Kelas Darjah Enam Makrifah sunyi sepi dari suara pelajar di dalamnya. Sekarang hanya kedengaran bunyi marker menyentuh papan putih, digerak-gerakkan oleh Cikgu Azmen yang sedang menulis nota-nota untuk mata pelajaran Sains.
Selesai menulis, Cikgu Azmen meletakkan marker di atas meja. Dia memandang semua anak muridnya. Semua sedang tekun menyalin semula nota di papan putih. Kecuali…
“Erham, kenapa kamu tak salin?” Cikgu Azmen memandang Erham sedang meletakkan kepalanya di atas kedua belah tangannya. Gaya orang tidur dalam kelas.
Erham mengangkat kepala. Mukanya berkerut.
“Cikgu nak suruh saya salin semua ni?” Tangannya menunjuk ke arah papan putih.
“Ya, kamu kena salin, dan hafal nota-nota yang cikgu tuliskan ni”
“Masalahnya cikgu, saya dah tahu dan hafal semua ni” Erham menghela nafas. Malas.
Semua pelajar memandang Erham. Erham memang terkenal dengan kepandaiannya dan kecerdasan akalnya. Setiap kali ada peperiksaan, markah Erham sentiasa sekitar 95%-100%. Namun, kepandaian Erham tidak disertai dengan adab dan kerendahan diri. Erham sering berbangga-bangga, bongkak, malah tidak menghormati guru dan kawan-kawannya.
“Yang cikgu ajar ni semua benda mudah je” Berlagak, itulah gaya Erham.
Cikgu Azmen menghela nafas. “Ya la, kalau kamu dah tahu pun, apa salahnya kamu salin? Yang cikgu tulis ni, cikgu dah mudahkan dari apa yang ada dalam buku teks. Kamu tak perlu lagi rujuk buku teks. Mana tahu nanti apa yang kamu hafal tu hilang, kamu boileh rujuk nota ni”
Erham ketawa. “Apa yang saya hafal hilang? Cikgu jangan la buat lawak. Saya ni lebih pandai dari cikgu la”
“Erham, hormat la sikit cikgu tu. Kenapa la dengan kau ni” Sakeena bersuara. Mungkin tidak tahan dengan sikap Erham. Beberapa orang pelajar perempuan lain mengiyakan kata-kata Sakeena.
“Kau diam. Kau belajar rajin-rajin pun belum tentu markah sama tinggi dengan aku.” Menghina, itu satu lagi tabiat Erham.
“Ini melampau la sampai nak kutuk orang” Sakeena marah. Cikgu Azmen segera meredakan keadaan.
“Sudah, sudah. Erham, kalau kamu tak mahu, tidak mengapa la. Sakeena, teruskan kerja kamu”
Syaiful menggeleng kepala. “Ish Erham ni. Naik meluat aku dengan dia. Dah la baru masuk sekolah ni tahun lepas. Tahu la mak ayah professor. Kau bagus Haq, pandai pun pandai, tapi hormat guru dengan kawan-kawan”
Abdul Haq diam sahaja. Dia tidak berminat memberikan apa-apa komen. Dia terus menyalin nota yang diberikan oleh Cikgu Azmen. Sebaik sahaja siap menyalin, dia memandang ke belakang.
Erham yang kembali meletakkan kepala di atas kedua belah tangannya itu, dipandang.
Tiba-tiba pandangannya terhalang dengan telapak tangan seseorang.
“Weh, hari ini kau bawa bekal apa?” Shah.
Abdul Haq memandang sahabatnya itu. “Nasi goreng kosong”
Bibir Shah menggores senyuman.
****
“Kau dah dapat duit belanja pun, masih makan dengan aku lagi?” Abdul Haq bertanya, sebaik sahaja nasi goreng selesai dijamah.
“Kau tak ada duit. Biarlah aku teman kau. Duit belanja yang ayah aku beri pada aku, boleh aku simpan. Nanti bila dah banyak, aku belanja la kau makan besar sikit” Shah membasuh tangan dengan air mineral.
“Kau ni pelik la. Anak orang kaya, tapi selamba je gayanya duduk dengan aku, makan bekal dengan aku”
“Ha, aku anak orang kaya luar biasa”
Abdul Haq tersenyum. “Yang taat pada Allah, itulah yang luar biasa” Abdul Haq bangun.
“Nak pergi Solat Dhuha ke?” Shah bertanya.
Abdul Haq menggeleng. “Hari ini aku tak Solat Dhuha. Aku nak jumpa seseorang”
“Siapa?”
“Erham”
“Oh, kenapa? Kau nak buat apa dengan dia? Nak marah dia sebab dia kurang ajar dengan cikgu ke?” Shah mengeluarkan sebatang rokok, kemudian menyalakannya dengan lighter dan menghisapnya. Asap putih berkepul-kepul ditiup ke udara. Tabiat yang masih belum boleh ditinggalkan.
“Kau hisap rokok pun aku tak marah. Takkan aku nak marah Erham” Abdul Haq mengukir senyum. Dia terus berjalan meninggalkan tempat rehatnya.
“Aku nak tegur Erham je. Bukan nak marah dia” Abdul Haq terus bergerak, meninggalkan Shah.
“Buatlah apa yang patut Haq.” Shah memandang pandang, melepaskan kepulan asap dari mulut, bercakap seorang diri dengan suara yang perlahan.
Padanya, Abdul Haq amat baik hati.
Shah memandang batang rokok pada tangannya.
“Bila aku boleh berhenti merokok?”
****
Hari ini hujung minggu. Pelajar-pelajar Darjah Enam Makrifah menjalankan lawatan ke Museum Sentosa. Di museum ini, terdapat pelbagai barang-barang antik dan moden, serta terdapat banyak manuskrip sejarah bangsa. Cikgu Rosiah sengaja membawa pelajar-pelajar ke mari untuk menambah pengalaman.
“Murid-murid, seseorang yang tidak mengetahui sejarah, maka dia hanya akan mengulangi kesilapan orang terdahulu”
Semua ahli kelas Darjah Enam Makrifah mengangguk.
“Sebab tu lah Allah ceritakan kisah-kisah bangsa terdahulu di dala Al-Quran cikgu. Agar kita tidak mengikuti jejak mereka dalam mengingkari Allah” Abdul Haq memberikan pandangan.
“Bagus Abdul Haq. Benar itu”
“Poyo, blah la” Suara Toriq kedengaran. Namun tidak dilayan oleh sesiapa. Semua orang sudah lali dengan kutukan-kutukan tiga sekawan terhadap Abdul Haq.
Erham mendengus. “Eleh, macam la aku tak tahu” Walaupun dia sebenarnya memang tak tahu. Dia pandai dalam pelajaran, tetapi baca Al-Quran merangkak-rangkak.
Abdul Haq dididik oleh ayahnya, kemudian kini dia mempelajari Al-Quran dengan Haji Makruf. Bukan sekadar belajar membaca dan tajwid, dia juga diajar tafsir Al-Quran sedikit demi sedikit.
“Em, maafkan saya cikgu” Satu suara menegur dari belakang Cikgu Rosiah. Cikgu Rosiah menoleh. Semua ahli kelas darjah Enam Makrifah sedikit terkejut melihat seorang orang putih, tinggi, berbadan besar, berdiri di belakang Cikgu Rosiah.
“Ya, apa saya boleh bantu?” Cikgu Rosiah beradab.
“Kamu semua melayu? Orang Islam?” Orang putih itu bertanya, sedikit pelat.
“Ya, kami semua orang melayu Islam”
“Boleh kah cikgu berikan sedikit masa untuk saya bermesra dengan pelajar-pelajar ini? Saya pelancong dari Eropah”
Cikgu Rosiah tersenyum. Dalam fikirannya, ini adalah peluang untuk menambah pengalaman pelajar-pelajar. Maka dia membenarkan. Robert, itulah nama pelancong itu. Dia sudah sebulan berada di Malaysia. Sebab itulah dia pandai berbahasa melayu walaupun agak pelat. Katanya, dia hendak menjelajah seluruh Malaysia dalam masa tiga bulan.
“Saya tertarik dengan Islam di sini, kefahamannya dan pegangannya. Maka, bolehkah saya bertanya satu perkara kepada kamu semua?” Robert memandang pelajar-pelajar Enam Makrifah.
“Boleh. Uncle boleh tanya apa sahaja pada saya. Saya lebih pandai dari cikgu saya” Erham segera bangun, menawarkan dirinya dalam keadaan penuh bongkak.
Shah geram. “Aku rasa macam nak…. Ish, geram la dengan Erham ni”
Abdul Haq tersenyum. “Biarlah”
Ketika Abdul Haq pergi menegur Erham tempoh hari, Erham memarahinya. Menuduh yang Abdul Haq cemburu kepadanya. Erham tidak mendengar nasihat. Memilih untuk terus berlagak dan bongkak.
Robert pun bertanya:
“Baiklah, adakah kamu tahu berapa banyak berhala yang ada di Makkah, pada zaman Rasulullah SAW?”
Erham terdiam. Dia tidak berapa tahu sangat berkenaan Sirah Nabi. Hal ini kerana, Sirah Nabi tidak diajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Sentosa. Sirah Nabi hanya diajar di Sekolah Agama yang tidak wajib, dan Erham tidak mengikuti Sekolah Agama.
“360” Abdul Haq menjawab. Robert tersenyum. “Bagus, betul tu”
Erham bengang. Dia kelihatan macam orang bodoh.
“Apa yang jadi pada berhala tu, apabila Nabi Muhammad membuka kota Makkah?”
“Dihancurkan semuanya la” Erham meneka. Dia tak tahu pun sebenarnya.
“Betul. Bijak sungguh kamu ni.”
“Jadi, itu ke soalannya?”
Robert menggeleng. “Ini baru soalan saya yang sebenar. Nabi Muhammad hancurkan semua berhala tu kerana berhala-berhala itu dipercayai dijadikan manusia sebagai sekutu kepada Allah. Di dalam Islam, menyekutukan Allah adalah perbuatan syirik. Yang saya musykil, Nabi Muhammad tidak menghancurkan semua berhala. Dia meninggalkan satu berhala pada Kaabah”
Seluruh ahli kelas Darjah Enam Makrifah terkejut. Nabi Muhammad tinggalkan berhala? Betul ke?
Cikgu Rosiah mula rasa tidak sedap hati. Soalan ini macam hendak…
“Betul ke uncle? Mustahil lah” Sakeena bertanya.
“Betul, berhala terakhir itu adalah Hajarul Aswad”
Seluruh ahli kelas senyap. Terdiam. Terbayang pada kepala mereka, hajarul aswad yang manusia berebut untuk menciumnya. Bagi yang mak ayah sudah pergi haji, mereka teringat betapa mak ayah mereka menceritakan kelegaan dapat mencium Hajarul Aswad.
“Betul jugak ya” Erham pun seakan percaya. Pertanyaan Robert itu sebenarnya menggugat Akidah.
Cikgu Rosiah mula sedar yang Robert ini sebenarnya bukan hendak bermesra. Dia sebenarnya memang hendak merosakkan pemikiran anak-anak orang Islam.
“Kalau tak percaya, kamu boleh tanya cikgu kamu ni. Cikgu kamu pun tak boleh nafikan yang Hajarul Aswad tu berhala.” Robert memandang Cikgu Rosiah sambil tersengih.
Cikgu Rosiah terdiam. Dia tahu yang Hajarul Aswad bukan berhala, tapi dia tak tahu nak jelaskan macam mana. Macam mana ni?
“Uncle Robert” Abdul Haq bangun. Robert melihat Abdul Haq. Semua orang melihat Abdul Haq.
“Hajarul Aswad bukan berhala.”
“Apa bukti kamu? Uncle tengok dalam televisyen, orang Islam berebut untuk mencium hajarul aswad ni”
“Saya ada baca Sirah Khalifah Ar-Rasyidin, kisah Saidina Umar. Dia pernah sekali, sebelum mencium Hajarul Aswad, dia berkata: Wahai Hajarul Aswad, aku tahu kau ini hanya batu, tidak memudaratkan dan tidak memberi manfaat. Andai aku tidak melihat Rasulullah mencium kau, maka aku tidak akan mencium kau”
Cikgu Rosiah rasa lega. Semua pelajar Darjah Enam Makrifah pun seakan tersedar. Robert senyap.
“Saidina Umar adalah seorang dari sepuluh orang sahabat Rasulullah SAW yang diberitakan masuk syurga. Rasulullah pernah bersaba: Kalau ada Nabi selepas aku, maka dia adalah Umar. Ini menunjukkan Saidina Umar amat tinggi martabatnya. Sahabat nabi ini tidak menganggap Hajarul Aswad mampu memberikannya apa-apa. Maka jelaslah bahawa, Hajarul Aswad bukannya berhala. Cuma ia adalah Sunnah Rasulullah. Malah ayah saya kata, tiada hadith sohih yang menyatakan Hajarul Aswad itu memadam dosa manusia. Allah jugalah Tuhan, dan Yang Mengampunkan Dosa” Abdul Haq memandang seluruh ahli kelasnya.
Robert diam. Tidak sangka bahawa ada pelajar darjah enam mampu merungkai masalah ini. Tidak lama kemudian, Robert mengukir senyuman. Dia menepuk tangan.
“Bagus, bagus. Kamu memang pandai.” Robert mendekati Abdul Haq dan menepuk pula belakang tubuh Abdul Haq. Seluruh ahli kelas bertepuk tangan, meraikan kebijakan Abdul Haq.
Erham mendengus. Cemburu.
Robert pun meminta izin untuk beredar. Usahanya untuk menganggu pemikiran anak-anak orang Islam tidak berjaya.
Cikgu Rosiah memuji-muji Abdul Haq.
“Eh, macam mana kau boleh ingat semua benda tu ya? Aku nak ingat mata pelajaran Sains pun susah. Kau dah la pandai, tahu pula benda-benda agama ni. Dah la di sekolah tak ada pelajaran tu” Shah bertanya. Kawan-kawan lain pun berminat hendak tahu.
Abdul Haq memandang Erham yang sedang melihatnya dengan wajah benci.
“Nak serap ilmu, kuncinya mudah. Hormatilah guru. InsyaAllah, banyak mana pun ilmu datang, kita akan boleh ingat, dan amalkan. Bukan sekadar pandai atas kertas periksa sahaja”
Erham rasa terpukul, walaupun dia tahu yang Abdul Haq bercakap secara umum.
Besarnya hormat pada guru.
1 comments:
tenkiu sebab share cerita ni..
Post a Comment