisi separuh dari harta peninggalannya. Lalu ditanya pada anak-anak semua adakah mereka sanggup menjaganya di dalam kubur nanti.

Lantas menjawab anak, mana mungkin kami sanggup menjagamu wahai ayah kerana pada masa itu ayah sudah pun menjadi mayat.

Selang keesokan dipanggil semua adik-beradiknya dan beliau berkata, “Wahai adik-adikku sekalian sanggupkah kamu menjaga akan daku setelah aku mati nanti bersama selama 40 hari di dalam kubur yang kuhias indah seperti banglo mewah ini dan aku juga akan memberi setengah daripada harta ku kepada di antara kamu yang sanggup bersamaku.”

Adik-adiknya pun menjawab, “Wahai abangku, adakah engkau sudah gila mana mungkin manusia sanggup bersama mayat selama itu di atas bumi inikan pula di dalam tanah.”

Lalu dengan sedih jutawan tersebut membawa diri ke kamarnya. Beliau masih bertegas dengan hajatnya yang ingin ditemani di dalam kubur nanti apabila beliau sudah mati nanti. Dipanggil setiausahanya supaya diwar-warkan di dalam akhbar dan media akan wasiatnya itu.

Akhirnya sampai jugalah hari di mana jutawan tersebut kembali ke rahmatullah. Kuburnya dihias indah dan digali seperti sebuah banglo di dalam tanah yang mempunyai kemudahan harian selama 40 hari.

Pada waktu yang sama seorang Tukang Kapak yang sangat miskin telah mendengar akan wasiat tersebut lalu diberitahu kepada isterinya apakah dia perlu mengambil kesempatan ini untuk menjadi kaya.

Isterinya berkata, “Wahai suamiku, apalah sangat menjaga mayat tersebut selama 40 hari dibandingkan kerja-kerjamu di dalam hutan bertemu harimau dan hantu bajang ketika menebang kayu. Lagi pun makanan disediakan.

Tukang kayu tersebut dengan tergesa-gesalah ke rumah jutawan tersebut untuk memaklumkan kepada waris jutawan tersebut akan niatnya.

Keesokan harinya dikebumikanlah jenazah jutawan tersebut walaupun mendapat bantahan dari orang-orang yang tahu akan agama. Si Tukang Kapak tu pun ikut sekali turun ke dalam tanah bersama kapaknya.

Setelah tujuh langkah para hadirin meninggalkan tanah perkuburan maka datanglah Mungkar dan Nakir ke dalam kubur tersebut.

Si Tukang Kapak yang tahu sedikit pasal agama menyedari akan siapa yang hadir itu pun menjauhkan diri dari mayat jutawan tersebut. Terdetik di fikirannya bahawa sudah tiba masanya jutawan tersebut akan disoal oleh Mungkar dan Nakir..

Tetapi sebaliknya yang berlaku, Mungkar dan Nakir telah menuju ke arahnya dan lalu berkata.

Apa yang kau buat di sini?

Aku menjaga mayat tersebut selama 40 hari untuk mendapat setengah harta wasiatnya.

Apa harta yang kau ada sekarang?

Aku cuma ada sebatang kapak ini sahaja untuk mencari rezeki.

Dari mana kau dapat kapak ni?

Aku membelinya.

Lalu hilanglah Mungkar dan Nakir di hari pertama di dalam kubur tersebut.

Hari kedua di tanya pula, apa yang kau buat dengan kapak ni?

Aku menebang pokok untuk dijadikan kayu api untuk dijual.

Hari ketiga di tanya lagi pasal kapak tersebut pokok siapa yang kau tebang dengan kapak ni?
Kat hutan mana ada orang punya pokok.

Adakah kau pasti?

Lalu hilang lagi Mungkar dan Nakir hari ke empat.

Adakah kau potong pokok tersebut dengan kapak ini ukurannya dan beratnya sama untuk dijual?

Aku potong cincai-cincai je, mana boleh ukur sama rata lalu hilang dan muncul Mungkar dan Nakir tersebut selama 39 hari dan soalannya tetap
sama berkisarkan kapak tersebut.

Di hari terakhir yang ke 40, datanglah Mungkar dan Nakir sekali lagi bertemu dengan Tukang Kapak tersebut.

Berkata Mungkar dan Nakir hari ini hari terakhir aku bersamamu buat seketika tapi aku akan bertanya pasal kapak ini. Belum sempat Mungkar
dan Nakir menyoal beliau, si Tukang Kapak tersebut telah melarikan diri ke atas dan membuka pintu kubur tersebut.lalu di perhatikannya begitu
ramai orang sudah menantikan kehadirannya untuk keluar dari kubur tersebut.

Si Tukang Kapak tersebut dengan tergesa-gesa keluar dan meninggalkan mereka semua dan sambil berkata ambillah korang semua harta tersebut dan
aku tidak menginginkannya lagi.

Sesampai di rumahnya lalu si isteri berkata wahai suami ku, di manakah setengah harta peninggalan jutawan tersebut.

Maka jawab si Tukang Kapak. Aku tidak mahukannya lagi. Sedangkan harta aku yang ada kat dunia ini hanya kapak. Tapi apa yang di soal Mungkar
dan Nakir selama 40 hari semuanya hanya pasal kapak ini…..

Apa akan jadi sekiranya harta aku begitu banyak. Bagaimana dapat aku menjawabnya ….

** Sahabat Rasulullah saw yg paling kaya ialah Abdul Rahman bin Auf. Dikatakan beliau adalah sahabat yang terakhir akan masuk syurga kerana lamanya masa yg digunakan untuk menghisab beliau.

Adab Tidur. (cara Rasulullah)


Tidur dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, sekiranya seseorang itu tidur mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Eloklah jika kita dapat melihat gambaran sunnah Nabi SAW dan adab-adab tidur seperti yang dikemukakan dalam kitab Syamail Muhammad SAW.

Antara hadis yang menerangkan adab tidur Nabi SAW adalah sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud:

"Jika kamu akan tidur maka berwuduklah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti doa yang dijelaskan selepas ini) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)."




Dalam sebuah hadis diterangkan: Al-Barra' bin Azib berkata: "Adalah Rasulullah SAW jika akan tidur, mengiring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca: Maksudnya:

"Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan menghadapkan mukaku kepada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu dan menyandarkan belakangku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu kecuali kembali kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus." (Hadis riwayat Bukhari).


Dalam riwayat yang berasingan yang turut diriwayatkan oleh Al-Bara' bin 'Azib, beliau berkata: "Sesungguhnya Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan meletakkan telapak tangannya yang kanan di bawah pipinya yang kanan, lalu berdoa: "Rabbi qinii 'adzaabaka yawma tab'atsu 'ibaadaka (Ya Tu hanku, peliharalah aku dari azab-Mu pada hari Kau bangkitkan seluruh hamba-Mu)." (HR. At-Tirmidzi).

Hudzaifah pula meriwayatkan: "Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, maka Baginda berdoa: "Allahumma bismika amuutu wa ahyaa (Ya Allah, dengan Asma-Mu aku mati dan aku hidup)." Dan jika bangun dari tidurnya beliau berdoa: "Alhamdu lillaahill adzii ahyaanaa ba'da maa amaatanaa wa ilayhin-nu syuur (Segala puji bagi Allah, yang telah menghidup kan aku kembali setelah mematikan aku, dan kepada- Nya tempat kembali)." (HR. At-Tirmidzi).



Menurut Ummul Mukminin Aisya, yang berkata: "Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan menghimpunkan kedua-dua telapak tangannya, lalu meniup kedua-duanya dan dibaca pada kedua-duanya surat Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua-dua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan badannya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali." (HR. At- Tirmidzi , lihat Kitab Sya mail Muhammad cetakan Telaga Biru, halaman 167-168).

Walaupun kita digalakkan mendahulukan posisi tidur di atas sisi sebelah kanan (rusuk kanan) dan berbantal dengan tangan kanan, namun tidaklah menjadi masalah apabila berubah posisinya ke sebelah sisi kiri. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu." (HR. Al-Bukhari dan Muslim).
Arahan Nabi dalam hadis ini bukanlah merujuk kepada suatu yang wajib kerana dalam kesempatan yang lain Rasulullah SAW juga pernah mengubah kedudukan tidur Baginda. Dalam hadis yang sahih ini, Rasulullah sudah melakukan tidur secara terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagai mana maksud hadis: "Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah SAW tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).
Berkaitan dengan tidur telungkup pula ada sebuah hadis yang merujuk kepada tegahan Nabi SAW. Hadis ini bermaksud : "Tidak dibenarkan telungkup dengan posisi perut sebagai tumpuannya sama ada ketika tidur malam atau pun tidur siang. "Sesungguhnya (posisi tidur telungkup) seperti itu adalah posisi tidur yang dimurkai Allah Azza Wa Jalla." (HR. Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Sebagai tambahan, satu huraian lanjut yang bermanfaat untuk diketahui oleh setiap Muslim, ada beberapa lagi adab yang dituntut amalannya sebelum tidur agar tidur itu menjadi ibadat di sisi Allah SWT.

Ini disebabkan tidur adalah aktiviti harian yang tidak khusus kepada anak-anak. Menurut Ab Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Kitab Ensiklopedia Adab Islam, antara adab tidur yang menjadi amalan Nabi SAW dan salafussoleh ialah:

# Mengikhlaskan niat supaya tidur itu untuk memberi kekuatan untuk beramal selepas bangkit kelak.

# Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat manusia.

# Elakkan tidur sewaktu kekenyangan.

# Tidur dalam keadaan suci.

# Tidur dalam keadaan berwuduk.

# Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan Nabi SAW sebelum tidur.

# Bercelak dengan celak. Ini berdasarkan hadis yang yang bermaksud: Hendaklah kamu tidur dengan bercelak kerana ia dapat mencerahkan pandangan dan melebatkan bulu mata. � (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al- Hakim).

# Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur. Ini adalah berpandukan ke pada hadis riwayat Ahmad yang bermaksud: "Orang yang tidak tidur sehingga dia mengerjakan solat witir adalah orang yang bertekad kuat.

# Mengibas tempat pembaringan dengan hujung kain dan mengucapkan Bismillah seperti riwayat al-Tir mizi.

# Bersiwak atau bersugi ketika bangun pada malam hari seperti yang diriwayatkan dari Ibn Adiy.

Sebagai kesimpulannya ada beberapa amalan yang wajar dilakukan bagi menjadikan tidur kita sebagai sumber kerehatan dan sebab mendapat reda-Nya. Manakala posisi tidur yang digalakkan berpandukan kepada hadis adalah di atas dada bahagian kanan. Kemudian perubahan yang berlaku dalam posisi selepas itu tidaklah menjadi masalah selagi tidak berkeadaan telungkup. Wallahu a'lam.

Sunday, December 12, 2010

Iman Abu Hanifah.. berdebat untuk kebenaran


Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan dikalangan umat Islam. Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait denngan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama disekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Dari kejadiannya ini, tahulah Khalifah bahawa Baghdad sudah ketiadaan ulama yang benar-benar berwibawa dan tinggi ketaqwaannya. Lalu Khalifah memerintahkan beberapa orang menteri meninjau ke daerah lain, kalau-kalau masih ada ulama yang boleh dibawa berdepan dengan Dahri.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaimann Al-Asy ari, seorang ulama yang tidak kurang juga ketokohannya. Khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan majlis bersejarah itu mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum pertemuan itu lagi, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masng menaruh harapan agar Imam Hammad berjaya menumbangkan Dahri kerana beliaulah satu-satunya ulama yang diharapkan.

“Subhanallah…. Subhanallah …. Walauhaulawala quwwata illa billahi aliyyil azim….!” Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat mensucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi Zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus. Rasanya dah tidak sanggup telinganya menadah bermacam tohmahan yang dilemparkan oleh Dahri yang biadab dan matarialis itu.

Mempertikaikan KeEsaan Allah SWT bukanlah perkara kecil dalam Islam. Ini kes berat! Hatinya cukup pedih. Roh ketauhidannya bergelora. Mahu rasanya dipengal leher si Dahri yang angkuh itu di depan ribuan mata yang turut hadir dalam majlis itu.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usiannya masih lagi remaja. Bila ternampak keadaan gurunya itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian.

Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar. Dalam pada itu teringat Hammad akan mimpinya malam tadi, lalu dikhabarkan kepada muridnya itu. Abu Hanifah mendengarnya dengan penuh khusyuk.

“… Aku bermimpi ada sebuah dusun yang amat luas lagi indah. Di sana kulihat ada sepohon kayu yand rendang dan lebat buahnya. Tiba-tiba, di situ keluar seekor khinzir dari hujung sebuah kampung. Lalu habis dimakannya buah-buahan yang masak ranum dari pokok itu. Hingga ke daun dan dahan-dahannya habis dimakan. Yang tinggal cuma batangnya sahaja. Dalam pada itu juga keluar seekor harimau daripada umbi pohon rendang tadi lalu menerkam khinzir itu dengan gigi dan kukunya yang tajam. Lalu, khinzir tadi mati di situ juga."

Hammad termenung seketika. Kekalutan pemikiran yang telah dicetuskan Dahri, yang boleh mengugat pegangan aqidah umat ini, tidak boleh di biarkan. Mesti dihapuskan segera. Wajahnya yang tenang bagai air sungai yang mengalir jernih, masih nampak bercahaya walau di saat sebegitu genting. Satu kelebihan Abu Hanifah ialah beliau juga dikurniakan Allah ilmu mentafsir mimpi, sebagai mana nabi Allah Yusuf.

Pada pengamatannya juga, mimpi tersebut akan memberi petanda baik bahawa si Dahri pasti akan menerima padahnya nanti. Dan setelah mendapat keizinan gurunya, dia pun cuba mentafsirnya: ” Apa yang tuan lihat dalam mimpi tuan sebagai dusun yang luas lagi indah itu adalah tafsiran kepada agama Islam kita. Pokok yang berbuah lebat itu adalah tafsiran kepada sekalian ulamannya. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal itu adalah tuan sendiri. Dan khinzir yang tiba-tiba muncul dan merosakkan pohon tersebut ialah si Dahri. Manakala harimau yang keluar lalu membunuh khinzir tadi… adalah saya…” jelas Abu Hanifah.

Beliau juga memohon izin untuk membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Betapa gembiranya hati Iman Hammad bila tercetusnya hasrat itu dari hati muridnya sendiri. Maka berangkatlah ilmuan budak itu bersama gurunya untuk pergi ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah.
Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri akan mencabar dan memperleceh-lecehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas. ” Hai Dahri, apalah yang digusarkan.

Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!”

Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah. ” Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku… Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan…!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

” Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah,” sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertaqwa.” Abu Hanifah lalu membacakan sebuah firman Allah SWT yang bermaksud: ” Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berilmu antara kamu beberapa darjat.
” ( Al-Mujadalah : 11 )

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog. perdebatan antara Abu Hanifah dengan tokoh Ad- dahriayyah, yang terkenal dengan pemikiran materialisdan ateisnya itu, berlangsung dengan mendebarkan.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.
“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.
“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..??” Suara Dahri semakin meninggi.
“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.
“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula…?” bantah Dahri sambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa…” Abu Hanifah mula berhujah. Orang ramai mula memerhatikan gaya ilmuan muda ini berpidato dengan penuh minat.
“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa…!” sahut Dahri. “Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu…? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Terserentak Dahri seketika.

Orang ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri. Setelah itu Abu Hanifah mengambil pula segelas susu lalu ditunjukkan pada Dahri, seraya berkata: ” Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak…?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!” Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu dimanakah lemak itu berada…? Di bahagian atasnyakah atau dibawahkah…?”
Sekali lagi Dahri terserentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu. “Untuk mencari dimanakah beradanya roh dalam jasad dan tersisip dimanakah kandungan lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau dimanakah beradanya Zat Allah SWT di alam maya ini? Zat yang telah mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung…!”

Suasana menjadi agak bingar. Dahri terpaku di kerusi. Terbungkam lidahnya. Merah mukanya. Kesabarannya mula terburai. Bila keadaan agak reda, Dahri membentangkan soalan. “Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti…”

Semua mata tertumpu pada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang pintar ini. “Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah Taala dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah SWT tetap Qadim dan Azali. Dialah yanng Awal dan Dialah yang Akhir”, tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.
“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu…. Tuhan Wujud tanpa ada permulaan Nya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas Nya….?” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit. Dan beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya…”
Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah. “Jadi…! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah SWT Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.

Sekali lagi Dahri tercengang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum. Hati Dahri bergelodak bagai air tengah menggelegak. “Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!” Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok. “Allah itu ada, kata mu.
Ha! apakah pekerjaan Tuhan mu ketika ini ?”
Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang. “Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” Katanya. Pemuda ideologi Ad- Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah: “Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang bathil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini… !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu. Sehingga ke hari ini, nama Imam Abu Hanifah terus dikenali keserata dunia sebagai seorang Fuqaha dan salah seorang daripada Imam Mujtahid Mutlak yang empat. Kemunculan Mazhab Hanafi dalam fiqh Syar’iyyah, juga mengambil sempena nama ulama ini.

Wednesday, December 8, 2010

Fadhilat surah Al-Mulk

SURAH Al Mulk (beerti Kuasa Pemerintahan) merupakan Surah yang ke-67 di dalam Al Quran, mengandungi 30 ayat. Di antara isi kandungannya ditegaskan tentang kekuasaan mutlak Allah s.w.t. iaitu menguasai pemerintahan dunia dan akhirat. Seluruh alam telah diciptakan-Nya begitu rapi tanpa sebarang cacat celanya. Di akhirat kelak, mereka yang kufur ingkar akan mendapat balasan azab yang amat buruk dan menggerunkan. Mereka yang mentaati Allah akan mendapat keampunan dan balasan yang sebaik-baiknya.

Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al Mulk.”

Daripada Ibnu Abbas r.a., seseorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara orang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam; beliau lalu menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui, saya mendengar seorang sedang membaca Surah Al Mulk sehingga khatam.”

Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan (Al-Maa’inah) dan yang menyelamatkan (Al-Manjiah) dia dari siksa kubur.”

(HR At Tarmizi)

Daripada Jabir r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah Alif Lam Miim Al Sajdah dan Al Mulk.

(HR At Tarmizi)

Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi.”(Surah Al-Mulk)

(HR At Tabrani)

An-Nasa’i juga meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”

Tentang surah ini ada satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada didalam setiap hati orang-orang yang beriman.”

Mengikut satu hadis, seseorang yang membaca dua surah iaitu Tabarak-al-lazhi dan Alif-Lam-Mim-Sajdah di antara sembahyang Maghrib dan Isya adalah seumpama sesorang yang berdiri sembahyang untuk sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang itu membaca dua surah ini, tujuh puluh kelebihan akan diperolehinya dan tujuh-puluh dosa-dosa akan dihapuskan. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, ganjaran pahalanya adalah menyamai orang yang berdiri sembahyang sepanjang malam ‘Lailatul-Qadar’. Ini juga telah disebutkan di dalam Mazahir.

Ta’us rahmatullah ‘alaih telah berkata: “Kedua-dua surah ini mendatangkan enam-puluh kelebihan-kelebihannya yang mengatasi daripada segala surah-surah.”

Siksaan di dalam kubur bukanlah satu perkara yang biasa. Setelah meninggal dunia, tingkat pertama seseorang itu mesti lalui ialah alam barzakh. Apabila Saidina Uthman r.a. berdiri diatas sebuah kubur, ia akan menangis dengan begitu sekali sehinggalah janggutnya dibasahi air-matanya. Seseorang telah bertanya kepadanya mengapakah menangis begitu rupa jika disebut kubur daripada disebutkan Syurga atau Neraka.

Ia menjawab, “Aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bahawa kuburlah tempat persinggahan yang pertama untuk menuju akhirat. Barangsiapa terselamat daripada azabnya , peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Dan sesiapa yang tidak selamat daripada azab di dalamnya, kepadanya peristiwa yang akan datang kelak menjadikan lebih sukar sekali. Dan daku juga mendengar bahawa tidak ada satu gambaran yang lebih menakutkan dan menggerunkan selain daripada apa yang ada didalam kubur.”

Monday, December 6, 2010

Hijrah. Berlakunya sejarah besar dalam Islam


Setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. di kota Mekah, orang-orang Madinah telah pergi ke Mekah untuk mengerjakan haji (secara jahiliyah). Mereka kemudiannya bertemu Nabi dan akhirnya memeluk Islam. Mereka mengajak Rasulullah s.a.w. ke Madinah untuk mengembangkan Islam dan berjanji akan membantunya. Namun seorang Nabi tidak boleh lari dari kawasan dakwahnya sehinggalah turun perintah supaya Nabi hijrah dari Mekah ke Madinah. Pelbagai penganiayaan telah dilakukan oleh golongan kafir sehingga ke tahap hendak membunuh Nabi s.a.w. dan akhirnya Nabi dibenarkan berpindah (hijrah) ke Madinah.

Semasa hijrah, para sahabat cuma keluar sehelai sepinggang dan secara sembunyi untuk mengelakkan di kesan kafir Mekah kecuali Sayyidina Umar. Peristiwa yang menarik perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila Sayyidina Umar Al-Khattab mengambil langkah untuk berhijrah secara terang-terangan, berbeza dengan pendirian para sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah secara rahsia. Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani semasa kafir dan bertambah berani sesudah beriman. Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Sayyidina Ali r.a. yang menyaksikan peristiwa tersebut, meriwayatkan:

Setelah Sayyidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya, kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaa’bah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Ka’abah menyaksikan kehadiran Umar. Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam Ibrahim dan mendirikan solah.

Selesai solah, Sayyidina Umar berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kuffar Quraisy. Kata Sayyidina Umar: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah.”

Kata Sayyidina Umar lagi: “Sesiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini.


Kafir Mekah menghalang Nabi keluar kerana mereka bimbang pengaruhnya semakin kuat. Sayyidina Ali adalah orang terakhir keluar kerana beliau terpaksa menyerahkan barang-barang penduduk Mekah yang diamanahkan kepada nabi. Walaupun kafir mekah tidak percaya kerasulan Nabi tetapi mereka percaya akan amanahnya Nabi. Kerana itu Nabi digelar Al-Amin.

Semasa keluar dari Mekah, Nabi menaiki unta yang ditunggang bersama Sayyidina Abu Bakar. Ditengah perjalanan mereka disekat oleh kafir Mekah yang bertanya kepada Sayyidina Abu Bakar, “siapa lelaki di belakang kamu?” Abu Bakar tidak boleh beritahu nabi berada di belakang dan tidak juga boleh berbohong. Maka katanya “Inilah lelaki yang menunjukkanku jalan”. Sebenarnya jalan yang dimaksudkan Sayyidina Abu Bakar ialah jalan agama Islam.

Penduduk Madinah telah membantu Nabi dan para sahabat yang berhijrah (Muhajirin). Kerana itu mereka digelar Ansar (pembantu). Rasulullah sangat sayangkan mereka. Pengorbanan dan jasa mereka juga dicatat dalam Al-Quran yang dibaca hingga Kiamat.

Hasyr [9] Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Ketika kaum muslimin hijrah dari Mekah ke Madinah, mereka menghadapi masalah bekalan air. Di sana memang ada sebuah perigi, tapi perigi itu milik seorang Yahudi dan airnya diperdagangkan. Hijrahnya kaum muslimin ke Madinah amat menggembirakan kerana memberinya kesempatan untuk memperoleh wang yang banyak daripada hasil penjualan air perigi.Rasulullah SAW amat berharap jika salah seorang sahabat mampu membeli perigi itu untuk meringankan beban kaum Muhajirin yang menderita kerana harta mereka ditinggalkan di Makkah.

Mengetahui kejadian itu, Sayyidina Usman r.a. pergi ke rumah orang Yahudi itu untuk membeli perigi itu. Selepas tawar-menawar, harga perigi itu 12,000 dirham dan dengan perjanjian satu hari hak orang Yahudi itu, dan keesokan harinya untuk Sayyidina Usman.Pada giliran Sayyidina Usman, kaum Muslimin bergegas mengambil air yang cukup untuk keperluan dua hari. Dengan demikian si Yahudi berasa rugi, kerana tidak ada lagi yang membeli air pada gilirannya, Orang Yahudi itu mengeluh kepada Sayyidina Usman, dan akhirnya dia menjual perigi itu kepada Sayyidina Usman dengan harga 8,000 dirham.Perigi Raumah mengalirkan air yang melimpah bagi kaum Muslimin dengan percuma. Itulah kedermawanan Sayyidina Usman r.a.