Saturday, March 31, 2012

Kesedihan Rasulullah saw terhadap kematian anaknya


“Diriwayatkan dari Nabi SAW bahwasannya tatkala puteranya Ibrahim telah dikubur, Rasulullah berdiri di atas kuburnya, kemudian beliau bersabda:

Wahai anakku, hati berduka cita dan air mata mengalir.
Dan kami tidak mengatakan sesuatu yang membuat Allah jadi murka.
Sesungguhnya kami dari Allah dan akan kembali kepada Allah.

Wahai anakku katakanlah!
Allah Tuhanku dan Islam agamaku, dan Rasulullah ayahku.

Maka menangislah para sahabat dan menangis pula pula sayyidina Umar Ibnul Khattab dengan tangisan yang nyaring, maka menoleh Rasulullah dan melihat Umar menangis bersama para sahabat lainnya, Rasulullah SAW bersabda:

Ya Umar, mengapa engkau menangis?

Umar menjawab:

"Ini puteramu belum baligh dan belum ditulis dosanya, masih menghajatkan kepada orang yang mentalqin seperti engkau, yang mentalqin tauhid pada saat seperti ini, maka bagaimana keadaan Umar yang telah baligh dan telah ditulis dosanya tidak mempunyai orang yang akan menalqin seperti engkau, dan apa gambaran yang akan terjadi di dalam keadaan yang seperti itu",

maka menangislah Nabi SAW dan para sahabat bersamanya. Kemudian Jibril turun dan bertanya kepada Nabi sebab menangisnya mereka, kemudian Nabi menyebutkan apa yang dikatakan Umar dan apa yang datang kepada mereka dari perkataan Nabi SAW.

Kemudian Jibril naik dan turun kembali serta berkata: Allah menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: Allah menetapkan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap di dunia dan di akherat, yang dimaksud di waktu mati dan di waktu pertanyaan di kubur.”

Thursday, March 29, 2012

Monday, March 26, 2012

Kisah si Pengemis


Tersebutlah kisah sepasang suami isteri yang sedang bersiap untuk menikmati hidangan ayam panggang di meja makan. Mereka hidup dalam kemewahan. Tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk oleh seorang pengemis. Si isteri ingin memberinya makanan, akan tetapi suaminya pula mengherdik dan mengusir pengemis itu.

Tidak berapa lama kemudian, perniagaan si suami mengalami kerugian. Kekayaannya terus lenyap. Selain itu, dia juga bercerai dengan isterinya kerana perangainya yang buruk.Bekas isterinya nikah lagi dengan seorang lelaki yang baik perangainya dan serba cukup pendapatannya.

Suatu hari, wanita itu sedang bersiap untuk menikmati hidangan ayam panggang di meja makan bersama suami barunya. Tiba-tiba pintu rumahnya diketuk oleh seorang pengemis.

“Tolong berikan makanan kita kepadanya,” kata si suami kepada isterinya.

Wanita itu mematuhi kata suaminya.

Ketika kembali, wanita itu menangis tersedu-sedu.

“Apa yang membuatmu menangis?” tanya suaminya.

“Pengemis tadi adalah bekas suamiku. Dahulu, kami juga pernah didatangi oleh pengemis ketika tengah menikmati hidangan, lalu ia mengherdik dan mengusir pengemis itu. Sekarang, ternyata dia pula yang menjadi pengemis.”

Suaminya berkata lembut, “Tahukah engkau, pengemis yang dulu diusirnya itu adalah aku.”

Sunday, March 25, 2012

Hamba Sahaya di Dunia tetapi Raja di Syurga.


Muaz Bin Jabal r.a berkata : Bersabda Rasulullah saw :

"Sesungguhnya sedikit riya itu sudah termasuk syirik. Dan siapa yang memusuhi seorang waliyullah, bererti, telah berperang kepada Allah. Dan Allah kasih sayang kpd hamba yang taqwa, yang tersembunyi (tidak terkenal), yang bila tiada, tidak dicari, dan bila hadir tidak dipanggil dan tidak dikenal. Hati mereka bagai pelita hidayat, mereka terhindar dari segala kegelapan kesukaran."

Abu Hurairah r.a berkata : Ketika kami di majlis Rasulullah saw tiba-tiba Rasulullah saw berkata : Esok pagi akan ada seorang ahli syurga yang sembahyang bersama kamu. Abu Hurairah berkata : Aku berharap semoga akulah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu. Maka pagi-pagi aku sembahyang di belakang Rasulullah saw dan terus menetap di majlis itu setelah orang lain pulang. Tiba-tiba ada seorang hamba berkulit hitam berkain cumpang camping datang berjabat tangan dengan Rasulullah saw sambil berkata : Ya Nabiyallah, doakan semoga aku mati syahid. Maka Rasulullah saw pun berdoa. Sedang kami mencium bau kasturi dari badannya. Kemudian aku bertanya : Adakah dia yang engkau maksud ya Rasulullah? Jawab Nabi : Ya benar. Dia hamba sahaya dari bani fulan.

Abu Hurairah berkata : Mengapa tidak kau beli dan kau merdekakannya ya Nabiyallah? Jawab Nabi : Bagaimana aku akan dapat berbuat demikian bilamana Allah akan menjadikannya seorang raja di syurga. Hai Abu hurairah, sesungguhnya di syurga itu ada raja dan sekumpulan orang yang terkemuka. Dia ini salah seorang raja dan juga terkemuka.

Kata Rasulullah lagi : Hai Abu Hurairah, sesungguhnya Allah kasih kepada makhluknya yang suci hati, yang samar, yang bersih, yang terurai rambut, yang kempis perut kecuali dari hasil yang halal, yang bila masuk menghadap raja - tidak diizinkan, bila meminang wanita bangsawan - tidak diterima, bila tiada - tidak dicari, bila hadir - tidak dihiraukan, bila sakit - tidak dijenguk, bahkan bila mati - tidak dihadiri jenazahnya.

Ketika sahabat bertanya : Tunjukkan kami seorang dari mereka? Jawab Nabi : Iaitu Uwais Alqarni (klik pada nama tersebut untuk membaca kisahnya), seorang berkulit coklat, lebar kedua bahunya, sedang tingginya, selalu menundukkan kepalanya sambil membaca Al Quran, tidak terkenal di bumi, tetapi terkenal di langit. Andaikan dia bersungguh-sungguh meminta sesuatu kepada Allah pasti diberinya.

(Petikan dari Syarah Kitab Hikam)

Tips kepada ibu untuk mendidik anak mengerjakan solat.


1. Uruskan semua kerja sebelum azan supaya dapat dirikan solat tepat pada waktu. Jika tidak selesai, berhenti seketika agar dapat tunaikan segera.

2. Duduk di atas sejadah siap dengan telekung (jika tidak guna telekung, guna pakaian kebiasaan solat) ketika masuk waktu solat jika masih uzur.

3. Jika si suami menyuruh mengerjakan solat, elakkan dari menyebut "tunggu sebentar."

4. Mula mengajak anak solat bersama pada usia 7 tahun.

5. Baca hadith tentang kelebihan solat sekurang-kurangnya sekali sehari. (tetapkan masa)

6. Sentiasa cerita kepada anak tentang kepentingan mengerjakan solat.

7. Setiap kali ingin mulakan perbualan dengan anak, solat adalah perkara pertama yang ditanya.

8. Puji dan cium anak setiap kali mereka selesai menegrjakan solat.

9. Tukarkan tabiat membaca kisah-kisah dongeng sebelum tidur kepada membaca kisah-kisah sahabat atau para anbiya.

10. Rotan jika masih tidak solat pada usia 10 tahun. (sekadar untuk peringatan, bukan hingga tahap cedera)

*no 1,2, dan 3 dibuat dari anak masih bayi lagi agar mereka akan anggap solat satu perkara yang sangat penting.

Saturday, March 24, 2012

Petua Dari Tabib Cara Menyembuhkan Penyakit Hati


Hassan al-Basri r.a. berkata: "Ketika saya berjalan-jalan di kota Basrah bersama dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi."

Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan kanak-kanak.

Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya.

Kemudian, pemuda yang bersamaku menghampiri depan tabib, lalu dia berkata:

"Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "

Kemudian, si tabib itu menjelaskan:

"Ambillah sepuluh macam ramuan:

1. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
2. Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
3. Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
4. Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
5. Masukkan dalam kuali taqwa,
6. Lalu tuangkanlah padanya air malu,
7. Didihkanlah dengan api mahabbah,
8. Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
9. Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
10. Lalu minum dengan sudu pujian.

Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." - Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi.

Thursday, March 22, 2012

Tujuh cara tipu daya syaitan


Tipu daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada tujuh perkara :

Pertama, syaitan melarang manusia taat kepada Allah. Sedangkan golongan yang dipelihara oleh Allah akan menolak ajakannya dan mengatakan : “Aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.”

Kedua, syaitan sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati Allah. Dia menghasut manusia dengan mengatakan : “Nanti sahajalah, kalau sudah tua nanti barulah, masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.” Golongan yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan : “Kematianku bukan berada di tanganmu. Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal yang berlainan.”

Ketiga, syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan : “Cepatlah beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.” Golongan yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan : Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.”

Kemudian, syaitan akan menyuruh manusia untuk menjalankan amalan yang baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain. Mereka yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan : “Bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah taala dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain).

Setelah itu, syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal : “Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu.” Mendengar pujian ini, orang yang baik akan mengatakan bahawa : “Semua keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau kekuasaanku. Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, di samping dosaku yang bertimbun pula.”

Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan akan menerapkan cara yang keenam. Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali mereka yang yang cerdik dan berfikir. Syaitan berbisik dalam hati manusia : “Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir (bisikan), jangan sampai diketahui oleh orang lain kerana Allah jualah yang akan memberitahu orang lain bahawa engkau adalah seorang hamba Allah yang ikhlas.” Begitulah syaitan mencampur-baurkan amalan seseorang dengan penipuannya yang sangat tersembunyi. Dengan ucapannya itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak. Orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan: “Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.”

Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan: “Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka.” Orang-orang yang dipelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan:

“Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintahNya. Allah Maha Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendakNya. Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk memperbanyakkan pahala. Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku. Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat. Tetapi tidak akan demikian akibatnya kerana janji Allah pasti terbukti dan firmanNya pasti benar.”

Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadaNya. Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan yang telah didirikan, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti!!

Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan:

“Segala puji bagi Allah yang membuktikan janjiNya dengan syurga.”

Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita. Sesungguhnya dalam mentaati Allah, terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan Allah Ta’ala agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah dan kepadaNyalah kita mengharapkan taufik dan keredhaan.

“Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.”

(Petikan Kitab Minhajul Abidin karangan Imam Ghazali)

Wednesday, March 21, 2012

Umar r.a membuat rondaan


Suatu hari Umar membuat rondaan biasanya ke Harrah bersama hambanya Aslam. Nun jauh di sana kelihatan suatu cahaya api. Beliau berkata:

“Mungkin di sana ada sebuah khemah. Mungkinkah suatu khalifah yang tidak dapat memasuki Bandar kerana waktu telah gelap. Marilah kita melihat hal mereka dan menguruskan keselamatan yang perlu untuk mereka”.

Apabila tiba di sana didapati seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak sedang menangis. Sebuah periuk berisi air sedang terjerang. Umar menyapanya dengan salam dan dengan keizinan daripada wanita itu beliau datang menghampirinya. Lalu Umar bertanya:

“Mengapa kanak-kanak itu menangis?”.

Wanita itu tidak mengenali Umar dan dia menjawab pertanyaan Umar dengan sedih:

“Mereka lapar”.

“Apakah yang ada dalam periuk?”. Umar bertanya.

“Hanyalah air dijerang bagi mendiamkan kanak-kanak itu agar mereka pergi tidur dengan harapan makanan sedang disiapkan untuk mereka apabila meraka bangun nanti. Ah! Allah akan mengadili Umar pada hari kiamat kelak kerana membiarkan aku dalam kesusahan.” kata wanita itu.

Umar menangis apabila mendengar kata-kata wanita itu.

“Semoga Allah merahmatimu. Bagaimanakah Umar dapat mengetahui kesusahanmu ini?’.

Wanita itu menjawab:

“Apabila dia menjadi amir kami, dia perlulah tahu mengenai kami”.

Umar pun kembali ke Bandar dan terus ke Baitul Mal. Beliau mengisi tepung, kurma, lemak dan pakaian serta wang dinar ke dalam karung. Apabila telah siap diisi beliau berkata kepada Aslam:

“Sekarang letakkanlah karung ini di belakangku wahai Aslam”.

Aslam enggan lalu menjawab:

“Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku sahaja yang memikulnya”.

Umar enggan mendengar kata-kata Aslam malah beliau mendesaknya agar membenarkannya memikul barang itu di atas pundaknya sambil berkata:

“Apa! Mahukah kamu memikul beban dosaku pada hari akhirat? Aku mesti membawa karung ini kerana aku akan disoal mengenai wanita ini pada hari akhirat kelak”.

Dengan perasaan yang berat Aslam meletakkan barang tersebut di atas belakang Umar lalu bergerak pantas ke khemah wanita tadi. Aslam mengikut beliau dari belakang. Beliau memasukkan sedikit tepung, kurma dan lemak ke dalam periuk dan mengacaunya. Beliau menghidupkan api untuk memasaknya.

Aslam berkata;

“Aku lihat asap melalui celah-celah janggut Umar yang tebal”.

Seketika kemudian masakan tersebut siap. Beliau sendiri yang melayani keluarga itu. Setelah kenyang beliau menyimpan bakinya untuk kegunaan mereka di kemudian hari. Kanak-kanak tersebut sangat gembira setelah memperolehi makanan dan mereka bermain dengan riangnya selepas itu. Wanita itu sangat gembira dan berkata:

“Semoga Allah memberi ganjaran kepadamu kerana kebaikanmu. Selayaknya kamulah yang mengambil tempat Umar sebagai khalifah”.

Beliau duduk seketika di suatu penjuru yang berdekatan sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut. Kemudian kembali ke Madinah. Dalam perjalanan pulang beliau berkata kepada Aslam:

Tahukah kamu Aslam, mengapa aku duduk di situ? Aku telah melihat kesusahan mereka, maka begitulah juga aku mahu melihat mereka riang dan ketawa untuk seketika”.

Kemurahan Rasulullah S.A.W


Sahabat Bilal r.a mengumandangkan azan dengan merdu sekali dan para sahabat lain yang sibuk dengan aktiviti harian terus berhenti dan cepat-cepat mengambil wudhu kemudian bergegas ke Masjid Nabawi. Mereka masuk ke masjid dan terus mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid. Usai mengerjakan solat sunat, mereka duduk dengan elok sehingga tiada satu pun ruang kosong.

Sementara menunggu Rasulullah saw datang mengimami solat fardu, para sahabat berzikir, ada pula yang membaca Al Quran yang mereka hafal. Intinya, mereka sudah siap zahir dan batin untuk menghadap Allah SWT. Begitulah tertibnya para sahabat mematuhi perintah RasulNya sehingga keadaan di Masjid Nabawi ketika itu begitu tenteram dan menyenangkan.

Bilal beberapa kali menjenguk ke jendela dan pintu rumah Rasulullah yang bersebelahan dengan masjid. Ini kerana untuk memastikan bahawa baginda memang akan ke masjid. Tapi kena lambat? Mereka tetap bersangka baik bahawa Rasulullah tetap akan ke masjid dan mungkin baginda sedang melakukan sesuatu sehingga kedatangannya tidak seperti biasa.

Namun, setelah lama menunggu Rasullah tetap juga tidak muncul. Biasanya bila mendengar azan Bilal, baginda akan segera hadir ke masjid. Kali ini, para sahabat terasa lama menunggu Rasullah datang.

Rupa-rupanya, sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Jabir r.a, Rasulullah saw tidak segera ke masjid kerana baginda tidak memiliki gamis untuk solat.

Dalam hadith itu disebutkan, ketika Rasulullah sedang duduk, datanglah seorang anak kecil dan berkata kepadanya, “Ibuku memohon kepada tuan agar dia diberi gamis”. Baginda menjawab, : Tunggu sehingga barang itu ada dan kamu boleh datang kembali”. Anak kecil tersebut terus pulang ke rumahnya dan menceritakan perkataan Rasulullah saw kepada ibunya.

Ibunya berkata, “Kembalilah kamu kepada Rasulullah saw, khabarkan kepada baginda bahawa ibu meminta gamis yang dipakainya”. Maka anak datang lagi menghadap Rasulullah dan menceritakan permohonan ibunya.

Mendengar hal itu, Rasulullah saw masuk ke dalam kamarnya, menanggalkan gamis yang dikenakannya dan memberikannya kepada anak kecil itu, lalu baginda duduk tanpa baju. Pada waktu itulah Bilal mengumandangkan azan dan kemudian bersama para sahabat menanti kedatangan Nabi saw.

Setelah kejadian itu diketahui oleh para sahabat, barulah salah seorang di antara mereka memberikan baju kepada Rasulullah saw. Begitulah sifat pemurah Rasulullah saw yang seharusnya kita teladani. Jika tidak mampu buat semua, jangan tinggalkan semua. Wallahualam

Monday, March 19, 2012

ERTI DOA SEORANG SAHABAT


Terdapat seorang pemuda bersama sahabatnya yang menaiki sebuah kapal yang sama… menuju ke suatu tempat. Dengan taqdir Allah, kapal yang dinaiki telah terbocor, lalu mula karam sedikit demi sedikit… Alhamdulillah, lalu kedua-dua mereka berenang dan terus berenang untuk menyelamatkan diri, hinggalah tiba di sebuah pulau yang sunyi lagi kosong…

Ternyata, pulau tersebut tiada berpenghuni, malah kering kontang tiada sebarang pohon dan wadi… Mereka terus saja bersama, berdoa dan berdoa kepada Allah mudah-mudahan diberi jalan keluar, atau paling tidak diberi makan dan minum untuk meneruskan hidup…Namun, setelah sekian lama, sepertinya doa mereka masih belum dimakbulkan Tuhan…

Sehinggalah suatu hari pemuda tersebut berasa hampir putus asa…Lalu mencadangkan kepada sahabatnya agar mereka memisahkan tanah pulau tersebut kepada dua daerah, dan mereka tinggal di daerah masing-masing… Pada fikirannya, mungkin salah seorang daripada mereka orang yang jauh dengan Tuhan, lalu kerana itulah doa mereka belum dimakbulkanNya…Sahabatnya hanya mengangguk bersetuju tanpa membantah… Bermulalah kehidupan mereka secara berasingan…Si pemuda mula berdoa kembali kepada Tuhan… memohon agar diberikan minuman kepadanya… Di taqdirkan Allah, kawasan tanahnya mula mengeluarkan beberapa pancutan air mata air dari tanah…

Alangkah gembiranya pemuda itu, lalu dia menjenguk ke daerah sahabatnya, dan dilihat tanah di situ masih kering kontang tanpa setitis airpun…. Pemuda itu terus lagi berdoa kepada Allah, kali ini dia memohon semoga Allah memberikannya makanan pula…Dengan izin Allah, beberapa pohon buah-buahan mula tumbuh dan hidup subur di tanah daerahnya… Sekali lagi dia menjeguk ke daerah sahabatnya, dan dilihatnya tiada sebatang pohon pun yang berdiri di situ..Masih sama kering kontang dan lapang seperti hari pertama mereka tiba di situ… Sekarang, dia mula yakin bahawa doa-doanya kini memang dimakbulkan Allah….dan sebaliknya doa-doa sahabatnya itulah yang tidak dimakbulkan Allah…Dan tahulah dia mengapa semasa mereka tinggal bersama, doa-doa mereka tidak dimakbulkan Allah…

“Pasti kerana dia itu seorang yang jauh dengan Tuhan…kerana itulah doanya tidak dimakbulkan…” Lalu, pemuda itu dengan keyakinan bahawa doanya sentiasa termakbul, terus berdoa meminta, meminta dan meminta pelbagai lagi…Hinggalah kemuncaknya, pemuda itu memohon kepada Allah agar dapat keluar dari pulau itu dan kembali ke perkampungannya… Dengan taqdir Allah, tiba-tiba dilihatnya ada sebuah perahu hanyut tanpa tuan menghampiri pulau tersebut…Dengan perasaan gembira yang amat sangat, dia pun menaiki perahu tersebut lalu meninggalkan pulau itu…

Setibanya di kampung halaman, dia bertembung dengan seorang tua yang sangat terkenal alim dan warak di kampungnya itu…Orang tua itu memandangnya dengan penuh kehairanan… Lalu orang tua itu menegur, “Mana sahabatmu yang seorang lagi???” Pemuda itu jadi kaget, tapi berusaha untuk berlagak biasa, lalu bertanya kembali kepada orang tua itu… “Sahabat yang mana satu?” “Sahabatmu yang di pulau itu..”

Terkejutlah pemuda itu pabila mendengarkan jawapan orang tua tersebut….Lalu pemuda itu menceritakan kepada orang tua itu kisah dari mula dia sampai hinggalah hari dia mendapatkan perahu yang membawanya pulang ke kampung…. “Lalu, apakah saya harus menolong membawa pulang sahabat saya itu, sedangkan Allah sendiri tidak memakbulkan doanya?!” kata pemuda itu lagi. Lantas orang tua tersebut pun menjawab… “Tahukah engkau, sesungguhnya sahabatmu itu hanya ada satu doa sepanjang dia di pulau itu, dan satu-satunya doa beliau telah pun di makbulkan kesemuanya oleh Allah…” “Apa doanya?” pemuda bertanya sedikit teruja..

“Sesungguhnya, sepanjang waktu, dia hanya meminta agar Allah memakbulkan semua doa-doamu yang sedang di dalam kesusahan dan kegelisahan…Dan sesungguhnya satu-satunya doa beliau itu telahpun diperkenankan oleh Allah…” Maka terduduklah pemuda itu, merasa terharu dan keinsafan…. Subhanallah… masyaAllah… Allahu Akbar…. Bertuahnya pemuda itu mempunyai seorang sahabat yang semulia itu…alangkah bertuahnya … alangkah bertuahnya.. alangkah bertuahnya dia… Maka, Saya akhiri kisah hidup pemuda itu dengan satu pertanyaan…. “Apakah tuan yang mulia sudi menjadi sahabat saya…dan sudi memberikan saya peluang menumpang barakah tuan…?”

Monday, March 12, 2012

Tuntutlah Ilmu Dengan Bersungguh-sungguh Sementara Para Ulama Masih Hidup.


Daripada Abdullah Bin 'Amar Bin 'Ash r.a berkata; Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka dari kalangan golongan jahil, lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah, maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.

(H.R Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)



Keterangan :



Kini kita merasakan bahawa bumi ini semakin tandus dari para ulama akhirat yang merupakan pewaris para anbiya. Ramai daripada mereka telah meninggalkan kita.. Tahun demi tahun kita melihat para ulama dipanggil ke hadrat Allah taala dan sedikit sekali yang dapat menggantikan mereka. Kalau ada yang menggantikan pun maka kualitinya jauh lebih rendah dari mereka yang dahulu.



Dan yang lebih menyedihkan kita apabila pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama yang dulunya sangat subur melahirkan ulama, kini sudah tidak begitu subur lagi. Pendekatan atau kaedah (metode) pelajarannya banyak yang telah dimodenkan, akhirnya ia kehilangan ciri-ciri keberkatan dan sopan santun penuntut. Dan ada pula pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama yang tetap dengan cara tradisinya yang lama, yang tidak mahu menerima sedikitpun dari sistem moden yang telah terbukti ada juga kebaikannya, akhirnya lahirlah penuntut-penuntut yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang serba canggih yang ada di sekelilingnya.



Dari sudut lain pula, ramai penuntut yang datang ke pondok bukan dengan kemahuannya sendiri, tetapi atas paksaan dari orang tuanya. Dan ada pula yang datang belajar ke pondok sebagai pelarian dari keadaan yang sudah tidap dikawal di kampung halaman. Ketika ibubapa sudah habis akal untuk membimbing anak mereka, maka ketika itulah anak mereka diserahkan ke pondok untuk diperbaiki. Jadi, pondok-pondok tidak ubah seperti bengkel untuk anak-anak yang sudah rosak. Untunglah kalau anak yang seperti ini dapat berubah. Kalau tidak, maka akan berkumpul di pondok-pondok anak-anak yang sudah tidak dapat diurus lagi. Maka dengan itu, mereka akan membentuk satu fenomena baru dalam kawasan sekolah



Jarang sekali kita mendapati seorang waris yang memasukkan anaknya yang paling pandai dan yang paling baik ke pondok. Justeru anak yang pandai itulah yang banyak dihantar belajar di sekolah-sekolah umum. Jika begitu, bagaimana nasib umat ini pada masa yang akan datang apabila tidak ada satu kesungguhan dalam usaha melahirkan ulama.



Oleh itu, mari kita bersama mengembalikan martabat institusi pengajian pondok dan sekolah agama. Mari kita tambahkan kualiti penuntut, guru-guru, tempat belajar yang memadai dan sistem pelajaran yang mengumpulkan antara cara tradisional yang penuh berkat dan sopan santun, dengan cara moden yang dapat diambil manfaatnya, supaya lahir satu generasi yang seimbang dan mantap, yang mempunyai kekuatan rohaniah dan fizikal yang sihat sehingga mereka dapat berhadapan dengan cabaran zaman sangat menggelisahkan kita ini.

Jadikan Dirimu Penyebab Hidayah Bagi Manusia.


Daripada Sahal Bin Saad r.a berkata; Rasulullah saw bersabda: “Demi Allah, bahawa memberi petunjuk oleh Allah akan seseorang dengan sebab engkau, maka itu terlebih baik daripada unta merah”. (H.R Abu Daud)



Keterangan :



Memberi hidayah bagi seseorang adalah mutlak menjadi milik Allah Taala. Apa yang dapat dilaksanakan oleh para ulama, pendakwah, ibubapa, pendidik ialah mengusahakan sebab-sebab lahiriah untuk seseorang mendapat hidayah. Mungkin hidayah didapat oleh seseorang setelah ia membaca buku yang kita tulis, atau setelah mendengar ceramah yang kita sampaikan, atau dari akhlak baik yang ada pada kita, atau setelah mendengar nasihat yang tulus ikhlas yang kita berikan, atau setelah dia melihat beberapa karamah dan keistimewaan yang diberi oleh Allah Taala kepada seorang ulama, dan begitulah seterusnya. Maka hendaklah kita sentiasa berusaha mengundang sebab-sebab hidayah Allah sentiasa turun ke muka bumi ini. Dengan demikian maka usaha kita itu sangat berharga di sisi Allah, lebih berharga dari seekor unta yang berwarna merah, yang merupakan sejenis kenderaan yang paling mahal pada zaman dahulu.