Monday, December 6, 2010
Hijrah. Berlakunya sejarah besar dalam Islam
Setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. di kota Mekah, orang-orang Madinah telah pergi ke Mekah untuk mengerjakan haji (secara jahiliyah). Mereka kemudiannya bertemu Nabi dan akhirnya memeluk Islam. Mereka mengajak Rasulullah s.a.w. ke Madinah untuk mengembangkan Islam dan berjanji akan membantunya. Namun seorang Nabi tidak boleh lari dari kawasan dakwahnya sehinggalah turun perintah supaya Nabi hijrah dari Mekah ke Madinah. Pelbagai penganiayaan telah dilakukan oleh golongan kafir sehingga ke tahap hendak membunuh Nabi s.a.w. dan akhirnya Nabi dibenarkan berpindah (hijrah) ke Madinah.
Semasa hijrah, para sahabat cuma keluar sehelai sepinggang dan secara sembunyi untuk mengelakkan di kesan kafir Mekah kecuali Sayyidina Umar. Peristiwa yang menarik perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila Sayyidina Umar Al-Khattab mengambil langkah untuk berhijrah secara terang-terangan, berbeza dengan pendirian para sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah secara rahsia. Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani semasa kafir dan bertambah berani sesudah beriman. Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Sayyidina Ali r.a. yang menyaksikan peristiwa tersebut, meriwayatkan:
Setelah Sayyidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya, kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaa’bah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Ka’abah menyaksikan kehadiran Umar. Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam Ibrahim dan mendirikan solah.
Selesai solah, Sayyidina Umar berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kuffar Quraisy. Kata Sayyidina Umar: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah.”
Kata Sayyidina Umar lagi: “Sesiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini.
Kafir Mekah menghalang Nabi keluar kerana mereka bimbang pengaruhnya semakin kuat. Sayyidina Ali adalah orang terakhir keluar kerana beliau terpaksa menyerahkan barang-barang penduduk Mekah yang diamanahkan kepada nabi. Walaupun kafir mekah tidak percaya kerasulan Nabi tetapi mereka percaya akan amanahnya Nabi. Kerana itu Nabi digelar Al-Amin.
Semasa keluar dari Mekah, Nabi menaiki unta yang ditunggang bersama Sayyidina Abu Bakar. Ditengah perjalanan mereka disekat oleh kafir Mekah yang bertanya kepada Sayyidina Abu Bakar, “siapa lelaki di belakang kamu?” Abu Bakar tidak boleh beritahu nabi berada di belakang dan tidak juga boleh berbohong. Maka katanya “Inilah lelaki yang menunjukkanku jalan”. Sebenarnya jalan yang dimaksudkan Sayyidina Abu Bakar ialah jalan agama Islam.
Penduduk Madinah telah membantu Nabi dan para sahabat yang berhijrah (Muhajirin). Kerana itu mereka digelar Ansar (pembantu). Rasulullah sangat sayangkan mereka. Pengorbanan dan jasa mereka juga dicatat dalam Al-Quran yang dibaca hingga Kiamat.
Hasyr [9] Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Ketika kaum muslimin hijrah dari Mekah ke Madinah, mereka menghadapi masalah bekalan air. Di sana memang ada sebuah perigi, tapi perigi itu milik seorang Yahudi dan airnya diperdagangkan. Hijrahnya kaum muslimin ke Madinah amat menggembirakan kerana memberinya kesempatan untuk memperoleh wang yang banyak daripada hasil penjualan air perigi.Rasulullah SAW amat berharap jika salah seorang sahabat mampu membeli perigi itu untuk meringankan beban kaum Muhajirin yang menderita kerana harta mereka ditinggalkan di Makkah.
Mengetahui kejadian itu, Sayyidina Usman r.a. pergi ke rumah orang Yahudi itu untuk membeli perigi itu. Selepas tawar-menawar, harga perigi itu 12,000 dirham dan dengan perjanjian satu hari hak orang Yahudi itu, dan keesokan harinya untuk Sayyidina Usman.Pada giliran Sayyidina Usman, kaum Muslimin bergegas mengambil air yang cukup untuk keperluan dua hari. Dengan demikian si Yahudi berasa rugi, kerana tidak ada lagi yang membeli air pada gilirannya, Orang Yahudi itu mengeluh kepada Sayyidina Usman, dan akhirnya dia menjual perigi itu kepada Sayyidina Usman dengan harga 8,000 dirham.Perigi Raumah mengalirkan air yang melimpah bagi kaum Muslimin dengan percuma. Itulah kedermawanan Sayyidina Usman r.a.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment