Sunday, September 18, 2011

SELAMAT HARI RAYA AYAH


"Diminta nama-nama tersebut untuk keluar sebentar. Abu Sufian, Abdul Hadi, Azhar dan Fatimah!".
Ketukan pintu kelas Tahun 3 Dahlia itu disusuli dengan pengumuman dari ketua pengawas di luar kelas.

Seperti tahun-tahun yang lain, anak-anak yatim akan dijemput oleh badan-badan bukan kerajaan, swasta serta kerajaan untuk menghadiri majlis berbuka puasa pada bulan Ramadhan.

Acap kali jua Azman sering membayangkan bagaimana perasaan rakan sekelasnya yang kehilangan orang tua mereka.
"Kali ini dijemput ke mana pula?" tanya Azman. "Hotel Hilton" jawab Abu ringkas sambil tersengih-tersengih.

Mereka berdua agak akrab semenjak Abu dipindahkan untuk duduk di sebelah Azman. Selepas beberapa jam, loceng dibunyikan tanda tamatnya sesi persekolahan pada hari itu. Kebiasaannya murid-murid akan berlari selepas kelas. Mungkin kerana ramai yang berpuasa, mereka hanya berjalan pada kali ini.

Selepas sebulan berpuasa, syawal pula menjelma. Azman rasa sangat bahagia dapat beraya di samping keluarga. Semua adik-beradik berkumpul untuk memohon keampunan sambil mencium tangan ibu bapa mereka . Beberapa bulan selepas Syawal berlalu.

"Alif, ba, ta,..." Sudah sekian lama ayah Azman mengajar Azman membaca Muqaddam, tapi Azman masih lagi belum berjaya menghafal huruf-huruf. "Lepas ni ayah dah tak boleh mengajar kamu mengaji ya man" kata ayah Azman sambil menutup Muqaddam milik Azman. "kenapa yah?"soal Azman "Ayah ditugaskan untuk membuka jalan baru di satu tempat luar bandar, Jadi, ayah terpaksa duduk di sana sepanjang minggu. InsyaAllah, ayah akan balik jenguk kamu adik-beradik setiap hujung minggu." Azman hanya mengangguk lemah kerana dia anak bongsu dan semestinya sangat manja dengan ayahnya.

Ayah Azman menghantar Azman mengaji Al Quran kepada sorang guru Al Quran yang tinggal di satu kampung. Azman sangat suka bacaan al Quran yang dibaca oleh ayahnynya usai solat subuh, sebelum cahaya menali sutera. Nilai air mata Azman jadi murah setiap kali mendengarnya. Merdu, sayu, tenang - Ramuan yang berlainan menjadi satu resepi. Resepi yang mampu menenggelamkan nafsu tidur Azman. Walaupun ayah Azman sibuk dengan tugasnya, tetapi sentiasa mengikuti perkembangan bacaan al Quran Azman pada setiap hujung minggu.

"Ayah, Azman sudah pindah ke kitab Al Quran" ujar Azman dalam nada yang penuh girang. Ayahnya sambut kata-kata itu dengan senyuman yang sangat bahagia. Tanpa disedari, hanya tinggal kurang dari sebulan sahaja lagi untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Ada juga yang sudah mula sibuk untuk menyambut kedatangan bulan yang penuh berkat ini. Surau dan masjid pun sudah sibuk berceramah tentang fadhilat-fadhilat bulan ramadhan serta orang yang berpuasa.

Suatu malam, ayah Azman mengajak Azman untuk keluar bersiar-siar dengan menunggang motosikal yang satu-satunya kenderaan yang ada di rumah Azman. Besar sungguh jasa motosikal itu kepada mereka sekeluarga. "Nak pergi ke mana ni ayah?" tanya Azman. "keluar jalan-jalan" jawab ayahnya. Jarang sekali Azman dapat keluar bersiar-bersiar dengan ayahnya apatah lagi jika hari sudah malam. Banyak tempat yang Azman dan ayahnya pergi pada malam itu. Dan yang paling Azman suka, ayahnya menghadiahkan coklat Cadburry yang besar kepadanya.

"Dah besar nanti, Azman masuk ke sekolah vokasional ya." kata ayah Azman sambil menunggang motosikal, Azman hanya mengangguk. Badan Azman yang kecil memudahkan untuk dia duduk di depan ayahnya dan kaki diletakkan di dalam bakul motosikal.

Dua hari sebelum Ramdhan Azman berdiri di atas bangku kayu di luar rumahnya sambil membuat andaian yang bersifat keanak-anakan sesuai dengan usianya "Mesti esok puasa ni, nampak macam cerah je" Dari jauh lagi Azman perasan kedatangan trak pekerja yang selalu dinaiki oleh ayahnya dulu.

"Yeay, yeay.. Ayah datang, ayah datang" Azman bersorak gembira. Trak itu berhenti betul-betul di hadapan rumahnya. Ayahnya hanya senyum sambil membuka pintu trak.

"Kenapa ayah tak nik motosikal?" getus hati Azman. Tak lama kemudian, Udin iaitu rakan sekerja ayah datang menunggang motosikal ayah. Emak menjenguk keluar rumah dengan wajah kehairanan.

"Kenapa ni?" tanya emak sambil memapah ayah masuk ke dalam rumah setelah melihat rakan ayah yang lain membantu ayah keluar dari rumah. Ayah jalan terhoyong-hayang tetapi tidak menghalau senyuman lari dari bibirnya.

"Entahlah kak. Kami tengok abang menunggang motosikal tu huyung-hayang. Jadi, kami suruh dia naik trak ni dan minta si Udin yang menumpang kami tadi bawa motosikal tu sampai ke sini" Jawab rakan ayah. "Ooo.. Macam tu. Tak nak masuk dulu ke? pelawa emak.

"Takpe la kak. Hari dah lewat ni. Kami balik dulu ya" jawab rakan ayah menolak pelawaan emak. Trak terus bergerak dan semakin hilang dari pandangan emak. Emak terus memapah ayah masuk. Abang dan kakak Azman hanya mampu memerhati.

"Sakit kepala ke?" tanya emak "Mungkin darah naik" jawab ayah ringkas. "Nak pergi hospital?" tanya emak lagi "Tak payah, sikit je ni" seperti jangkaan emak, ayah akan beri jawapan itu kerana ayah memang tidak suka ke hospital dari dulu lagi. "Kalau macam tu, saya tolong urutkan kepala awak" ujar emak sambil mengambil minyak urut. Terus emak mengurut kepala ayah yang sudah baring semenjak dari tadi.

Beberapa jam kemudian "Ali, ayah kau dah tak boleh bercakap ni!" emak sudah mula risau dan terus maklumkan kepada menantunya. Azman yang masih tidak mengerti apa-apa hanya berdiri melihat keadaan ayahnya. Semua adik beradik sudah berkumpul. Kerisauan mula terukir di garis wajah mereka. "Baik kita jemput doktor yang tinggal tak jauh dari sini" cadang Sulaiman, menantu ayah. "Baik kita jemput sekarang" jelas nada kerisauan dalam arahan emak itu.

Sebaik doktor sampai, dia terus memeriksa keadaan ayah. Segala peralatan dikeluarkannya. "Tak boleh dibiarkan, mesti panggil ambulans sekarang" tegas doktor sambil mendail nombor ambulans. "Kenapa ayah mak?" Azman mula takut melihat keadaan itu. Emak tak mampu untuk menjawab. Hanya dalam masa beberapa minit, ambulans datang terus membawa ayah ke dalam ambulans menggunakan troli.

Ayah dibawa ambulans pergi dan jiran-jiran mula berkumpul di rumah sementelah mendengar bunyi siren ambulans. Keesokan pagi, Azman bersama emaknya pergi menziarahi ayah yang masih belum sedarkan diri di hospital. Sampai di hospital, Azman hanya duduk di sebelah ayahnya yang terlantar di katil tanpa memperdulikan perbualan emak dan doktor.

"Ya Allah, jangan Engkau jadikan aku senasib dengan Abu." doa Azman dalam hati. Azman sangat risau jika kehilangan ayah seperti mana yang belaku kepada rakan sekelasnya, Abu Sufian. Keesokan harinya, Azman tidak dibenarkan untuk ikut emaknya menziahari ayah kerana masih bawah umur 12 tahun. Pihak hospital memang tidak menggalakkan kanak-kanak datang ke sana dengan sebab-sebab yang tertentu.

Kali ini, kakak Azman lah yang menemani emaknya. Pagi itu, Azman hanya baring di kerusi sambil menonton rancangan kartun kegemarannya. Dia berpuasa pada hari itu kerana sudah pun masuk bulan ramadhan hari kedua. Azman sudah dilatih ayahnya berpuasa semenjak usia 7 tahun agar ibadah puasa itu menjadi kebiasaannya. Kedengaran bunyi kereta memasuki halaman rumah mereka. Azman kenal bunyi enjin kereta itu, niat untuk menjenguk dibatalkan kerana yang datang itu kakak dan emaknya.

Kakaknya tiba-tiba berdiri di hadapan Azman dengan mata yang berkaca. Azman terus bangkit dari baringannya. Dia mencari emaknya, ternyata emaknya pun menangis. Azman seperti sudah menjangka sesuatu. "Ayah dah pergi" kata kakak dalam sedu tangis. Kakak terus memeluk Azman yang masih terpinga-pinga. Emak menoleh ke tempat lain kerana tidak sanggup melihat situasi anak-anaknya yang baru saja mendapat gelaran yatim. Azman terus menangis meraung sambil memanggil-manggil ayahnya.

"Ayahhhhhh.... Ayahhhhhhh!"

Azman terus memanggil ayahnya tanpa mempeduli jiran-jiran yang yang mula datang menjenguk setelah mendengar berita pemergian ayah mereka.

Jiran-jiran sangat simpati dan juga sebak melihat dua adik-beradik ini berpelukan meratap pemergian ayah mereka. Pada pagi raya Suram. Satu perkataan yang mewakili perasaan dan suasana keluarga Azman. Aidilfitri kali ini sangat sepi tanpa kehadiran orang yang mereka cintai. Apatah lagi bila mendengar takbir raya dari surau terdekat, menambahkan lagi rasa sedih yang sudah bertapak di sanubari mereka semenjak pemergian ayah mereka. Azman rasa seperti tidak percaya. Aidilfitri ini dia pun dijemput dalam majlis ramah tamah Aidilfitri bersama Abu Sufian dan rakan sekelasnya yang bergelar 'anak yatim'. Dalam diam, Azman membeli kad raya dan dia menulis di dalamnya

"SELAMAT HARI RAYA AYAH"

Tanda-Tanda Mati Hati


Menurut kata seorang tokoh sufi terkenal, Ibrahim Adham menyatakan bahawa tanda-tanda hati mati itu:

1. Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hakNya
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberianNya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara seIslam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.