Sekadar berkongsi pengalaman lampau yang meninggalkan kesan yang besar dalam hidup saya. Di sini saya memdedahkan betapa bahayanya menjatuhkan hukum sesat kepada saudara muslim yang kita ketahui masih betul tauhid, syariaat, aqidahnya.
Kejadian 15 tahun yang lalu benar-benar membuat saya berkecil hati & bertekad menjauhkan diri dari agama. Nyata iman saya tak sekuat sahabat-sahabat nabi yang mana mereka diseksa di tengah-tengah gurun sehingga ada yang mati syahid. Mereka tetap dengan keteguhan hati menyebut 'ahad, ahad, ahad'..
Ceritanya begini, dulunya saya belajar di ma'had tahfiz (tak perlu saya menyatakan nama ma'had tersebut). Suasana pembelajaran agak menyeronokkan dan saya amat bercita-cita menjadi seorang Al-Hafiz dan menyebarkan ilmu kepada orang awam sekiranya boleh sampai ke tahap untuk mengajar. Walaupun guru kami tegas, tapi kami langsung tidak membenci malah sangat menghormati beliau. Selepas subuh, sesi menghafal al-Quran sehingga jam 7 pagi. 8 - 11 pagi, pengajian hadith & akademik sekular. Selepas zohor, sesi menghafal Al-Quran. Selepas asar, mendengar Ta'lim dan riadah. Selepas maghrib, membaca hasil hafalan kepada guru. Lepas isya, tidur.
Saya agak senang dengan suasana tersebut. Tapi malangnya, keluarga menentang kehendak cita-cita saya itu. Kebetulan ada sebuah pertubuhan yang berteraskan islam difatwakan menyeleweng dan berita ini menggemparkan negara ketika itu. Tidak dinafikan, saya suka dengan cara ahli pertubuhan tersebut kerana amalan sunnah mereka baik dari segi berpakaian, cara hidup harian dan sebagainya. Cuma aqidah gurunya tidak menepati lunas-lunas islam, wallahualam.
Persamaan kami dengan pertubuhan itu pulak adalah dari segi pakaian & adab harian kerana kami disarankan oleh guru kami untuk belajar hidup cara sunnah. Secara automatik, kami disamakan dengan pertubuhan itu oleh masyarakat secara umum dan keluarga saya khasnya. Berkali-kali keluarga saya mendesak agar saya berhenti tetapi saya masih berkeras untuk menjadi tahfiz.
Sehingga satu malam selepas saya beriktikaf di sebuah masjid selama sehari semalam, abang saya hilang sabar. Dia membelasah saya atas alasan saya terlalu degil. Sejak malam itu, saya berjanji untuk mengubah cara hidup saya. Untuk pertama kalinya, saya keluar tanpa mengenakan kopiah, serban & jubah yang menjadi pakaian semenjak menjadi tahfiz. Saya mula bergaul dengan kaki tembok. Sejak itu juga saya mula belajar tentang pelbagai perkara yang sebelum ini sangat jauh dari hidup saya, dan ia terus mengganti gaya hidup saya ketika bergelar pelajar tahfiz.
Pesan saya kepada sahabat-sahabat. Jangan terlalu cepat mengadili sesuatu. Jika kita lihat dia melakukan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah, galakkan. Jika kita belajar Al-Quran, IMAN disebut di dalamnya sehingga 840 kali. 80% menyentuh perkara iman dan 20% tentang hukum hakam.. Kenapa? kerana amal & ilmu akan datang dalam individu tersebut sekiranya IMAN mula kukuh dalam jiwa mereka. Walaupun saya mula belajar semula hadith & feqah mula dari tahun 2004, tapi semuanya kosong kerana Allah belum lontarkan hidayah dalam hati ini sehingga terasa IMAN saya terlalu lemah. Saya tidak mengatakan IMAN saya kuat sekarang, tapi saya tahu ia mula hadir dalam sukma ini.
Ketika Imam Syafie didatangi oleh Fityan & Qois (Fityan sangat memusuhi Imam Syafie kerana fatwa beliau), mereka meminta pandangan Imam Syafie tentang Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusof, Imam Muhammad al-Hassan, Iman Zufar.. Imam Syafie menjawab memuji serta menceritakan kehebatan mereka berdasarkan bidang yang mereka kuasai. Qois bertanya lagi untuk kali terakhir
"Bagaimana pula dengan Jundul?'
Imam Syafie tidak menjawab walau ditanya sehingga tiga kali. Lantas anak murid beliau (al-Rabi) menjawab
"Dia seorang pendusta"
Imam Syafie pun berkata " Peliharalah lisanmu wahai al-Rabi'. Jangan katakan dia seorang pendusta yang besar. Katakan yang pendapatnya tidak dapat diterima." Qois amat berpuas hati dengan jawapan Imam Syafie dan percaya yang kata-kata Fityan tentang beliau sebelum ini hanya fitnah.
Ada sebuah kisah lagi. Ketika Imam Suyuti ditanya oleh seseorang (yang mengatakan ahli sufi sesat) tentang Ibn Arabi, beliau menjawab
"Engkau tahan diri dahulu tentang ini, (kerana) sesiapa yang merasa lapar kaum sufi itu, dan berjaga malam seperti mereka berjaga malam, ia akan melihat apa yang mereka (ahli sufi) lihat"
Mudah-mudahan post ini jadi azimat untuk saya kemudian hari dan pengajaran kepada sahabat-sahabat saya. InsyaAllah