Monday, May 16, 2011

Kisah Pemuda Yang Tubuhnya Seharum Kasturi


Kisah ini terjadi di tanah Syam. Kisah yang banyak disebut dari mulut ke mulut sampai abad ini. Ini adalah kisah ketakwaan seorang pemuda. Seorang pemuda yang bekerja sebagai penjual kain keliling. Ia berkeliling dari satu daerah ke daerah. Dari satu kawasan ke kawasan lain. Dari lorong ke lorong. Dari rumah ke rumah. Ia berkeliling sambil memanggul kain dagangannya. Akhirnya masyarakat mengenalinya sebagai Si Penjual Kain Keliling.

Diantara kelebihan pemuda ini adalah bentuk tubuhnya yang gagah. Kulitnya yang putih. Wajahnya yang mempesona. Dan keramahannya yang luar biasa. Sehingga siapapun yang melihatnya akan terpesona kerananya. Itulah kurnia Allah yang dianugerahkan kepadanya.

Suatu hari, ketika dia sedang berkeliling menjajakan dagangannya, tiba-tiba ada seorang wanita memanggilnya. Dia pun segera menghampiri. Wanita ini menyuruhnya masuk ke dalam rumah. Rumah itu sangat mewah. Agaknya wanita itu termasuk golongan bangsawan. Apabila si pemuda masuk ke dalam rumah, wanita itu terus menguncikan pintu. Wanita itu sangat terpesona dengan ketampanannya. Wanita itu sudah lama tergila-gila padanya. Sudah berkali-kali wanita itu memerhati ketampanannya secara diam-diam ketika pemuda itu melalui depan rumahnya.

Wanita itu berkata, "Wahai pemuda tampan. Sebenarnya aku memanggilmu bukan untuk membeli barang daganganmu, tapi semata-mata kerana aku sangat mencintaimu. Selama ini aku tergila-gila pada ketampananmu. " Pada saat itu, tak ada seorang pun didalam rumah selain mereka berdua. Wanita bangsawan itu dengan penuh harap merayunya untuk berzina. Si pemuda pun mengingatkannya akan pedihnya seksa Allah.

Namun, semua usahanya sia-sia belaka. Setiap perkataan yang diucapkan pemuda itu membuat wanita itu semakin menggila dan nekad. Wanita itu semakin bersungguh-sungguh untuk menakluk pemuda itu. Namun pemuda itu tak berganjak imannya. Dia menolak dengan tegas. Oleh kerana si pemuda sentiasa menolak, wanita itu mengancam, "Jika kamu tidak menurut apa yang kuperintahkan, aku akan berteriak sekuat-kuatnya dan mengatakan kepada orang ramai bahawa ada orang yang masuk kerumahku dan ingin memperkosaku. Mereka pasti mempercayai ucapanku kerana kedudukanku dan kamu telah masuk dalam rumahku. Akibatnya kamu akan binasa. Kau akan dianggap penjahat paling nista bahkan orang ramai akan marah dan menggantungmu hidup-hidup !" wanita itu mengancam dengan serius.

Pemuda itu terus berfikir bagaimana mencari jalan keluar. Dia tidak mahu melakukan maksiat tapi juga tidak ingin dapat musibah yang lain. Dianggap oleh masyarakat sebagai penjahat lalu digantung tanpa ampun. Sungguh, ini hal yang sangat menyakitkan. Beberapa detik kemudian tiba-tiba terbitlah idea nekadnya. Kadang-kadang tindakan nekad mesti dilawan dengan nekad juga. Sambil tersenyum ia berkata, "Baiklah. Bolehkah aku ke bilik mandi untuk membersihkan diri terlebih dahulu ? Lihatlah tubuhku penuh dengan peluh yang baunya tidak sedap ! " Mendengar katanya, wanita tersebut sangat gembira kerana menganggap dia akan menuruti keinginannya dan berkata dengan hati yang gembira, "Oh, tentu saja boleh wahai kekasihku."

Si pemuda pun segera masuk ke bilik mandi. Penyataan itu tadi sekadar untuk menyelamatkan diri sesaat. Mencari tempat yang tenang untuk berfikir. Sampai di dalam bilik mandi tubuhnya gementar kerana takut jatuh dalam kemaksiatan. Wanita adalah perangkap syaitan. Tidak ada seorang lelaki dan wanita yang berduaan, kecuali ada yang ketiga iaitu syaitan, demikianlah sabdaan Rasulullah SAW. Dia pasrah kepada Allah. Ya Allah, apa yang mesti aku lakukan ? Berilah hambaMu petunjuk ya Allah.

Tiba-tiba tercetus sesuatu dalam fikirannya, dia bergumam, "Aku tahu pasti, diantara golongan yang akan mendapatkan naungan pada hari tidak ada naungan lagi di hari kiamat adalah seorang pemuda yang diajak berzina oleh seorang wanita cantik dan berkedudukan, lalu ia mengatakan, 'Sungguh aku takut pada Allah !' Aku juga tahu bahawa orang yang meninggalkan sesuatu kerana takut kepada Allah, maka Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik. Tidak sedikit orang yang menurutkan hawa nafsunya yang mana akhirnya membawa kepada penyesalan hingga akhir hayatnya. Jika aku lakukan kemaksiatan ini, Allah akan menghilangkan cahaya dan kenikmatan dari hatiku. Wahai Tuhan, tidak, tidak ! Sekali-kali aku tidak akan melakukannya ! Tapi apa yang mesti aku lakukan ? Apakah aku harus menyelinap dari jendela ? hal itu mustahil kerana jendela ini dikunci dengan kuat dan sangat sukar membukanya. Kalau begitu aku harus melumuri tubuhku dengan kotoran. Ya aku harus melumuri tubuhku dengan kotoran. Semoga jika dia melihatku seperti itu, dia akan merasa jijik lalu mengusirku."

Benar saja, lalu dia buang air besar dan melumuri seluruh tubuhnya dengan kotoran buang air besarnya. Seluruh rambutnya, mukanya, dada, tangan, dan semuanya. Dia sendiri sebenarnya merasa jijik. Bahkan ia mual dan sempat muntah. Sambil menangis ia berkata, "Ya Allah ya Rabbi, kerana rasa takutku padaMu aku melakukan ini ! maka gantikanlah untukku yang lebih baik." Lalu iapun keluar dari bilik mandi dan wanita tersebut tersebut terkejut melihat keadaannya. Dia merasa jijik sambil menjerit dan berteriak dengan kuat, "Keluarlah, hai orang gila ! Dasar pemuda gila, keluar kau jangan kau mengotorkan rumahku."

Dia pun berjalan keluar dan berpura-pura berlagak seperti orang gila. Sampai diluar rmah, dia cepat-cepat mencari tempat yang sunyi. Dia takut dilihat orang dan takut mereka akan menghinanya. Jika itu yang terjadi maka barang jualannya tidak akan laku lagi kerana dia akan dianggap benar-benar gila. Beberapa orang yang melihatnya merasa hairan dan menertawakannya. Dia terus berjalan menuju rumahnya melalui jalan yang lenggang. Dia merasa sangat lega ketika sampai dirumahnya terus melepaskan pakaiannya dan segera masuk ke bilik mandi untuk membersihkan seluruh tubuhnya.

Ketika ia keluar dari bilik mandi, Allah SWT menunjukkan kekuasaanNya. Allah menjadikan bau harum yang sangat luar biasa memancar dari seluruh pori-pori tubuhnya hingga ajal menjemputnya. Bau itu boleh dihidu dari jarak beberapa meter. Akhirnya dia dikenali sebagai "Al-Miski" atau Orang Yang Seharum Kesturi. Kisah ini menjadi bukti keagungan Allah. Kisah nyata ini masih dapat dilihat peninggalannya. Di tanah Syam, ada sebuah makam yang tertulis "Al-Miski". Itulah kubur orang mulia yang menjaga kesuciannya ini....

Monday, May 9, 2011

Malam bagi Orang Soleh


Malam bagi orang soleh dipenuhi dengan munajat, zikir dan sujud yang panjang. Ibadah mereka itu seolah mengkhabarkan kepada seluruh umat islam bahawa selepas taubat, solat Tahajudlah kunci paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malam adalah waktu paling dekat dengan Tuhan, jika seorang hamba mengisinya dengan solat dan zikir yang panjang.

Al-Fudhail ibn 'Iyadh

Al-Fudhail ibn 'Iyadh menjumpai sekelompok orang yang malu jika tidur malam terlalu lama. Jika mereka bergerak dan bangun, mereka berkata : "Ini bukan untukmu. Bangunlah! Ambil bahagian akhiratmu."

Antara ungkapan beliau adalah, "Di kala matahari terbenam, aku bergembira kerana aku dapat menyambut malam untuk berdua-duaan dengan Tuhan. Di kala matahari terbit, aku bersedih kerana banyak orang datang menemuiku. Hatiku bersedih ketika fajar terbit kerana siang segala dengan segala penyakitnya sudah datang."

Imam As-Syafi'i

Ar-Rabi' bin Sulaiman berkata: "As-Syafi'i membahagikan malamnya kepada tiga bahagian. Bahagian pertama untuk menulis, bahagian kedua untuk bersolat dan bahagian ketiga untuk beristirehat."

Husain al-Karabisi menceritakan, "Suatu malam, saya bersama as-Syafi'i. Dia solat hampir sepertiga malam. Dia membaca al-Quran tidak lebih daripada lima puluh ayat. Jika dia ingin membaca lebih banyak, dia membaca seratus ayat. Setiap kali dia membaca ayat tentang rahmat, dia bermohon kepada Allah SWT untuk dirinya dan seluruh kaum mukmin. Sebaliknya, setiap kali dia membaca ayat tentang seksaan, dia memohon perlindungan pada Allah SWT dan memohon keselamatan dirinya dan untuk kaum mukmin. Pada masa seperti itu, dia seakan-akan menggabungkan harapan dan rasa cemas."

Sufyan ats-Tsauri

Abdurrahman bin Mahdi berkata. "Dalam masyarakat, aku tidak menemukan teman yang lebih lembut daripada Sufyan ats-Tsauri. Malam demi malam, aku selalu memerhatikannya. Dia tidur pada awal malam, lalu dia bangun ketakutan sambil berkata, "Neraka, neraka! Mengingati neraka telah membuatkanku lupa pada tidur dan syahwat." Kemudian, dia berwuduk dan selepas itu, dia berdoa.

"Ya Allah, sungguh Engkau Maha Mengetahui keperluanku tanpa (perlu) ada yang memberitahu. Namun aku hanya mengharapkan pembebasan dari nereka. Ilahi, Ketakutan menyebabkan aku tidak dapat tidur, dan itu adalah nikmatMu kepadaku. Ilahi, Sekiranya, aku dibolehkan untuk menyendiri, nescaya aku tidak akan bergaul dengan orang lain, biar sekejap sekalipun."

Kemudian, dia bersolat lagi. Namun tangisan membuatnya tidak sanggup membaca al-Quran, hingga aku tidak dapat mendengar bacaan solatnya."

Malik bin Dinar

Al-Mughirah bin Hubaib berkata, "Pada suatu malam, aku menemani Malik Bin Dinar. Selepas bangun untuk solat, dia selalu memegang janggutnya dan menangis tersedu-sedu. Dia berdoa, "Ya Allah, hindarkan diri Malik yang gelisah ini dari neraka. Ya Allah, Engkau Maha Tahu siapa penghuni syurga dan siapa penghuni neraka serta di mana Malik akan menetap." Dia terus membaca doa tersebut hingga terbit fajar."

Malik bin Dinar berkata. "Andainya aku dapat terus berjaga, aku pasti tidak akan tidur kerana takut seksa datang ketika tidur. Andainya aku memiliki pembantu, tentu aku akan hantar mereka ke pelbagai tempat untuk menyeru, "Wahai manusia, takutlah neraka, takutlah neraka."

Abu Sulaiman ad-Darani

Dia berkata, "Demi Allah SWT, sekiranya tidak ada malam, nescaya aku menyukai dunia ini. Demi Allah SWT, mereka yang bangun malam mendapat kelazatan yang lebih besar dalam malam yang dilaluinya berbanding dengan mereka yang lalai dalam tidurnya. Kelazatan itu meresap ke daam hati ketika berzikir pada Allah SWT."

Sulaiman ad-Darani berkata, "Kadang-kadang, aku menyelesaikan tafakur untuk satu ayat dalam lima kali solat malam. Sekiranya tidak bertafakur, aku mungkin tidak akan memahami ayat itu. Kadang-kadang, satu ayat membuat orang yang memikirkannya pengsan. Maha Suci Allah SWT yang mengembalikan kesedaran kepada mereka."

Dzun Nun Al-Misri

Beliau berkata, "Ada tiga tanda ibadah , iaitu mencintai malam untuk berjaga dengan solat Tahajud dan menyendiri, membenci kelalaian yang timbul selepas subuh, dan segera berbuat baik kerana takutkan fitnah."

Al-Misri berkata, "Salah satu tanda cinta pada Allah SWT adalah meneladani akhlak, perbuatan, perintah dan sunnah Rasulullah SAW. Orang yang tidak tahu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan tidak mahu tahu tentang itu adalah orang yang rendah darjatnya."

Muhammad bin Yusuf at-Thusi

Beliau berkata, aku membahagikan malam menjadi tiga bahagian; sepertiga untuk menulis, sepertiga untuk membaca al-Quran (dalam solat Tahajud) dan sepertiga lagi untuk tidur."

Al-Hakim berkata, "Antara guru-guru kami, aku tidak pernah melihat orang yang solatnya lebih baik daripada solat yang beliau lakukan. Beliau sering berpuasa dan solat Tahajud setiap malam."

Amr bin Dzarr

'Amr bin Dzarr menceritakan, "Ketika para abid (orang yang suka beribadah) melihat malam tiba dan kaum yang lalai menikmati tidurnya, mereka bangun menghampiri Allah SWT dengan gembira kerana dapat berjaga malam dan bertahajud. Mereka menyambut malam dengan tubuh dan muka yang menyentuh tanah. Ketika malam berlalu, mereka tetap merasai nikmat membawa (membaca) al-Quran. Mereka tidak berasa bosan dengan waktu ibadah yang panjang."

al-Khawash

Nama penuhnya adalah Abu Ishak bin Ahmad al-Khawash. Beliau adalah sahabat tokoh sufi yang bernama al-Junaid. Al-Khawas meninggal pada tahun 291 H. Beliau meninggal setelah menunaikan solat dua rakaat di dalam masjid. Beliaulah tokoh sufi ternama yang berkata, "Ada lima ubat untuk hati, membaca al-Quran serta maknanya, berlapar (puasa), mendirikan solat malam, berzikir malam waktu sahur, dan bersahabat dengan golongan orang soleh."

Di Indonesia pula, ramuan ubat hati tersebut disebarkan oleh salah seorang daripada wali sembilan, dengan istilah Jawanya, iaitu "tombo ati" (ubat hati).

Rabi'ah al-'Adawiyah

Apabila Al-'Adawiyah bersolat isyak di akhir waktu, lama betul dia mengerjakannya sambil mengetatkan baju dan hijabnya. Sesudah bersolat, dia berkata,

"Ilahi bintang-bintang telah terbenam, orang telah tertidur, pintu-pintu istana raja telah ditutup, dan setiap orang berdua dengan kekasihnya; inilah aku berdiri di hadapanMu."

Kemudian, dia bersolat lagi. Di akhir malam dan ketika fajar terbit, dia berkata, "Ilahi malam telah berlalu, dan siang akan menjelang, apakah Engkau menerima ibadahku pada malam ini hingga aku dapat berbahagia, atau Engkau menolaknya sehingga aku (patut) berduka? Demi keagunganMu, inilah kebiasaanku sepanjang Engkau memberikan kehidupan kepadaku. Demi keagunganMu, jika Engkau mengusirku dari pintuMu, aku tidak akan pergi kerana aku yakin akan kemurahan dan kemuliaanMu

Friday, May 6, 2011

Kisah Abu Yazid Al-Bistami dan seekor anjing


Abu Yazid Thoifur bin Isa bin Surusyan al-Busthami, lahir sekitar tahun 200H (813M) di Bustham terletak di bagian timur Laut Persi. Meninggal di Bustham pada tahun 261 H/874 M. Beliau merupakan salah seorang Sultan Aulia, yang juga sebagai salah satu Syeikh yang ada dalam silsilah dalam thariqah Sadziliyah dan beberapa thariqah yang lain. Ia dikuburkan berdampingan dengan kuburan Hujwiri. Didirikan di atas makam nya sebuah kubah yang indah oleh seorang Sultan Mongol, Muhammad Khudabanda atas nasehat gurunya Syekh Syafruddin, salah seorang keturunan dari Bustam itu . Abu Yazid adalah seorang tokoh sufi yang terkenal pada abad ketiga Hijriyah. Datuk Abu Yazid merupakan penganut agama Zoroaster. Ayahnya adalah salah satu di antara orang-orang terkemuka di Bustham.Sedikit sekali orang mengetahui tentang sejarah hidupnya.


Suatu hari tatkala Abu Yazid sedang berjalan disatu lorong, maka datang
seekor anjing. Beliau menarik pakaiannya keatas sedikit agar tidak
tersinggung oleh anjing itu. Dengan kuasa Allah, anjing itupun berkata dalam bahasa manusia,

"Jika aku kering sia-sia menyinggung aku, dan jika aku basah tuan boleh
cuci pakaian itu dengan air. Tetapi benci yang ada dalam hatimu terhadap
aku tidak dapat dibasuh dengan air dari 7 batang sungai. Dosa batin itu
payah hendak dibasuh."

Abu Yazid berkata, "Wahai anjing, kamu ini sangat bijak, marilah tinggal
denganku seketika." Anjing itu menjawab, "Tidak, kita berdua tidak boleh
tinggal bersama kerana aku ini dihina oleh dunia tetapi tuan dipuji oleh
dunia. Disamping itu aku tidak menyimpan makanan untuk esok tetapi tuan
mentimpan makanan untuk setahun." Abu Yazid berkata, "Sekiranya aku tidak
sesuai dan layak tinggal dengan anjing, bagaimana pula aku hendak hampir
dengan Tuhan dan duduk di majlis-Nya. Puji-pujian bagi Tuhan yang
menghinakan aku dan mengajar orang-orang melalui perkara-perkara kecil.