Monday, May 16, 2011

Kisah Pemuda Yang Tubuhnya Seharum Kasturi


Kisah ini terjadi di tanah Syam. Kisah yang banyak disebut dari mulut ke mulut sampai abad ini. Ini adalah kisah ketakwaan seorang pemuda. Seorang pemuda yang bekerja sebagai penjual kain keliling. Ia berkeliling dari satu daerah ke daerah. Dari satu kawasan ke kawasan lain. Dari lorong ke lorong. Dari rumah ke rumah. Ia berkeliling sambil memanggul kain dagangannya. Akhirnya masyarakat mengenalinya sebagai Si Penjual Kain Keliling.

Diantara kelebihan pemuda ini adalah bentuk tubuhnya yang gagah. Kulitnya yang putih. Wajahnya yang mempesona. Dan keramahannya yang luar biasa. Sehingga siapapun yang melihatnya akan terpesona kerananya. Itulah kurnia Allah yang dianugerahkan kepadanya.

Suatu hari, ketika dia sedang berkeliling menjajakan dagangannya, tiba-tiba ada seorang wanita memanggilnya. Dia pun segera menghampiri. Wanita ini menyuruhnya masuk ke dalam rumah. Rumah itu sangat mewah. Agaknya wanita itu termasuk golongan bangsawan. Apabila si pemuda masuk ke dalam rumah, wanita itu terus menguncikan pintu. Wanita itu sangat terpesona dengan ketampanannya. Wanita itu sudah lama tergila-gila padanya. Sudah berkali-kali wanita itu memerhati ketampanannya secara diam-diam ketika pemuda itu melalui depan rumahnya.

Wanita itu berkata, "Wahai pemuda tampan. Sebenarnya aku memanggilmu bukan untuk membeli barang daganganmu, tapi semata-mata kerana aku sangat mencintaimu. Selama ini aku tergila-gila pada ketampananmu. " Pada saat itu, tak ada seorang pun didalam rumah selain mereka berdua. Wanita bangsawan itu dengan penuh harap merayunya untuk berzina. Si pemuda pun mengingatkannya akan pedihnya seksa Allah.

Namun, semua usahanya sia-sia belaka. Setiap perkataan yang diucapkan pemuda itu membuat wanita itu semakin menggila dan nekad. Wanita itu semakin bersungguh-sungguh untuk menakluk pemuda itu. Namun pemuda itu tak berganjak imannya. Dia menolak dengan tegas. Oleh kerana si pemuda sentiasa menolak, wanita itu mengancam, "Jika kamu tidak menurut apa yang kuperintahkan, aku akan berteriak sekuat-kuatnya dan mengatakan kepada orang ramai bahawa ada orang yang masuk kerumahku dan ingin memperkosaku. Mereka pasti mempercayai ucapanku kerana kedudukanku dan kamu telah masuk dalam rumahku. Akibatnya kamu akan binasa. Kau akan dianggap penjahat paling nista bahkan orang ramai akan marah dan menggantungmu hidup-hidup !" wanita itu mengancam dengan serius.

Pemuda itu terus berfikir bagaimana mencari jalan keluar. Dia tidak mahu melakukan maksiat tapi juga tidak ingin dapat musibah yang lain. Dianggap oleh masyarakat sebagai penjahat lalu digantung tanpa ampun. Sungguh, ini hal yang sangat menyakitkan. Beberapa detik kemudian tiba-tiba terbitlah idea nekadnya. Kadang-kadang tindakan nekad mesti dilawan dengan nekad juga. Sambil tersenyum ia berkata, "Baiklah. Bolehkah aku ke bilik mandi untuk membersihkan diri terlebih dahulu ? Lihatlah tubuhku penuh dengan peluh yang baunya tidak sedap ! " Mendengar katanya, wanita tersebut sangat gembira kerana menganggap dia akan menuruti keinginannya dan berkata dengan hati yang gembira, "Oh, tentu saja boleh wahai kekasihku."

Si pemuda pun segera masuk ke bilik mandi. Penyataan itu tadi sekadar untuk menyelamatkan diri sesaat. Mencari tempat yang tenang untuk berfikir. Sampai di dalam bilik mandi tubuhnya gementar kerana takut jatuh dalam kemaksiatan. Wanita adalah perangkap syaitan. Tidak ada seorang lelaki dan wanita yang berduaan, kecuali ada yang ketiga iaitu syaitan, demikianlah sabdaan Rasulullah SAW. Dia pasrah kepada Allah. Ya Allah, apa yang mesti aku lakukan ? Berilah hambaMu petunjuk ya Allah.

Tiba-tiba tercetus sesuatu dalam fikirannya, dia bergumam, "Aku tahu pasti, diantara golongan yang akan mendapatkan naungan pada hari tidak ada naungan lagi di hari kiamat adalah seorang pemuda yang diajak berzina oleh seorang wanita cantik dan berkedudukan, lalu ia mengatakan, 'Sungguh aku takut pada Allah !' Aku juga tahu bahawa orang yang meninggalkan sesuatu kerana takut kepada Allah, maka Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik. Tidak sedikit orang yang menurutkan hawa nafsunya yang mana akhirnya membawa kepada penyesalan hingga akhir hayatnya. Jika aku lakukan kemaksiatan ini, Allah akan menghilangkan cahaya dan kenikmatan dari hatiku. Wahai Tuhan, tidak, tidak ! Sekali-kali aku tidak akan melakukannya ! Tapi apa yang mesti aku lakukan ? Apakah aku harus menyelinap dari jendela ? hal itu mustahil kerana jendela ini dikunci dengan kuat dan sangat sukar membukanya. Kalau begitu aku harus melumuri tubuhku dengan kotoran. Ya aku harus melumuri tubuhku dengan kotoran. Semoga jika dia melihatku seperti itu, dia akan merasa jijik lalu mengusirku."

Benar saja, lalu dia buang air besar dan melumuri seluruh tubuhnya dengan kotoran buang air besarnya. Seluruh rambutnya, mukanya, dada, tangan, dan semuanya. Dia sendiri sebenarnya merasa jijik. Bahkan ia mual dan sempat muntah. Sambil menangis ia berkata, "Ya Allah ya Rabbi, kerana rasa takutku padaMu aku melakukan ini ! maka gantikanlah untukku yang lebih baik." Lalu iapun keluar dari bilik mandi dan wanita tersebut tersebut terkejut melihat keadaannya. Dia merasa jijik sambil menjerit dan berteriak dengan kuat, "Keluarlah, hai orang gila ! Dasar pemuda gila, keluar kau jangan kau mengotorkan rumahku."

Dia pun berjalan keluar dan berpura-pura berlagak seperti orang gila. Sampai diluar rmah, dia cepat-cepat mencari tempat yang sunyi. Dia takut dilihat orang dan takut mereka akan menghinanya. Jika itu yang terjadi maka barang jualannya tidak akan laku lagi kerana dia akan dianggap benar-benar gila. Beberapa orang yang melihatnya merasa hairan dan menertawakannya. Dia terus berjalan menuju rumahnya melalui jalan yang lenggang. Dia merasa sangat lega ketika sampai dirumahnya terus melepaskan pakaiannya dan segera masuk ke bilik mandi untuk membersihkan seluruh tubuhnya.

Ketika ia keluar dari bilik mandi, Allah SWT menunjukkan kekuasaanNya. Allah menjadikan bau harum yang sangat luar biasa memancar dari seluruh pori-pori tubuhnya hingga ajal menjemputnya. Bau itu boleh dihidu dari jarak beberapa meter. Akhirnya dia dikenali sebagai "Al-Miski" atau Orang Yang Seharum Kesturi. Kisah ini menjadi bukti keagungan Allah. Kisah nyata ini masih dapat dilihat peninggalannya. Di tanah Syam, ada sebuah makam yang tertulis "Al-Miski". Itulah kubur orang mulia yang menjaga kesuciannya ini....

5 comments:

Rayyan said...

SubahanAllah......

Latifah said...

masyaAllah.
sebuah kisah yang sangat indah.
moga menjadi iktibar untuk kita semua juga.

AISYA ALEEYA said...

ya Allah ya robbi..~~begitu hebat dugaan pemuda itu ea

موسليماتوصليها said...

Perkongsian hebat, jazakALLAH...

Layyinul Harir said...

thnks share citer bermanfaat ni..=)

Post a Comment